PLASTIK, BEBAN KEPADA ALAM SEKITAR | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
» BERITA » PLASTIK, BEBAN KEPADA ALAM SEKITAR

PLASTIK, BEBAN KEPADA ALAM SEKITAR

Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
 
Oleh :
Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman


Menurut penyelidik, plastik dianggar menghasilkan 19 peratus gas rumah hijau global menjelang 2040 seterusnya menghalang dunia daripada memenuhi komitmen Perjanjian Paris untuk mengehadkan kenaikan purata suhu permukaan bumi kepada 1.5 darjah Celsius, melebihi paras pra-industri. Menurut Inger Andersen, Pengarah Eksekutif Program Alam Sekitar PBB (UNEP), kaedah plastik dihasilkan, cara menggunakan dan melupuskannya mengakibatkan pencemaran ekosistem, menimbulkan risiko kepada kesihatan manusia serta menggugat kestabilan iklim.

Di seluruh dunia, satu juta botol plastik dibeli setiap minit, manakala sehingga lima trilion beg plastik digunakan di seluruh dunia setiap tahun. Pengeluaran plastik terus berkembang, dengan separuh daripada semua plastik yang dihasilkan direka untuk tujuan sekali guna. Kira-kira 36 peratus daripada semua plastik yang dihasilkan adalah digunakan dalam pembungkusan, termasuk produk plastik sekali guna untuk bekas makanan dan minuman. Dianggarkan 85 peratus daripada plastik ini berakhir di tapak pelupusan sampah atau sebagai sisa tidak terkawal. Secara kasar, separuh plastik yang dilupuskan tidak diselenggara dengan betul dengan kebanyakannya dibuang di persekitaran atau dibakar.

Pada 2020, sekitar 238 juta tan metrik sampah adalah plastik sekali guna seperti bungkusan yang dibuang dan ini berlaku di serata dunia. Natijahnya, jika tidak ada perubahan ketara, UNEP menjangka setiap tahun, sampah plastik ini akan mencecah 408 juta tan metrik menjelang 2040. Hasil perangkaan global mendapati bahawa lima trilion beg plastik digunakan setiap tahun dan 13 juta tan daripadanya dibuang ke laut. Selain itu, dianggarkan sejuta botol plastik dibeli setiap minit dan 100,000 hidupan laut terbunuh disebabkan plastik pada setiap tahun.

Di Malaysia, dianggarkan secara purata sebanyak sembilan bilion plastik digunakan oleh rakyat Malaysia pada setiap tahun, dan sebahagian besarnya berakhir di lautan. Malah, data kertas penyelidikan terbitan ahli akademik Belanda, Lourens JJ Meijer pada 2021 menunjukkan kedudukan Malaysia di tempat ketiga senarai 10 negara teratas menjadi penyumbang utama pencemaran plastik di lautan. Berdasarkan laporan terbitan World Wildlife Fund (WWF-Malaysia) pada 2022, Malaysia mencatatkan pembungkusan plastik per kapita tahunan bagi setiap orang adalah 16.8 kilogram.

Kurangkan penggunaan plastik sekali pakai

Plastik mengambil masa lama untuk mereput dan tempohnya bergantung kepada lokasi bahan itu berada. Apabila bahan ini susah mereput ia akan menambahkan lagi bilangan plastik sedia ada hingga menjadi beban kepada alam sekitar. Justeru, isu pencemaran plastik akan menjadi kritikal dalam beberapa tahun akan datang. Maka, dunia perlu mengurangkan hingga separuh penggunaan plastik sekali pakai dan mengurangkan pembuangannya untuk mencegah pencemaran alam sekitar. Untuk membendung pencemaran plastik sebanyak 80 peratus dan mengurangkan separuh pengeluaran plastik sekali pakai menjelang 2040, fokus utama harus diberi kepada penggunaan semula, kitar semula dan mempelbagaikan bahan yang digunakan. Jika ini dapat dilakukan, maka sebahagian punca pencemaran dan punca bahaya akan dapat dielakkan.

Dengan adanya 'perubahan sistem', angka pencemaran itu boleh dikurangkan menjadi 41 juta tan metrik. Penggunaan semula dikenal pasti sebagai langkah paling berkesan dan dapat mengurangkan pencemaran plastik sehingga 30 peratus menjelang 2040. Kaedah kitar semula, jika dilaksanakan dengan baik dapat mengurangkan pencemaran plastik sekitar 20 peratus.

Hakikatnya, ancaman senyap daripada penggunaan barangan plastik membimbangkan banyak pihak. Natijahnya, ramai tidak menyedari plastik adalah musuh ‘senyap’ kepada manusia dan boleh ‘membunuh’. Bahan plastik mengandungi pelbagai jenis bahan kimia termasuk yang toksik, dan apabila dikitar semula bahan toksik ini mungkin berakhir dalam mainan dan barangan pengguna yang boleh mengancam kesihatan awam. Sehingga beribu-ribu bahan kimia berbahaya yang digunakan dalam plastik dihapuskan, pengitaran semula akan kekal toksik.

Kajian saintis mendapati kesan bahaya plastik kepada manusia hanya dapat dilihat selepas 40 tahun. Oleh itu, kemungkinan besar peningkatan penyakit kanser yang berlaku mutakhir disebabkan penggunaan plastik secara berleluasa dan berterusan sejak sekian lama. Penyelidik dari Universiti Lund, Sweden mendapati nanoplastik yang terkumpul dalam tisu otak ikan menyebabkan perubahan tingkah lakunya menjadi seperti tidak aktif. Senario itu menunjukkan betapa bahayanya kesan plastik terhadap alam sekitar, manusia dan hidupan lain.

Pengurusan sisa plastik tidak sistematik adalah faktor utama yang menyumbang kepada pencemaran alam sekitar. Maka, pengurusan sisa plastik yang baik perlu dilakukan secara lebih menyeluruh mencakupi setiap peringkat industri, sama ada industri kecil, sederhana dan besar. Selain itu, aktiviti penyelidikan tentang pencemaran plastik perlu digerakkan dengan lebih aktif bagi mengenal pasti usaha-usaha yang lebih berkesan dalam mengurangkan penggunaan plastik dan meneroka alternatif yang lebih mesra alam bagi menggantikan plastik agar beban pencemaran ke atas alam sekitar dapat dikurangkan ke tahap yang paling minimum.

Natijahnya, kebanyakan pembungkusan makanan direka bentuk untuk kegunaan sekali sahaja dan tidak dikitar semula. Justeru, Pihak berkuasa tempatan (PBT) hendaklah melaksanakan tanggungjawab dalam mewujudkan satu mekanisme yang berkesan untuk mewujudkan ekosistem pengurusan sisa plastik. Pulau Pinang misalnya, telah merangka Dasar Pengurusan Sisa Plastik bagi meminimumkan impak pencemaran plastik di negeri itu dengan PBT sebagai pelaksana dasar. Dasar berkenaan melihat kepada pendekatan pengurusan dan kawalan terhadap kitaran hayat produk plastik dari peringkat pengeluaran sehingga proses pelupusan yang turut mengambil kira kepentingan pemegang taruh secara menyeluruh termasuk rakyat, pengilang, alam sekitar serta kerajaan.

Kerajaan pula telah melancarkan “Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030”. Baru-baru ini, diumumkan bahawa kerajaan menyasarkan untuk mengharamkan penggunaan beg plastik untuk pembelian runcit merentasi semua sektor perniagaan di seluruh negara menjelang 2025. Langkah ini adalah dialu-alukan tetapi kita memerlukan tindakan yang lebih segera dan lebih banyak produk plastik sekali guna diharamkan.

Semua pihak perlu menyokong usaha kerajaan menangani isu pencemaran plastik dengan mengurangkan penggunaan plastik dalam kehidupan seharian dan bebanan plastik kepada ekosistem dan alam sekitar. Penggunaan plastik perlu diperangi habis-habisan dan fikir semasak-masaknya sebelum memilih untuk menggunakan plastik sama ada ia keperluan atau sebaliknya. Cara yang paling mudah untuk bersama-sama melindungi alam sekitar ialah dengan mengubah gaya hidup kita dan mengurangkan kadar kebergantungan terhadap plastik.

BERNAMA 

Prof. Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Makmal di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan/ Institut Pengajian Sains Sosial Universiti Putra Malaysia.

Tarikh Input: 15/08/2023 | Kemaskini: 15/08/2023 | zulshafiq

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
SXFCIAE~