Pemerkasaan Mutu Kesihatan Negara Melalui Penggunaan Teknologi Terbaharu | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
» BERITA » Pemerkasaan mutu kesihatan negara melalui penggunaan teknologi terbaharu

Pemerkasaan mutu kesihatan negara melalui penggunaan teknologi terbaharu

Prof Dr Rusli Abdullah

PENGGUNAAN teknologi terbaharu di dalam kehidupan rakyat dan negara pada masa kini dilihat meningkat dari semasa ke semasa terutamanya di dalam mengharungi situasi semasa pandemik dan endemik disebabkan Covid-19.

Bermula dengan penggunaan aplikasi tertentu seperti MySejahtera bagi rakyat di Malaysia, dan Peduli di Indonesia memberikan banyak pengetahuan dan pengalaman kepada semua pihak bagi mengenalpasti tujuan alatan yang berkaitan dengan teknologi terbaharu boleh memberikan manfaat kepada mereka terutamanya hal ehwal cerapan dan memanipulasikan data secara analitik terhadap maklumat kesihatan berkenaan.

Di samping itu, penggunaan teknologi terbaharu ini juga dikaitkan dengan beberapa teknologi seperti teknologi kecerdasan buatan (artificial intelligence - AI), data raya (big data), pengintegrasian dan pengautomasian sistem dengan kefungsian sistem cerdas (Intelligent system), komputeran awan (cloud computing), teknologi internet benda (Internet of things (IoT), realiti maya (virtual reality), rantai blok (block chain), dan pelbagai teknologi lain yang dikaitkan dengan teknologi revolusi perindustrian - Industrial Revolution (IR) 4.0 yang difikirkan sesuai dan seiring dengan keperluan mereka.

Dengan kombinasi semua alatan teknologi baharu itu di dalam pelbagai bentuk penggunaan aplikasi seperti tele-perubatan, penggunaan alatan kecerdasan buatan seperti robot dan softbot dilihat dapat membantu semua pihak yang berkepentingan di dalam bidang sains perubatan dan meningkatkan mutu kesihatan negara ke tahap yang maksimum.

Peranan teknologi terbaharu di dalam pengurusan kesihatan negara

 
Pengkategorian ini adalah berdasarkan kepada keperluan dan penggunaan teknologi terhadap pemegang taruh yang terdiri daripada pengamal perubatan seperti doktor, jururawat dan farmasi, pentadbir pusat kesihatan seperti pegawai kesihatan, penyokong operasi perubatan seperti pembekal ubatan dan kemudahan perubatan, dan pesakit itu sendiri.

Di dalam konteks pengamal perubatan, terdapat pelbagai alatan yang boleh digunakan oleh mereka bagi memastikan bahawa mutu perkhidmatan kepada pengguna seperti pesakit dapat dipertingkatkan dengan lebih berkesan seperti proses pendaftaran, pengesanan penyakit dan rawatan, profil data pesakit dan cerapan data mereka secara automatik serta proses konsultasi yang boleh dilakukan oleh pelbagai alatan sama ada secara fizikal ataupun secara dalam talian atau realiti maya.

Begitu juga dengan pentadbir pusat kesihatan, mereka boleh menggunakan sistem automasi yang dilengkapi dengan sistem pintar bagi tujuan pemantauan penyakit dan pesakit dengan mengeluarkan maklumat kepada pihak berkepentingan tertentu melalui sistem data raya dan sistem pintar yang beroperasi di pelantar komputeran awan serta menggunakan teknologi pengesanan IoT untuk mengeluarkan amaran awal berbentuk hotspot dan sebagainya.

Di dalam konteks pembekal atau penyedia ubatan dan kemudahan perubatan seperti hospital atau pusat kesihatan, penggunaan teknologi terbaharu seperti penggunaan rantai blok di dalam sistem maklumat perubatan dan sistem kewangan boleh meningkatkan tahap kawalan keselamatan data perubatan bagi semua pihak yang terbabit seperti data pesakit dan sebagainya.

Selanjutnya, di dalam konteks pesakit, teknologi terbaharu ini dilihat amat penting sekali.

Hal ini terutamanya di dalam proses mengenalpasti dan memperolehi data pesakit melalui teknologi IoT, merawat melalui cadangan nama dan jenis ubatan serta melaksanakan proses baikpulih atau rehabilitasi dengan menggunakan sistem robotik dan sistem pengrekodan maklumat yang mampu berfungsi mengikut keperluan mereka iaitu sama ada menggunakan peranti seperti telefon pintar ataupun jam pintar (smart watch) serta alatan robotik yang boleh beroperasi pada setiap masa.

Isu dan Cabaran

Isu dan cabaran utama di dalam memastikan mutu kesihatan ini dapat dilestarikan, ini termasuklah isu yang berkaitan dengan privasi dan keselamatan data, isu terhadap ketersediaan dan penerimaan teknologi dan proses pendigitalan, serta implikasi kos yang terbabit dalam perolehan dan penggunaan teknologi ini.

Dalam konteks privasi dan keselamatan data, teknologi yang diperkenalkan haruslah mampu mengatasi permasalahan seperti kebocoran data dari sistem serta mampu mengawal data dan sistem dari pihak yang cuba menceroboh sistem.

Oleh itu, sistem dinding api (firewall) dan digital ID seperti sistem biometrik perlulah diperkenalkan selari dengan perkembangan terkini dalam bidang realiti maya.

Di samping itu juga tahap capaian pengguna bagi mencapai sistem maklumat pengurusan dan kewangan serta sistem penempatan pesakit di pusat perubatan dan termasuk juga capaian sistem aplikasi seperti MySejahtera haruslah mampu dimiliki oleh semua pihak dan ianya selari dengan proses pendigitalan secara inklusif atau lebih dikenali sebagai digital inclusion.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya, penggunaan teknologi terbaharu ini mampu mengubah cara pengendalian dan amalan semua pemegang taruh ke arah memastikan tahap mutu kesihatan dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Di samping itu, penggunaan teknologi terbaharu juga dapat memudahkan pihak berkepentingan membuat keputusan dan ramalan secara holistik dengan cepat, tepat dan pada bila-bila masa mengikut keperluan masing-masing.

Akhirnya, ianya dapat meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan dengan lebih cemerlang dan lebih jimat daripada aspek masa dan penggunaan sumber seperti kewangan dan lain-lain lagi.

Seterusnya, ianya juga mampu menarik minat pelbagai pihak bukan saja di dalam negara malah pihak lain yang berada di luar negara untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan dan melalui cara ini ianya dengan secara tidak langsung akan memberi nilai tambah terhadap penjanaan kuantiti pendapatan terhadap mereka yang terlibat di dalam aspek perubatan ini dan selanjutnya meningkatkan industri pelancongan penjagaan kesihatan (healthcare tourism) di dalam sebuah negeri atau negara yang berkaitan.

Penulis adalah Profesor di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, UPM, Pemikir Penyelidikan di Institut Kajian Sains Sosial (IPSAS), UPM dan Timbalan Pengerusi Kluster ICT, Majlis Profesor Negara

Tarikh Input: 15/08/2023 | Kemaskini: 15/08/2023 | zulshafiq

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
SXFCOA4~