USAH MENYESAL JIKA HUTAN PAYA GAMBUT ‘HILANG’ | INSTITUTE FOR SOCIAL SCIENCE STUDIES
» ARTICLE » USAH MENYESAL JIKA HUTAN PAYA GAMBUT ‘HILANG’

USAH MENYESAL JIKA HUTAN PAYA GAMBUT ‘HILANG’

**Article published in Bahasa Melayu and no translation in English**
**Article has been edited and published in Berita Harian date 27 February 2020.**

Oleh Haliza Abdul Rahman

Hutan paya gambut di Malaysia terbentuk antara 4,000 dan 5,000 tahun lalu. Data Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) pada 2017, mengesahkan ia berkeluasan 253.45 ribu hektar daripada keluasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Semenanjung Malaysia.  Di Semenanjung, hutan jenis ini hanya ditemui di Selangor, Pahang, Johor serta Terengganu, malah dianggap mempunyai spesies tumbuhan spesifik. Malah, hanya 24 spesies pokok daripada 18 famili terhad secara esklusif dijumpai di hutan paya gambut ini.

Ekosistem ini juga menjadi tempat pembiakan beberapa jenis ikan air tawar hilir sungai bernilai komersil. Kajian menunjukkan ia menyediakan habitat perlindungan beberapa sepsis reptilia terancam seperti buaya julung-julung (Tomistoma schelege-lili).  Hutan paya gambut mempunyai beberapa rangkaian fungsi dan perkhidmatan ekosistem penting dalam menjamin kelangsungan hidup manusia dan kesejahteraan alam.

Perkhidmatan ekosistem menjelaskan dari segi komponen kesejahteraan hidup yang dinikmati melalui sumbangn secara langsung dan tidak langsung daripada kawasan hutan paya gambut.  Umumnya terdapat 22 jenis perkhidmatan ekosistem dikenal pasti, terbahagi kepada empat katogeri, iaitu perkhidmatan pembekalan, kawalan, habitat atau sokongan dan kebudayaan dan kemudahan.  Walaupun berperanan penting, ekosistem paya gambut sering tidak dihargai. Litupan paya gambut hanya tiga peratus daripada keseluruhan permukaan bumi, namun ia bertanggungjawab menyerap dua kali ganda karbon dioksida berbanding hutan jenis lain.

Justeru, keupayaan hutan ini menyerap karbon dioksida membantu menstabilkan iklim dengan memperlahankan proses pemanasan global. Dua dekad mutakhir, hutan paya gambut menerima kesan daripada kegiatan manusia melalui pembanguna tebus guna dan saliran. Ia mengakibatkan pelbagai kesan buruk kepada keutuhan keseluruhan ekosistem hutan. Natijahnya, ekosistem hutan paya gambut terus musnah atau lenyap akibat ‘dikorbankan’ secara berterusan untuk memberi laluan kepada pelbagai bentuk pembangunan. Semakin bertambah kehendak ekonomi, semakin meningkatnya tekanan untuk membuka dah menebus guna hutan ini.

Di Malaysia dan Indonesia, jutaan hektar tanah paya gambut diteroka dan dieksploitasi meluas, terutama oleh sektor pertanian. Di Asia Tenggara, 13 juta hektar hutan paya gambut dibersihkan untuk pertanian dan agro-perhutanan dengan lebih 2 juta hektar untuk tanaman kelapa sawit. Antara projek besar-besaran membabitkan pembukaan jutaan tanah paya gambut ialah Projek Mega Satu Million Padi di Kalimantan Tengah pada 1995. Melaluinya, seluas 1.46 juta hektar Kawasan paya gambut dibersihkan dan 4,618 kilometer (km) parit serta tali air selebar lima meter digali.

Kegagalan projek ini menjejaskan kehidupan masyarakat tempatan. Sekali gus menghapus tumbuhan dan hidupan liar yang sebahagiannya belum pernah diiventori serta melupuskan semua simpanan bijian yang ada dalam ekosistem berkenaan.  Situasi terkini menunjukkan hutan paya gambut terus diancam. Terkini, terdapat ura -ura kerajaan Selangor untuk menyahwartakan antara hutan paya gambut penting, iaitu Hutan Simpan (HS) Kuala Langat Utara daripada senarai HSK untuk memberi laluan kepada pembangunan.

Hutan Simpanan ialah hutan paya gambut dan hutan tanah pamah serta menjadi baki HSK dahulu yang sebahagian besarnya dinyahwarta dan ditukar guna tanahnya bagi tujuan pembangunan sejak lebih 50 tahun.  Hutan Simpanan Kuala Langat Utara ialah Kawasan penting pemuliharaan kepelbagaian biologi dengan menyokong beberapa kehidupan spesies jarang ditemui seperti beruang matahari, tupai terbang terkecil Selangor dan ikan laga merah Langat.

Selain itu, HSK juga berperanan sebagai habitat beberapa spesies dipterokarp yang mempunyai status ‘terancam kritikal’ dan ‘terancam’. Jika cadangan itu menjadi realiti, sudah pasti akan mengecilkan lagi keluasan HSK di Selangor dan Kuala Langat khususnya.  Perlu ditegaskan, kebanyakan projek pembangunan dilaksanakan di hutan paya gambut menjejaskan integriti dan kestabilan ekosistem serta meninggalkan kemusnahan yang tidak sedikit.

Walaupun tidak menyalahi undang -undang (berdasarkan Perkara 74 (2) Perlembangaan Persekutuan), cadangan penyahwartaan Hutan Simpan itu tidak selari perancangan kerajaan negeri dalam Rancangan Struktur Negeri 2035 untuk mengekalkan 32 peratus kawasan hutan di Selangor. Ia juga tidak selari matlamat dan objektif JPSM mewartakan atau mengekalkan Kawasan HSK di Semenanjung Malaysia seluas lima juta hektar menjelang 2020.

Janganlah kita menyesal kemudian hari apabila kenaifan memusnahkan hutan paya gambut yang ternyata mempunyai pelbagai fungsi dan kepentingan. Justeru, penggubal dasar, perancang dan pelaksana pembangunan harus mengarusperdanakan keperluan mengekalkan hubungan ini dengan mengintegrasikan prinsip pemuliharaan ke dalam dasar, pelan dan program aktiviti ekonomi dan pembangunan negara.  Sudah sampai masanya pendekatan pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan disepadukan dan diselaraskan pelaksanaannya bagi mengekang kemusnahan berterusan hutan ini.

 

Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman
Head
Laboratory of Health and Social Well Being 
Institute for Social Science Studies
Universiti Putra Malaysia
haliza@upm.edu.my 

Date of Input: 21/04/2020 | Updated: 21/04/2020 | nm_aini

MEDIA SHARING

INSTITUTE FOR SOCIAL SCIENCE STUDIES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
0389471876
C1590570120