- | INSTITUTE FOR SOCIAL SCIENCE STUDIES
» ARTICLE

-

SETIAP individu manusia mempunyai kelemahan. Seseorang itu tidak terlepas dari melakukan dosa dan kesalahan. Cuma adakalanya kita sedar, ataupun tidak. Maksum hanya ada pada sifat seorang Nabi.

Dalam konteks Islam, Rasulullah SAW  mengajar kita supaya beristighfar walaupun selepas membuat sesuatu amal kebaikan. Misalnya, solat bukan perbuatan dosa, bahkan perintah yang ulung dari Allah SWT.

Tetapi selepas solat, seseorang itu diperintah untuk beristighfar. Kerana apa? Supaya dengan istighfar, Allah SWT tampung kecuaian seseorang dalam solat. Begitu juga dalam amal kebaikan yang lain.

Walaupun manusia sebaik-baik ciptaan, manusia tidak sunyi daripada melakukan kesalahan. Kita menumpang kebaikan orang lain.

Saling lengkap melengkapi. Namun, ini bukan alasan untuk seseorang itu tidak memperbaiki diri. Hanya sekadar peringatan untuk beritahu supaya kita jangan mencari-cari keaiban orang lain.

Allah SWT beri kita sepasang mata secara fitrahnya. Hikmahnya, satu mata untuk lihat kebaikan orang lain, satu mata lagi untuk lihat keaiban diri sendiri. Walaupun seseorang itu kita nampak mempunyai 99 keburukan, tetapi kita perlu pandang satu kebaikan pada dirinya.

Begitu juga, kalau diri kita mempunyai 99 kebaikan, kita perlu pandang satu keburukan diri kita. Bimbang kerana satu keburukan ini, Allah SWT campak kita ke neraka, nauzubillah min zalik.  

Untuk itu, kita perlu sibuk lihat keaiban diri kita, sehingga tiada masa untuk lihat keaiban orang lain. Baru kita akan mula memperbaiki kelemahan kita. Pada masa sama, kita perlu mendoakan kebaikan orang lain. Mohon keampunan Allah SWT bagi pihak mereka.

Kita perlu faham bahawa kelemahan saudara kita itu, sebenarnya adalah kelemahan diri kita. Sebuah hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari menyebut, “Seorang mukmin adalah cermin bagi saudaranya. Jika dia melihat suatu aib pada diri saudaranya, maka dia memperbaikinya”.

Jika kita lihat cermin dan terlihat kotoran pada wajah kita, adakah kita akan membersihkan kotoran wajah kita di dalam cermin? Sudah pasti tidak. Kita akan bersihkan kotoran yang melekat pada diri kita sendiri.

Oleh sebab itu, jika kita terlihat keaiban saudara kita (akibat sesuatu kesalahan), sepatutnya kita rasa sedih kerana kita belum sempat untuk menasihatinya, lantas mendoakan kebaikan untuk dirinya. Menuding jari kepada sesiapa, “ini semua salah si fulan” bukan akhlak Rasulullah SAW .

Rasulullah SAW dibaling batu di Thaif. Sesetengah riwayat menyebutnya dilempar sejauh tiga batu. Tiada langkah yang tidak terkena batu. Jasad baginda yang mulia berdarah.

Walaupun, malaikat datang menawarkan bantuan, tetapi Rasulullah SAW  tidak mahu penduduk Thaif dihancurkan. Sebaliknya, Baginda mengadukan kelemahannya serta kekurangan daya upayanya di hadapan Allah SWT.

Perlu kita ingat, semua maksiat dan dosa yang berleluasa hari ini, merupakan kegelapan (zulumat). Kegelapan tidak hilang dengan kita mengherdiknya, mencacinya atau memukulnya.

Kegelapan hilang apabila datangnya cahaya. Ada tuntutan kebaikan yang sepatutnya kita lakukan yang dengannya tersembunyi cahaya Ilahi. Oleh itu, jangan mencari-cari keaiban saudara kita.

Dalam situasi masyarakat hari ini, sememangnya ada golongan yang taat dan ada golongan yang ingkar dalam melaksanakan suruhan agama. Sesetengahnya berkebolehan membimbing, yang lainnya memerlukan bimbingan.

Rasulullah SAW pesan supaya kita menyampaikan kebaikan (agama) walaupun satu ayat. Ini bukan bebanan, sebaliknya keringanan. Bukan syaratnya perlu menjadi alim besar terlebih dahulu untuk sampaikan kebaikan.

Maksud sebuah hadith “Barangsiapa yang menunjukkan kepada suatu kebaikan, maka dia memperoleh pahala seperti orang yang mengerjakannya (kebaikan)”.

Tanya apa peranan dan sumbangan kita. Pada masa yang sama, jangan beri peluang pada syaitan supaya orang lain terlihat keburukan kita. Supaya kita pula tidak menjadi penghalang kepada orang lain untuk memperbaiki diri mereka.

Artikel diterbitkan dalam Akhbar KOSMO pada 5 Mei 2017

Disediakan oleh : 

Dzuhailmi Dahalan
Pegawai Penyelidik Sosial
Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia
dzuhailmi@upm.edu.my

 

Updated:: 25/07/2017 [nm_aini]

MEDIA SHARING

INSTITUTE FOR SOCIAL SCIENCE STUDIES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0389471872
0389471876
C1508582054