KESEDIAAN BELIA BUKAN MELAYU SERTAI ATM PERLU KAJIAN EMPIRIKAL | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
» ARTIKEL » KESEDIAAN BELIA BUKAN MELAYU SERTAI ATM PERLU KAJIAN EMPIRIKAL

KESEDIAAN BELIA BUKAN MELAYU SERTAI ATM PERLU KAJIAN EMPIRIKAL

Artikel asal sebelum diterbitkan dalam Berita Harian dengan suntingan pada 21 Februari 2020

Oleh Dzuhailmi Dahalan

 

Gambar sekadar hiasan.Koleksi peribadi Ketua Editor Laman Web IPSAS

 

 

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan pasukan kententeraan utama dalam sektor pertahanan nasional. Misi utama ATM adalah mewujudkan dan merealisasikan angkatan tentera yang sentiasa bersiap siaga untuk melindungi kedaulatan dan integriti negara. Dengan kata lain, ATM merupakan benteng pertahanan negara bagi memastikan Malaysia terus bebas dan berdaulat daripada segala ancaman pihak luar dan anasir asing.

 

Dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, penyertaan seimbang dalam kalangan anggota masyarakat pelbagai etnik di dalam ATM merupakan satu indikator patriotisme yang unggul. Hal ini secara jelas merupakan manifestasi patriotisme masyarakat Malaysia yang tinggi di dalam mempertahankan kedaulatan negara dengan kesediaan untuk mempertaruhkan nyawa dengan menyertai peperangan jika tiada pilihan.

 

Walaupun diakui semangat patriosme boleh dizahirkan dengan pelbagai cara menerusi bidang-bidang tertentu, namun tiada siapa boleh menyangkal bahawa penyertaan seimbang masyarakat pelbagai etnik di dalam ATM mengesahkan tahap patriotisme masyarakat majmuk Malaysia itu sendiri terhadap negaranya. Sarjana dalam bidang patriotisme dan kenegaraan berpendapat pencapaian negara dalam bidang-bidang lain seperti ekonomi, pendidikan, sukan, budaya dan lain-lain pasti sukar jika negara sering berhadapan dengan konflik peperangan, konfrontasi dan huru-hara. Dengan kata lain, sektor pertahanan akan mewujudkan iklim negara yang positif dan membolehkan bidang-bidang pembangunan negara seperti ekonomi, teknologi, pendidikan, pertanian, sukan dan lain-lain dapat berkembang dan berdaya maju.

 

Penelitian rambang menunjukkan sememangya penyertaan kaum bukan Melayu di dalam ATM merupakan satu isu yang masih hangat diperkatakan. Jawapan parlimen bertarikh 18 Mac 2010 menjelaskan Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) mengakui bahawa penyertaan kaum bukan Melayu di dalam perkhidmatan ATM masih berkurangan walaupun terdapat sedikit peningkatan, di mana penyertaan bukan Melayu adalah seramai 17,521 orang iaitu sebanyak 15.25% daripada kekuatan ATM.

 

Memetik kenyataan mantan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Roslan Saad, penyertaan bukan Melayu di dalam pasukan berkenaan (TUDM) pada setiap sesi pengambilan hanya berada di tahap 10%. Menurut beliau senario ini sangat membimbangkan walaupun telah banyak program pemasaran dilakukan. Perkara yang sama turut berlaku dalam pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), di mana Asisten Ketua Staf Sumber Manusia TLDM menyatakan daripada 14,123 anggota pangkat rendah sedia ada, hanya 53 orang terdiri daripada kaum Cina, 183 orang India dan selebihnya Melayu dan lain-lain etnik seperti yang pernah dilaporkan. Menurut kenyataan pihak TLDM, penyertaan kaum bukan Melayu masih rendah walaupun pelbagai program dilakukan termasuk pengiklanan di akhbar berbahasa Cina.

 

Ketika merasmikan upacara Ops Perisai Akidah Peringkat ATM dan Pelancaran Buku Akidah Ahli Sunah wal Jamaah di Auditorium MINDEF, Panglima ATM ketika itu Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata ATM tidak pernah menutup peluang mana-mana kaum untuk menyertai ATM. Beliau menyatakan ATM sememangnya mahu lebih ramai kaum bukan Melayu menyertai organisasi pertahanan supaya perpaduan dalam kalangan anggota ATM khususnya dan masyarakat amnya dapat diperkukuhkan.

 

Atas alasan ini, Persatuan Veteran Kaum Cina Tentera Darat Malaysia (MACVA) pernah didaftarkan secara rasmi pada 31 Ogos 2016 yang berperanan untuk menarik golongan belia Cina menyertai ATM. Menurut mantan Pengerusi MACVA Bridged Jeneral (B) Dr. Leong Weng Foon, MACVA memberi tumpuan kepada golongan muda Cina untuk menyertai ATM melalui program lawatan ke sekolah, universiti selain menjalin kerjasama dengan pelbagai persatuan melalui penganjuran aktiviti ceramah, kem motivasi dan seminar. Melalui program ini katanya, MACVA dapat berkongsi ilmu dan kepakaran, pengalaman berkhidmat di dalam ATM, selain menyemai aspek penting pembinaan negara dalam diri generasi muda seperti nilai patriotisme, ciri kepimpinan, pemikiran kreatif dan semangat setiakawan dalam masyarakat pelbagai kaum.

 

Umum mengetahui, perlantikan Senator Liew Chin Tong sebagai Timbalan Menteri Pertahanan berbangsa Cina pada 17 Julai 2018 bukan sahaja dilihat sebagai pertama kali berlaku dalam sejarah Malaysia, malah turut dilihat sebagai galakkan kepada kaum bukan Bumiputera lain di Malaysia untuk menyertai ATM. Hal ini diakui sendiri oleh YB Mohamad Sabu Menteri Pertahanan Malaysia di mana beliau tidak mahu sektor pertahanan negara hanya dikawal oleh kaum Bumiputera sahaja, pada masa yang sama menggesa penyertaan kaum bukan Bumiputera ke dalam ATM khususnya dalam kalangan kaum Cina dan India yang ketika ini dilihat masih kurang.

 

Justeru, ketika pelbagai aktiviti promosi giat dijalankan ATM, MACVA atau NGO lain (sekiranya ada), selain perlantikan Senator Liew Chin Tong sebagai Timbalan Menteri Pertahanan, hakikat yang berlaku penyertaan belia bukan Melayu dalam ATM masih disambut dingin seperti yang dilaporkan dalam media massa. Walaupun sedikit-sebanyak ada kebenarannya berhubung tanggapan dan hujah bahawa jika perjalanan sesebuah institusi (seperti ATM) baik, maka kebimbangan berhubung pola penyertaan yang tidak seimbang melibatkan kaum di Malaysia ke dalam ATM akan menjadi isu yang kecil, namun, aspek patriotisme, perpaduan dan integrasi etnik adalah satu perkara yang terlebih penting dan harus mengatasi segala pertimbangan kerana ia melibatkan persoalan kesejahteraan negara.

 

Persoalan yang penting ialah apakah tahap semasa kesediaan bukan Melayu untuk menyertai ATM dalam hal ini? Apakah tanggapan mereka mengenai kerjaya bersama ATM? Adakah mereka berkesempatan terlibat dalam program promosi daripada pihak ATM, MACVA atau NGO lain (sekiranya ada)?; jika ya, adakah pada pandangan mereka promosi pihak ATM, MACVA dan NGO lain (sekiranya ada) dalam hal ini tidak berkesan atau masih gagal menarik minat mereka?

 

Berdasarkan carian menggunakan kata kunci terpilih dan berkaitan di pangkalan data Google Scholar dan Scopus, penulis hanya menemui terdapat dua penulisan ilmiah pernah dijalankan berkaitan perbahasan tulisan ini iaitu kajian oleh Lim pada tahun 1989 bertajuk “Mengapa kaum Cina memberi layanan yang dingin terhadap jawatan dalam Angkatan Tentera Malaysia” dan Cynthia pada tahun 1978 yang bertajuk “The issue saliency of the military-ethnis connection: Some thoughts on Malaysia”. Carian penulis ke atas kajian Lim tahun 1989 mendapati kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dengan teknik kajian perpustakaan yang bersumberkan data sekunder, manakala data primer melibatkan dapatan temu bual bersama beberapa orang anggota tentera, penyunting majalah dan beberapa orang pegawai kerajaan.

 

Lim dalam tulisannya menyatakan kekurangan kaum bukan Bumiputera dalam ATM tidak boleh dipandang ringan kerana ia akan menyebabkan suatu ‘set back’ yang serius kepada kerajaan di dalam usahanya untuk mencapai perpaduan. Menurut beliau ATM dapat memainkan peranan yang penting dalam usaha kerajaan mencapai integrasi nasional iaitu dengan memberi hak kepada rakyat Malaysia membuktikan kecintaan mereka terhadap negara melalui perkhidmatan bersama ATM. Tetapi, hak ini tidak diambil oleh semua lapisan masyarakat khususnya kaum Cina, lalu menyulitkan usaha untuk memupuk perpaduan negara disebabkan jurang perbezaan kaum di Malaysia yang semakin melebar.

 

Beliau seterusnya membuat perbandingan mengenai data anggota tentera mengikut kaum bagi tahun 1971 sehingga 1988, di mana jumlah anggota tentera bukan Melayu begitu merudum khususnya dalam kor perkhidmatan pegawai. Menurut beliau situasi ini tidak boleh dipandang remeh, selain mengakui bahawa adalah tidak adil untuk menyalahkan pihak ATM yang tidak berusaha keras untuk menarik minat bukan Melayu menyertai ATM. Ini kerana banyak promosi telah dijalankan oleh pihak ATM sendiri dan pemimpin politik, namun menurutnya sambutan dingin masih tetap berlaku khususnya dalam kalangan kaum Cina. Beliau memberi contoh dengan apa yang berlaku pada tahun 1981, di mana hanya 83 orang Cina sahaja yang memohon untuk menyertai ATM sebagai rekrut biasa dengan jumlah pemohon hanya 1% daripada jumlah keseluruhan permohonan. Beliau turut merujuk perangkaan dari tahun 1980-1986 yang menunjukkan penyertaan kaum Bumiputera adalah sebanyak 82.5%, Cina (5.7%), India (6.8%) dan lain-lain (5%).

 

Antara persoalan kajian yang dibangkitkan oleh Lim ialah adakah dengan penyertaan yang tidak seimbang (majoriti kaum Melayu) akan menjadikan pertahanan negara seratus peratus selamat? Menurut beliau sejarah telah membuktikan bahawa sesebuah negara yang memiliki masyarakat majmuk perlu mempunyai anggota tentera yang berbilang kaum, supaya komposisi rakyat mengikut kaum, umur dan jantina seimbang. Beliau mengambil contoh seperti apa yang berlaku ketika perang dunia kedua, di mana keseluruhan anggota tentera Amerika Syarikat adalah melibatkan kaum kulit putih sahaja maka ia telah menyebabkan masalah komposisi kaum kulit putih berkurangan dalam sektor lain sekaligus membawa masalah kepada negara.

 

Mengenai tulisan Cynthia pada tahun 1978 pula, penulis hanya berpeluang untuk menganalisis hanya sebahagian kecil sahaja mukadimah (preview) tulisan beliau. Cynthia menyatakan di sebalik andaian umum bahawa organisasi ketenteraan sesebuah negara adalah bersifat ‘nasional’, realitinya sangat sedikit pasukan tentera mewakili populasi masyarakat sivil sesebuah negara. Menurut beliau di negara yang mempunyai etnik pluralistik misalnya, ketidakseimbangan kumpulan etnik dalam masyarakat sivil di institusi ketenteraan sering menjadi tumpuan. Beliau menimbulkan persoalan bagaimana pasukan tentera bagi sesebuah negara boleh berbeza dari sudut komposisi etnik warganegaranya dan bagaimana ia memberi kesan kepada peranan politik ketenteraan serta kelebihan politik bagi setiap komuniti etnik?

 

Secara analitikalnya, beliau menerangkan terdapat kecenderungan yang universal di dalam organisasi ketenteraan iaitu hakikatnya ia adalah milik pihak berkuasa dan tidak mencerminkan keseluruhan populasi mereka dengan tujuan untuk melindungi sesuatu. Kecenderungan ini disifatkan beliau sebagai kemunduran ekonomi-politik. Mengambil contoh di negara-negara merdeka yang agak maju dari segi tahap perindustriannya, beliau mendapati terdapat lambakan hanya sesetengah kumpulan etnik sahaja dalam organisasi ketenteraan mereka serta tidak diwakili oleh yang lain. Ini dapat dilihat terutama jika seseorang menyelidik masuk ke dalam organisasi tentera yang diberikan serta membuat sendiri penelitian berdasarkan pangkat antara kor pegawai atau infantri ataupun dalam pasukan tentera udara mereka. Oleh itu, beliau menyatakan ketenteraan dan perkaitannya dengan etnik (military-ethnic connection) tidak hanya signifikan secara analitikalnya di negara membangun yang multi-etnik seperti di Trinidad dan Syria, bahkan turut mempunyai nilai yang signifikan jika diterokai dalam konteks negara perindustrian multi-etnik yang lain seperti di Amerika Syarikat, Soviet Union (sebelum berpecah) dan Kanada.

 

Mengulas mengenai jawapan parlimen MINDEF bertarikh 18 Mac 2010 yang menjelaskan sebab penyertaan bukan Melayu yang sedikit di dalam ATM, penulis tidak dapat memastikan sumber asal kajian ini kerana tiada keterangan lanjut mengenainya. Kemungkinan data primer berkaitan perjawatan dalam ATM sulit dan rahsia berdasarkan pengalaman penyelidikan yang lepas. Manakala lain-lain penemuan ilmiah ke atas perbahasan tulisan ini adalah bersifat umum di mana objektif pengkaji tidak meneliti secara khusus akan penyertaan bukan Melayu di dalam ATM.

 

Atas alasan terdapat kepentingan nasional untuk menarik minat golongan belia bukan Melayu di Malaysia untuk menyertai ATM, kerelevanan objektif MACVA yang didaftarkan, perlantikan Senator Liew Chin Tong sebagai Timbalan Menteri Pertahanan dan penemuan ilmiah yang sedikit dan klasik serta dapatan yang tidak boleh digeneralisasikan mewakili semua kaum bukan Melayu di Malaysia, maka penulis menekankan kajian empirikal untuk meneliti kesediaan semasa belia bukan Melayu di Malaysia menceburi Angkatan Tentera Malaysia perlu dijalankan dengan mengambil kira persoalan penting yang telah dibangkitkan penulis di awal mukadimah penulisan ini termasuk persoalan yang dibangkitkan dalam penyelidikan lepas. 

 

Dzuhailmi Dahalan
Pegawai Penyelidik Sosial
Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia
Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
dzuhailmi@upm.edu.my

Tarikh Input: 21/02/2020 | Kemaskini: 21/02/2020 | nm_aini

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
SXDdEAY~