Karektor Petani Dalam Menjana Produktiviti Padi Pulut Di Malaysia | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
» ARTIKEL » Karektor Petani dalam Menjana Produktiviti Padi Pulut di Malaysia

Karektor Petani dalam Menjana Produktiviti Padi Pulut di Malaysia

Pulau Langkawi telah dipilih dan diwartakan sebagai tempat permulaan untuk penanaman padi pulut di Malaysia. Perancangan asalnya, tanah seluas 1200 hektar di pulau ini dipilih untuk operasi tanaman padi pulut. Namun ia perlu dilaksanakan secara berperingkat mengikut kapasiti bilangan petani, tanah yang perlu disuburkan dengan jentera berteknologi tinggi, dan  fasiliti yang sedia ada. Walaupun tanah disini adalah tanah pulau yang berpasir dan polos air, namun pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani  (MAFI) mengambil inisiatif untuk menjana pendapatan petani melalui tanaman padi pulut. Apatah lagi, data pembelian import pulut dari negara jiran menunjukkan peningkatan puluhan juta ringgit pada setiap tahun. Tambahan pula, sekuriti makanan dalam negara yang mulai menunjukkan data penurunan ke tahap 60% menjadikan kerisauan kecukupan makanan untuk rakyat. Tahap ini adalah indikator penting yang menunjukkan program tanaman padi pulut dan latihan pertanian kepada petani perlu dilakukan dengan segera.

Perancangan rapi telah dilakukan dengan baik sekali dimana setiap agensi dibawah naungan MAFI iaitu MARDI, Jabatan Pertanian Malaysia (JPM), Persatuan Peladang Kawasan (PPK) yang bukan sahaja terdiri dari pihak pengurusan tanaman tetapi juga pihak jentera bertungkus lumus menyediakan tapak sawah untuk tanaman padi pulut. Awal tahun 2020 adalah tahun yang penuh dengan program pembangunan tanah, fasiliti pertanian dan tidak lupa juga pembangunan modal insan dalam kalangan golongan petani di Pulau Langkawi. Perlaksanaan program tanaman padi pulut diletakkan dibawah selia PPK Langkawi. Urusan fasiliti tanah dan pemilihan petani yang berminat untuk menyertai program ini dilaksanakan oleh PPK. Penyediaan biji benih dari pihak MARDI membantu untuk memulakan tanaman ini. MARDI yang telah dikenali dengan penghasilan kajian benih tanaman termasuklah padi pulut siding bertanggungjawab menghasilkan benih pulut yang bermutu tinggi. Pihak JPM pula, memberi latihan kepada petani dalam penanaman tanaman padi pulut. Agak mencabar bagi pihak JPM Langkawi untuk memberi latihan dengan petani apabila Covid 19 melanda dan telah menghalang komunikasi secara fizikal bersama petani. Segala cabaran yang dihadapi oleh agensi di bawah naungan MAFI telah berhasil kini. Petani mula dapat bernafas dengan selesa apabila tuaian hasil memberikan manfaat yang lebih tinggi dari tanaman padi biasa.

Walaupun pihak agensi telah berusaha gigih untuk membuka tanaman padi pulut di Langkawi dan disertai dengan konsep “smart farming” atau pertanian moden dan jentera canggih namun, kepentingan petani yang merupakan sumber utama program ini amat diperlukan. Dalam penulisan ini, tiga karektor  petani penting yang perlu ada pada petani untuk menjana produktiviti tanaman padi pulut dalam negara.

Yang pertamanya adalah petani yang berilmu dan berpengalaman dalam penanaman padi pulut menghasilkan pengeluaran padi pulut lebih tinggi. Dalam program ini, kebanyakkan yang terlibat adalah petani generasi lama yang berumur 55 tahun ke atas. Sesetengah dari mereka adalah pesara dan berpencen, dan sebahagiannya lagi adalah pesawah dan menjalankan kerja kampung. Segilintir dari mereka adalah golongan belia yang berumur 40 tahun kebawah. Boleh dikatakan dari 300 petani yang sertai program ini, hanya 20 orang sahaja belia muda. Tiga kumpulan  ini, masing masing mempunyai kekuatan, ilmu padi pulut yang dipelajari secara formal dan informal, serta pengalaman masing masing. Golongan muda ini adalah generasi Y yang cekap dalam penggunaan Internet dan Teknologi Pertanian. Mereka bijak mencari maklumat dari Internet walaupun mereka sekadar tamat pengajian di peringkat menengah. Golongan muda yang berminat mendapat pengalaman pertanian dengan golongan  yang telah berusia ini, menghasilkan produktiviti padi pulut yang lebih baik di kampung mereka.

Yang keduanya, petani yang berkepimpinan menjalankan tanggungjawabnya sebagai peserta program padi pulut dapat meningkatkan produktiviti padi pulut. Kami tim sosioekonomi status (SES) melawat bendang padi pulut di beberapa kawasan di Pulau Langkawi. Sebanyak lapan kampung yang terlibat dengan 300 peserta yang mengoperasikan sawahnya. Setiap kampung tersebut mempunyai beberapa orang ketua plot yang berperanan menjaga kebajikan keseluruhan bendang dan petani yang berada di bawahnya. Ketua Plot telah dilantik oleh PPK untuk pengurusan tanaman yang melibatkan pengagihan biji benih, baja, racun dan sebagainya. Ketua Plot adalah petani yang mempunyai ciri ciri kepimpinan yang tinggi, mampu berunding dengan petani dan pegawai PPK, MARDI dan juga JPM. Pemimpin yang bertanggungjawab ini dapat menggalakkan petani di kawasannya untuk sama sama mengerjakan sawah padi dan menghasilkan produktiviti padi yang berkualiti.

Yang ketiga, petani yang komited dengan tugasnya, rajin turun ke bendang untuk menyulam dan mengambil tahu keadaaan bendangnya setiap hari. Amat mendukacitakan apabila ada sebahagian kecil kawasan yang tanaman padi pulutnya tinggi sama dengan Lalang/rumput terbiar dibendang. Ditambah pula dengan isu siput gondang yang membiak dan memakan pokok padi pulut yang mulai tumbuh. Boleh dikatakan, bukan sahaja petani yang komited akan menghasilkan produktiviti yang tinggi. Isteri dan anak anak sekeluarga yang komited membantu petani ini menguruskan sawah tanaman padi pulut juga factor penting dalam penghasilan produktiviti padi pulut. Sebagai contoh, aktiviti menyulam sering dilakukan oleh wanita atau isteri yang membantu suami atau ayah mereka mengerjakan sawah. Aktiviti menyulam adalah aktiviti membuang rumput terbiar dalam petak sawah supaya pokok padi pulut dapat tumbuh dengan baik, baja diperolehi secukupnya tanpa perlu berkongsi bersama tumbuhan liar. Aktiviti tersebut dilakukan di awal waktu pagi dan dilewat waktu petang. Pemandangan ini sering dilihat apabila pokok mulai tumbuh dan membesar. Bagi petani yang komited mereka akan ke bendang setiap hari, melakukan tugasnya dan mengawasi perosak.

Kesimpulan yang diperolehi tentang karektor penting petani dan perkaitannya dengan penghasilan produktiviti padi pulut tidak disangkal. Apatah lagi dengan pertanian moden dan penggunaan jentera canggih membantu petani meningkatkan produktiviti dari 3mt ke 5mt. Dijangka pihak MAFI inginkan hasil dari 5mt ke 7mt perhektar, namun pelbagai faktor luaran yang mengganggu usaha ini seperti cuaca dan serangan penyakit. Di Pulau Langkawi, cuaca yang tidak menentu dan angin kuat di beberapa kawasan kampung menyebabkan padi pulut rebak dan mengurangkan produktiviti padi pulut.

 

 

Tarikh Input: 09/08/2022 | Kemaskini: 09/08/2022 | nooryati

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
SXDcSAv~