Perwakilan dan suara merupakan asas dalam sesebuah negara demokrasi. Perwakilan dan suara anak muda juga merupakan perkara asas yang dituntut oleh anak muda dalam sesebuah negara demokrasi seperti Malaysia. Golongan ini mahu suara mereka diwakili dalam medium pembuatan dasar dan keputusan sementelah sebahagian dasar dan keputusan tersebut memberikan kesan kepada kehidupan seharian dan masa depan mereka. Ditambah pula, mereka merupakan antara golongan terbesar yang menjadi agen demokrasi, agen ekonomi dan agen sosial kepada landskap demokrasi negara. Di Wilayah Persekutuan, golongan muda membentuk hampir setengah juta jiwa.
Bermula dengan penubuhan Parlimen Belia hasil rumusan Makmal Transformasi Pembangunan Belia pada tahun 2010, maka negeri-negeri memulakan langkap proaktif menubuhkan dewan-dewan suara belia mereka tersendiri seperti Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Perak, Terengganu dan Johor.
Wilayah Persekutuan tidak terkecuali, walaupun sedikit lewat tetapi inisiatif YB Dr. Zaliha Mustafa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) mengagaskan penubuhan platform suara belia Wilayah Persekutuan merupakan langkah positif. Beliau telah mengadakan Pra Peluncuran Sidang Belia Wilayah Persekutuan (SBWP) pada 7 Mei 2024 yang lepas bagi menarik minat anak muda (18-35 tahun) yang bermastautin di Wilayah Persekutuan untuk memohon dan mengisi kekosongan 65 kerusi SBWP.
SBWP merupakan platform jamak budaya dan kaum bagi menjadi platform perpaduan dan suara bagi mencadang dan membahaskan usul-usul terkait dengan dasar-dasar pembangunan anak muda dan polisi terkait dengan pembangunan Wilayah Persekutuan agar terus menjadi kota metropolitan yang berdaya huni dan berdaya saing. Ia juga mampu menyatukan para belia yang terpisah secara geografi di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dengan paduan satu suara.
SBWP bakal bersidang selama dua kali untuk tahun ini dan akan memfokuskan idea dan perbahasan kepada 5 tema utama iaitu ekonomi, sosial, teknologi, perundangan & dasar dan kelestarian alam sekitar. Sebagai panel penemuduga dan pemilih Ahli SBWP, penulis jelas dapat mengenalpasti tema tema utama permasalahan anak muda di Wilayah yang timbul dan perlu ditangani sewaktu proses temuduga berlangsung. Permasalahan utama yang timbul tidak lain tidak bukan meliputi isu ekonomi, kos sara hidup, peluang pekerjaan, kesihatan mental dan yang paling tidak terduga adalah isu perpaduan.
Masalah perpaduan yang ditimbulkan beberapa calon temuduga SBWP sangat memeranjatkan. Tidak terfikir sebuah kota kosmopolitan yang sinonim dengan meraikan kejamakan budaya dan pelbagai latar belakang masih boleh berlaku masalah perpaduan yang serius. Ia mungkin disebabkan kebangkitan politik identiti melanda negara dan seluruh dunia serta keadaan kos sara hidup yang mencabar menyebabkan masing-masing berfikir secara individualistik sehingga melupakan semangat muhibbah kekitaan. Ini antara perkara utama yang wajib difikir dan dibahaskan oleh Ahli SBWP menjelang persidangan Julai ini untuk mencari solusi utama. Bagi penulis, elemen perpaduan merupakan antara elemen daya huni yang penting dalam sesebuah kota kosmopolitan, bagaimana mungkin boleh fokus membangunkan Wilayah sedangkan penduduknya masih tidak bersatu hati bahkan curiga mencurigai.
Berdasarkan hasil temuduga juga, penulis mengharapkan calon-calon yang terpilih membuat persiapan rapi membuat kerja rumah sebelum bersidang dengan membaca data-data, dokumen-dokumen dan polisi pembangunan Wilayah yang sedia agar setiap usul dan perbahasan mestilah berdasarkan fakta dengan diadun pengalaman di lapangan. Rata-rata calon-calon yang ditemuduga oleh penulis tidak dapat menjawab dengan tepat dan jelas apabila diajukan soalan berkaitan polisi pembangunan Wilayah termasuk pelan pembangunan Wilayah yang mahu dibawa oleh YB Menteri Wilayah. Seperkara lagi, idea-idea dan isu-isu yang diutarakan nanti pastinya tidak bertindan dengan perkara-perkara yang telah dilakukan dan sudah ditangani oleh Kementerian Wilayah.
Kita tidak mahu mengulangi kesilapan yang sama sebelum ini di mana keterpilihan mereka dalam parlimen belia, DUN belia mahupun SBWP hanya sekadar untuk bermegah-megah dengan ‘title’ yang mereka ada sebagai Ahli SBWP tetapi sebaliknya idea dan perbahasan di dalam sidang sebenar mestilah bermutu tinggi, bersandarkan fakta dan pemikiran kritis. Justeru induksi SBWP wajar diisi dengan kemahiran asas seperti pengucapan awam yang meyakinkan (dengan menggunakan masa yang diperuntukkan kerana perbahasan di dalam dewan sangat ringkas dan padat serta tidak meleret), kemahiran asas peraturan persidangan dan kemahiran asas penyelidikan. Oleh itu, SBWP diyakini mampu juga menjadi platform semak dan imbang kepada Kementerian Wilayah dan menjadi penasihat kepada Menteri Wilayah dengan sikap hormat kritis.
SBWP diharap dapat dijadikan medan perbahasan kritis untuk masa depan Wilayah Persekutuan, platform mengangkat lebih ramai kepimpinan muda di persada demokrasi negara bahkan paling penting menjadi kumpulan pelobi muda terkuat mewakili suara-suara rakan sebaya mereka membawa idea-idea inovatif demi kemajuan Wilayah terkehadapan. Penduduk Wilayah menantikan perbezaan yang dibawakan SBWP!
By : DR. JUFITRI BIN JOHA
Profesor Adjung
Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia (UPM)
Date of Input: 25/07/2024 | Updated: 20/01/2026 | nm_aini

Putra InfoPort
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA