AIR OH AIR, SUDAH TERHANTUK BARU TERNGADAH | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
» ARTIKEL » AIR OH AIR, SUDAH TERHANTUK BARU TERNGADAH

AIR OH AIR, SUDAH TERHANTUK BARU TERNGADAH

Artikel asal sebelum diterbitkan dalam Sinar Harian dengan suntingan pada 7 September 2020

Oleh Haliza Abdul Rahman

AIR OH AIR, SUDAH TERHANTUK BARU TERNGADAH

Jemu dan bosan sudah mendengar satu demi satu isu masalah bekalan air berlaku. Terkini, seramai 5 juta pengguna di 1,292 kawasan di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selama 4 hari berikutan penutupan sementara loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1,2 dan 3 dan LRA Rantau Panjang berikutan pencemaran air mentah di Sungai Gong. LRA hanya boleh beroperasi semula tahap pencemaran berada pada tahap sifar ton tiga kali berturut-turut. Malangnya LRA tidak boleh merawat bahan kimia pencemar kerana kosnya tinggi, selain boleh menyebabkan pengguna dalam keadaan berisiko dari segi kesihatan terutama kanak-kanak, warga emas dan mereka yang menghidapi penyakit tertentu.Justeru pilihan terbaik adalah dengan menutup sementara operasi LRA tersebut bagi memastikan bekalan air yang selamat kepada pengguna.

Menurut Datuk Seri Ir Zaini Ujang selaku Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), hujan yang turun diharap dapat membawa pelepasan sisa kimia tersebut ke hilir sungai pada kadar yang lebih cepat seterusnya memulihkan bekalan air  yang terjejas. Tindakan lain yang dilakukan adalah melakukan flushing air yang tercemar ke hilir sungai melalui pembukaan pintu Braj 3 dan 5 di Intake Sungai Selangor Fasa 1. Sebanyak 250 kilogram serbuk arang ataupun Activated Carbon diletak di kawasan yang terdapat kesan bau serta di premis kilang terbabit.

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, usaha menghilangkan kesan pencemaran sumber air giat dilaksanakan tanpa henti bagi memastikan air yang bersih dan selamat dapat dibekalkan pada kadar segera kepada pengguna. Sementara itu, pengguna yang terjejas dengan penutupan LRA terbabit telah diagihkan dengan 78 lori tangki, 22 lori tangki jumbo, 54 tangki statik, 18 pusat khidmat setempat serta lapan pili air awam selain 23,000 botol air setiap satu yang mengandungi lima liter air minuman. Namun semua tindakan ini adalah tidak menyeluruh kerana tidak semua kawasan menerima bekalan air tersebut sehingga mengganggu rutin harian penduduk. Maka, antara tindakan pengguna yang terputus bekalan air adalah menadah air hujan dan bermalam di rumah kenalan atau sanak saudara yang tidak terkesan dengan kejadian ini. Syarikat dan industri yang mengendalikan bisnes jutaan ringgit sehari turut terjejas. Operasi perniagaan makanan di sekitar Lembah Klang turut terganggu dan tergendala yang mana pemilik premis perniagaan terpaksa mengambil bekalan air di kawasan yang tidak terjejas selain  mengangkut berulang kali daripada lori tangki yang disediakan akibat terputus bekalan.

 

PENCEMARAN AIR, EPISOD LAMA YANG BERULANG

Ekoran pencemaran yang berlaku, sebuah kilang disita selama 2 minggu dan dikenakan kompaun serta merta selepas dipercayai melepaskan bahan pelarut ke dalam sungai tersebut yang mengalir ke Sungai Sembah iaitu antara sungai utama bagi Sungai Selangor. Jika bahan pencemar tersebut dapat disahkan, tindakan perundangan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) akan dikenakan terhadap premis yang melakukan pencemaran ini. Cadangan lain yang diutarakan adalah meminta pemilik premis tersebut menanggung kos pembersihan dan merawat semula sungai berkenaan.

Lantaran episod pencemaran berulang tersebut, agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Alam Sekitar (JAS), puhak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri Selangor akan melakukan pemantauan dan penguatkuasaan berhubung perkara ini. KASA pula akan membawa rang undang-undang baharu ke sidang Parlimen akan datang bagi memastikan denda yang maksima dikenakan berbanding sebelum ini. Malahan, polis akan menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat pencemaran bau tersebut selepas menerima dua laporan berhubung kejadian ini. Malangnya, kesemua tindakan ini telah dijanjikan oleh pihak berwajib sejak tahun 2016 lagi, namun masih nampak kesamarannya! Ini termasuklah tindakan membatalkan operasi dan lesen terhadap premis perniagaan yang didapati melakukan kesalahan ini oleh PBT di bawah Seksyen 25 Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.

Tahun lepas kilang yang sama telah dkenakan kompaun berjumlah RM60 ribu akibat kesalahan yang sama. Persoalannya mengapa kilang yang sama mengulangi tindakan tidak beretika ini tanpa serik dan sekelumit rasa bersalah? Adakah kerana kelemahan dari aspek penguatkuasaan, pemantauan atau tindakan perundangan yang seolah-olah “lemau” kerana premis yang sama hanya dikenakan denda sahaja tanpa didakwa di mahkamah sedangkan kerosakan yang dilakukan amat ketara selain menjejaskan masyarakat pengguna yang bukan sedikit! Operasi perniagaan makanan di sekitar Lembah Klang turut terganggu dan tergendala yang mana pemilik premis perniagaan terpaksa mengambil bekalan air di kawasan yang tidak terjejas selain  mengangkut berulang kali daripada lori tangki yang disediakan akibat terputus bekalan. Mengapakah tahun lepas tindakan membawa rang undang-undang baharu ke sidang Parlimen bagi memastikan denda yang maksima dikenakan tidak dilakukan!! Untuk catatan, pada tahun 2020 sahaja, telah tiga kali berlaku gangguan bekalan air tidak berjadual iaitu pada 17 April, 17 Mac dan terkini 3 September susulan pencemaran bau di sungai Selangor.

 

TINDAKAN TEGAS KEPADA PELAKU!

Merujuk akhbar Berita Harian bertarikh 24 Disember 2019, akibat rentetan episod kes pencemaran LRA yang sering berlaku, ramai bersetuju akta sedia ada seperti kurang ‘taring’ untuk mengekang pencemaran sumber air negara, justeru, hukuman lebih tegas dan berat perlu diambil ke atas pelaku. Ini bermakna, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) harus ditambah baik dan sebarang lompang dan kelemahan yang ada wajib ditampal, agar ruang penjenayah alam sekitar ini beroperasi dapat ditutup terus. Paling penting, cadangan Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) agar diwujudkan subseksyen baharu di bawah akta itu untuk mewajibkan pembayaran ganti rugi setimpal kepada pengguna terjejas oleh pelaku, harus dipertimbang.

Menurut Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof Dr Ahmad Ismail, kerajaan perlu mengambil langkah segera bagi mengelakkan pencemaran sungai dan menjejaskan bekalan air kepada jutaan pengguna di Kuala Lumpur dan Selangor terus berulang dan alasan diberikan adalah pencemaran bau serta kimia berpunca akibat pembuangan bahan buangan kilang, domestik, pertanian dan larian air permukaan. Memandangkan sumber air bersih bergantung kepada air permukaan maka pemantauan kualiti air sungai dan sebab yang berpotensi menyebabkan pencemaran air sangat penting. Peraturan ketat seperti pemantauan buangan sisa industri dan sampah haram atau tidak mengikut peraturan mesti dilaksanakan, selain itu peraturan zon penampan juga harus diperkenalkan bagi semua sungai dari hulu ke hilir.

Selain itu, PBT perlu melihat pelan pembangunan di kawasan masing-masing, sebelum meluluskan sebarang projek atau kegiatan bagi mengelakkan sumber air tercemar hingga menjejaskan pengguna. Pada masa sama, pihak berkuasa juga perlu memeriksa status kilang di seluruh negara dengan menutup premis haram dan mengenal pasti sungai yang kritikal daripada segi pencemaran. Dalam pada itu, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S Piarapakaran mencadangkan, JAS mewujudkan satu sistem komprehensif yang antaranya menyenaraikan pembeli bahan kimia bagi memudahkan rujukan apabila berlaku pencemaran sungai yang sehingga kini masih belum diwujudkan.

Cadangan kerajaan negeri Selangor untuk menaikkan jumlah kompaun daripada RM500 ribu kepada 1 juta juga amat dialu-alukan. Namun jumlah kompaun yang tinggi jika tidak diikuti dengan kesedaran dan etika yang tinggi kalangan premis beroperasi serta masyarakat pastinya tidak akan berkesan. Satu langkah konkrit dan langkah jangka panjang diperlukan untuk meredakan isu ini! Pengguna sudah bosan dengan pelbagai alasan yang diberikan oleh pihak berkuasa setiap kali berlakunya pencemaran sungai yang menjejaskan LRA, mengapa pengguna harus berterusan menanggung kesan dan akibat daripada episod ini.  Mereka juga  sudah “muak”, marah dan kecewa apabila diminta bersabar menghadapi isu yang tiada kesudahan ini! Apa yang perlu adalah tindakan tegas dan proaktif daripada aspek penguatkuasaan, pemantauan dan perundangan, janganlah sekadar ‘berjanji’ melakukan pelbagai tindakan, namun ‘sunyi-sepi’ selepas LRA kembali beroperasi. Hal ini kerana “Kerbau dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji”.

Prof. Madya Dr Haliza Abdul Rahman
Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia
Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
dr.haliza@upm.edu.my 

 

 

Tarikh Input: 08/09/2020 | Kemaskini: 11/09/2020 | nm_aini

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
SXEUUAa~