DARI MEJA PENGARAH | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL
» MENGENAI KAMI » DARI MEJA PENGARAH

DARI MEJA PENGARAH


Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) yang dahulunya dikenali sebagai Institut Pengajian Komuniti dan Keamanan (PEKKA) adalah organisasi penyelidikan berasaskan sains sosial di Universiti Putra Malaysia yang memberi fokus kepada pembangunan dan kepimpinan belia, ICT dan komunikasi sosial,  dan pembangunan komuniti. Sejajar dengan Rancangan Malaysia ke Sebelas yang memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat yang juga menjadi tumpuan penyelidikan institut, tiga laboratori yang mendokong inisiatif tersebut adalah  Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia, Laboratori Kewarganegaraan dan Kepimpinan Belia, dan Laboratori Generasi Siber.

Sebagai satu keluarga besar sains sosial, semua Ketua Laboratori, Penyelidik Bersekutu dan Felo Penyelidik adalah para akademia yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang sains Fakulti Pengajian Pendidikan, Fakulti Ekologi Manusia, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, dan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan. Institut percaya bahawa untuk membangunkan komuniti menerusi penyelidikan, kepakaran tenaga selain bidang sains sosial juga diperlukan. Semakin ramai Penyelidik Bersekutu IPSAS juga terdiri dari staf akademik Fakulti Pertanian, Fakulti Komputer Sains dan Teknologi Maklumat, dan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan.

Selain daripada penyelidikan, dengan tenaga kepakaran yang bersifat pelbagai bidang (multi-discipline),  Institut juga memberi khidmat perundingan, khidmat komuniti serta latihan berkaitan penyelidikan. Semua pengalaman dalam penyelidikan dimanfaatkan dalam penyeliaan bagi program pasca siswazah (Master dan Doktor Falsafah) yang terdiri daripada pelajar dalam dan luar negara. IPSAS juga mengalu-alukan kolaborator daripada pelbagai agensi kerajaan, GLC, badan bukan kerajaan dan perkumpulan berasaskan komuniti dalam penyelidikan gunaan yang hasilnya nanti dapat diguna pakai dalam mempertingkatkan perkhidmatan dan penyampaian  perkhidmatan, di samping meluaskan lagi penerokaan korpus ilmu dalam bidang sains sosial.

ASNARULKHADI ABU SAMAH (Prof. Madya, PhD)

Pengarah
Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS)
Putra InfoPort, 43400 UPM Serdang
Selangor, MALAYSIA
 asnarul@upm.edu.my
603.8947 1872


1 Mac 2016

Kemaskini:: 16/01/2018 [nm_aini]

PERKONGSIAN MEDIA

B1566118197