31 Julai 2026 | Park Inn by Radisson, Putrajaya
Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Majlis Apresiasi ICYOUTH 2026 dan Forum 25 Tahun IPSAS pada 31 Julai 2026** bertempat di Park Inn by Radisson, Putrajaya.
Majlis yang bermula pada jam 3.00 petang ini telah menghimpunkan seramai 50 orang peserta yang terdiri daripada mantan Pengarah, mantan Timbalan Pengarah, mantan Ketua-Ketua Laboratori, Penasihat IPSAS, bekas staf serta seluruh warga IPSAS. Kehadiran mereka menjadi lambang penghargaan terhadap jasa dan sumbangan yang telah membentuk perjalanan IPSAS sepanjang 25 tahun penubuhannya.
Kemuncak program adalah Forum 25 Tahun IPSAS yang menampilkan tiga tokoh berpengalaman iaitu Prof. Emeritus Dato' Dr. Sulaiman Md. Yassin, Prof. Dr. Ismi Arif Ismail dan Dr. Asnarulkhadi Abu Samah, dengan sesi forum dikendalikan oleh Prof. Dr. Haslinda Abdullah, Pengarah IPSAS.
Sepanjang forum berlangsung, para panel telah berkongsi pengalaman, pandangan serta pelbagai cadangan strategik bagi memperkukuh peranan IPSAS sebagai institusi penyelidikan sains sosial yang terus relevan, berimpak tinggi dan mampu menerajui agenda pembangunan masyarakat di peringkat nasional dan antarabangsa. Perkongsian tersebut turut menekankan kepentingan inovasi, kolaborasi strategik serta pembangunan bakat bagi memastikan IPSAS terus melakar kecemerlangan pada masa hadapan.
Majlis ini turut menjadi platform untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan 5th International Conference on Youth (ICYOUTH) 2026, sekali gus mengiktiraf komitmen dan dedikasi seluruh jawatankuasa serta warga IPSAS dalam memastikan kejayaan penganjuran persidangan antarabangsa tersebut.
Dalam suasana penuh penghargaan dan nostalgia, majlis turut meraikan persaraan Dr. Jeffrey Lawrence D'Silva, Timbalan Pengarah IPSAS yang telah menabur bakti selama 17 tahun, serta perpindahan Encik Zamri Kamal Baharin, pemandu IPSAS yang telah berkhidmat selama 22 tahun. Segala jasa, komitmen dan sumbangan mereka dalam memajukan IPSAS akan sentiasa dikenang dan dihargai.
Semoga sambutan 25 Tahun IPSAS menjadi titik tolak kepada pencapaian yang lebih gemilang, memperkukuh kecemerlangan penyelidikan serta memperluaskan impak IPSAS dalam membangunkan masyarakat yang sejahtera.
Date of Input: 03/08/2026 |
Updated: 03/08/2026 | alyarahim
MEDIA SHARING