BELIA DAN KEMATANGAN POLITIK | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
» ARTIKEL » BELIA DAN KEMATANGAN POLITIK

BELIA DAN KEMATANGAN POLITIK

Artikel telah diterbitkan dalam Kosmo! 30 Mac 2019

Oleh Dzuhailmi Dahalan

Kematangan politik dalam kalangan generasi belia merupakan antara cabaran politik yang perlu terus diberikan perhatian. Ini merupakan cabaran penting ke arah menjamin kestabilan negara yang bertunjangkan masyarakat majmuk. Belia yang memiliki tahap kematangan politik yang tinggi lazimnya tidak terhimpit dengan agenda peribadi yang boleh menghancurkan masa depan negara. Istilah matang merujuk kepada kedewasaan pemikiran seseorang. Oleh sebab itu, kematangan politik individu belia turut dikaitkan dengan kadar literasi politik yang dimilikinya. Istilah kematangan politik juga dihubungkan dengan sikap politik (political attitude) dan perilaku politik (political behaviour) seseorang.

 

Kematangan politik adakalanya sukar dijangka. Ramai yang terkeliru serta menganggapnya sebagai produk akademik. Adakah sekadar mengikuti pengajian formal dalam bidang politik, seseorang itu dikatakan telah mencapai kematangan politik? Pemerhatian mendapati ramai orang muda atau politikus muda yang dikatakan memiliki latar belakang pendidikan yang tinggi, tetapi bercakap di luar konteks kewarasan, memperbodohkan diri dengan kenyataan yang tidak masuk akal, selain menyerlahkan kepentingan peribadi mengatasi kepentingan negara. Apakah ada jalan penyelesaian jika kita hanya pandai memburuk-burukan pihak lain semata-mata dengan tujuan untuk meraih populariti? Apakah kita sedar bahawa kenyataan dan tindakan terburu-buru kita itu berpotensi menimbulkan panik dalam masyarakat?

 

Kematangan politik seseorang terzahir serta boleh dinilai melalui pandangan atau tindakan yang diluahkannya mengenai isu politik khususnya atau kenegaraan amnya, selain kesediaan menerima kritikan dari pihak lain dalam keadaan emosi yang stabil. Asasnya ialah bagaimana seseorang itu mengurus perbezaan melalui nilai peradaban yang tinggi. Perkara ini masih boleh diperhatikan di mana terdapat segelintir pemimpin belia/individu belia di negara ini yang berupaya menonjolkan diri mereka sebagai seorang yang berkaliber dan dihormati.

 

Walaupun tidak dinafikan, sistem pendidikan formal penting bagi melahirkan kematangan politik belia negara, namun kematangan politik merupakan satu nilai peradaban yang tinggi dan tidak mungkin boleh dicapai menerusi sistem pendidikan formal semata-mata. Oleh sebab itu, sosialisasi belia dalam masyarakat arus perdana merupakan pelengkap kepada sistem pendidikan formal sedia ada bagi menghasilkan kematangan politik generasi belia negara.

 

Ini kerana sosialisasi memberi ruang kepada seseorang mendalami norma-norma kehidupan persekitaran, sehingga berkembang menjadi satu peribadi yang unik. Malah, ia merupakan pengalaman sosial sepanjang hayat di mana seseorang membangunkan potensi mereka serta mempelajari corak budaya.

 

Dalam konteks demokrasi, sosialisasi politik ke arah mematangkan belia dalam politik memerlukan budaya politik yang sihat, dibentuk dalam institusi sosial seperti keluarga, parti politik, masyarakat, agama dan pendidikan. Namun terdapat cabaran yang perlu ditangani ke arah ini. Mengambil parti politik sebagai contoh, adakah usaha yang serius telah dilakukan untuk menyediakan pendidikan politik kepada pemimpin pelapis mereka? Ataupun pendidikan bukan dilihat keperluan penting kepada seseorang untuk menceburi bidang ini. Ini kerana tampak politik dilihat seakan-akan hanya penuh dengan strategi memenangi serta mempertahankan kuasa.

 

Kepesatan medium ICT terutama media sosial telah menyebabkan belia pada masa kini lebih cenderung untuk mengetahui hal ehwal politik. Peluang ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh institusi sosial dalam proses sosialisasi politik belia ke arah membentuk kematangan politik mereka. Ini kerana permainan persepsi yang berlegar di ruang maya telah banyak mempengaruhi minda belia negara. Jika kesempatan ini tidak dimanfaatkan, negara sukar untuk membina kematangan politik dalam kalangan generasi muda yang dikhuatiri boleh menggugat keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia pada masa hadapan.

Dzuhailmi Dahalan
Pegawai Penyelidik Sosial
Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia
Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
dzuhailmi@upm.edu.my

Tarikh Input: 10/02/2020 | Kemaskini: 10/02/2020 | nm_aini

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
SXDdUAj~