Sedia Rangka Tindakan Menyeluruh Hapuskan 'kemiskinan Air' | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
» BERITA » Sedia rangka tindakan menyeluruh hapuskan 'kemiskinan air'

Sedia rangka tindakan menyeluruh hapuskan 'kemiskinan air'

Sedia rangka tindakan menyeluruh hapuskan 'kemiskinan air'

Oleh Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman - Ogos 28, 2023 @ 10:05am

 
 
Tidak dinafikan keselamatan dan kebersihan air di negara ini sudah bertambah baik sejak merdeka, tetapi kita tidak boleh menafikan usaha holistik masih diperlukan untuk memastikan akses kepada air bersih bersifat menyeluruh, iaitu dapat dicapai segenap lapisan masyarakat tanpa mengira status ekonomi, fahaman politik dan lokasi.
 

Terdapat sebahagian segmen masyarakat masih sukar memperoleh kemudahan dan akses kepada air bersih contohnya, Orang Asli disebabkan penempatan jauh di luar bandar sehingga sangat bergantung pada sumber air berdekatan seperti sungai, kolam dan telaga untuk kegunaan harian dan minuman atau masakan.

Namun, air diguna sekian lama mungkin tidak pernah dibersihkan atau dirawat berikutan risiko masalah pencemaran yang boleh menyebabkan masalah kesihatan fizikal dan mental kepada komuniti berkenaan.

Taun misalnya penyakit berjangkit akut menyebabkan cirit-birit teruk akibat makanan atau air tercemar dengan bakteria vibrio cholerae yang boleh menyebabkan kematian akibat dehidrasi teruk.

Hakikatnya, air bersih masih dikira sebagai 'satu kemewahan' bagi sebilangan rakyat termasuk Orang Asli. Komuniti di luar bandar di kawasan tertentu pula mungkin tidak selalu mendapat sumber bersih atas pelbagai faktor seperti pencemaran dan kekurangan kemudahan bagi mendapatkan bekalan bersih dan terawat.

Sejumlah 300 penduduk di FELDA Panching Utara dekat Kuantan misalnya, dilaporkan berdepan masalah air bersih sejak setahun lalu.

Di negara ini, krisis air disumbangkan antaranya kekurangan air mentah, penurunan aras air bawah tanah dan pencerobohan air laut ke kawasan air mentah akibat pengekstrakan air bawah tanah berlebihan.

Faktor lain adalah peningkatan populasi, kemarau, tiada kesedaran terhadap penjimatan air dan sikap pemain industri memandang rendah terhadap isu pencemaran sungai.

Kelantan paling kurang akses air bersih

Setakat 2020, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melaporkan 96.9 peratus rakyat di Semenanjung dan Labuan mendapat bekalan air bersih dan dirawat, manakala daripada jumlah itu, hanya 71.7 peratus daripada 1.7 juta penduduk Kelantan mendapat akses bekalan air bersih dan berkualiti, sekali gus menjadikan negeri itu mempunyai peratusan terendah kepada akses air bersih.

Statistik dan fakta ini tentu sangat ironik kerana menjelang ulang tahun ke-66 kemerdekaan negara, semua individu dalam setiap lapisan masyarakat berhak mendapatkan akses kepada air bersih secara konsisten tanpa kompromi.

Menurut ahli ekonomi daripada Akademi Sains Malaysia, Prof Datuk Dr Medaline Berma, sejak sekian lama negara mengukur kemiskinan dengan menggunakan garis pendapatan tanpa mengira akses air bersih juga antara kemiskinan.

Realitinya, Bank Dunia menyatakan seseorang berada dalam kemiskinan air apabila isi rumah tidak dibekalkan dengan sumber bersih dengan jumlah sewajarnya dan tidak dibekalkan dengan air dirawat atau sistem pembentungan air sepatutnya.

Impak hiliran adalah jika masalah keperluan asas seperti air tidak dapat diatasi, antaranya sukar menarik pelabur (tempatan dan dari luar) kerana ketiadaan infrastruktur lengkap. Selain itu, sasaran pembangunan seimbang seperti dimahukan dalam pelan Ekonomi MADANI untuk merapatkan jurang pembangunan antara negeri perindustrian dan negeri mundur juga sukar dicapai.

Pelan Dasar Ekonomi Madani oleh Kerajaan Perpaduan baru-baru ini antara lain mahu mencapai pembangunan seimbang, iaitu merapatkan jurang pembangunan antara negeri perindustrian dan negeri mundur daripada aspek pembangunan ekonomi, merangkumi aspek air bersih dan berkualiti.

Selain itu, memandangkan 98 peratus daripada bekalan air tawar negara berasal dari sungai, maka status dan kualiti air sungai perlu dititikberatkan agar sentiasa dalam keadaan baik dan lestari.

Kualiti air sungai dan krisis bekalan air lazimnya berkait antara satu sama lain kerana sungai terjejas dan tercemar dalam kuantiti yang banyak akan menyebabkan loji rawatan air (LRA) dihentikan operasinya buat sementara waktu dan ketika inilah krisis bekalan air berlaku.

Apabila pencemaran itu berlaku, bekalan kepada ribuan malahan jutaan pengguna terjejas seperti kerap berlaku di Lembah Klang. Kerja menukar saluran paip uzur juga perlu dipertingkatkan.

Perhatian perlu diberikan dalam mendidik masyarakat secara berterusan bagi mengelak pembaziran air kerana secara purata penggunaan air per kapita harian oleh rakyat di negara ini adalah tinggi iaitu, purata 201 liter air setiap orang sehari berbanding 165 liter seperti disarankan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pemegang taruh juga digesa menjalankan kajian dalam menyediakan rangka tindakan lebih komprehensif mengenai bagaimana memperbaiki bekalan air berkualiti untuk jangka panjang.

Justeru, menjelang ulang tahun kemerdekaan ini, tujahan utama adalah meningkatkan kecekapan penggunaan air dengan ketara merentasi semua sektor dan memastikan pengeluaran dan bekalan air tawar mampan untuk menangani kekurangan air.

Ia juga perlu disasar untuk mengurangkan bilangan orang mengalami isu kekurangan air dengan ketara kerana sumber itu adalah asas kehidupan, termasuk menyokong dan mengukuhkan penyertaan masyarakat setempat dalam menambah baik pengurusan air serta sanitasi.

Penulis adalah Profesor Madya di Jabatan Kesihatan Persekitaran & Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dan Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tarikh Input: 28/08/2023 | Kemaskini: 28/08/2023 | zulshafiq

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
SXFCTAH~