
Ancaman Senjata Nuklear: Pengajaran Hiroshima dan Nagasaki untuk Dunia
Senjata nuklear merupakan antara alat peperangan paling dahsyat dan berbahaya yang pernah dibangunkan oleh manusia. Sejak dicipta dan digunakan buat pertama kali pada tahun 1945, kesan senjata nuklear kepada alam sekitar dan orang awam telah menunjukkan impak yang sangat besar, baik secara langsung mahupun jangka panjang. Kesan tersebut bukan sahaja menyebabkan kematian segera dan kecederaan tetapi juga membawa kepada pencemaran radiasi yang berkekalan, kerosakan ekosistem serta masalah kesihatan yang berpanjangan dalam kalangan populasi manusia dan hidupan lain.
Ketika dunia memasuki era yang semakin rumit dari segi geopolitik, konflik antara Amerika Syarikat dan Iran pada Februari 2026 yang bermula dengan serangan berskala besar oleh Amerika Syarikat dan Israel telah membuka semula perbincangan global mengenai risiko senjata nuklear dan implikasinya terhadap penduduk awam serta alam sekitar. Walaupun konflik ini setakat ini belum berkembang menjadi peperangan nuklear penuh, ancaman, kebimbangan dan potensi implikasi radiasi masih menjadi isu utama yang perlu ditangani secara serius.
Kesan Langsung terhadap Nyawa dan Kesihatan
Kesan paling jelas dan merosakkan daripada penggunaan senjata nuklear adalah kematian dan kecederaan segera disebabkan oleh letupan dan gelombang kejutan. Dalam sejarah, serangan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki pada tahun 1945 telah menyebabkan kematian sebanyak 90,000 hingga 166,000 orang di Hiroshima dan 60,000 hingga 80,000 orang di Nagasaki dalam tempoh beberapa minggu pertama selepas letupan. Selain kesan haba dan gelombang kejutan, radiasi merupakan faktor paling membimbangkan. Mangsa yang terselamat tetapi terdedah kepada radiasi dos tinggi mengalami sindrom radiasi akut. Sebahagian besar mangsa meninggal dunia akibat tekanan letupan, kebakaran dan pendedahan radiasi akut. Ramai lagi mangsa yang terselamat pada awalnya kemudian meninggal dunia kerana sindrom pendedahan radiasi akut yang menyebabkan kegagalan organ dan jangkitan serius.
Tanpa bantuan perubatan yang mencukupi, radiasi juga boleh menyebabkan mual, muntah, pendarahan dalaman, kehilangan rambut dan ketidakstabilan sistem imun. Pendedahan jangka panjang kepada radiasi menyebabkan penyakit seperti kanser, leukemia dan gangguan genetik yang diwarisi oleh generasi seterusnya. Kajian antarabangsa menjangka bahawa terdedah kepada material radioaktif dari ujian nuklear di seluruh dunia boleh menyebabkan lebih empat juta kematian awal akibat kanser dan penyakit kronik. Kajian jangka panjang menunjukkan bahawa golongan ini mempunyai risiko kanser yang jauh lebih tinggi berbanding populasi biasa.
Menurut kajian susulan oleh penyelidik kesihatan awam Jepun dan antarabangsa kesan serangan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki, insiden leukemia dalam kalangan mangsa meningkat secara ketara dalam tempoh dua hingga lima tahun selepas letupan. Kes kanser pepejal seperti kanser payudara, paru-paru dan tiroid pula meningkat dalam tempoh 10 hingga 20 tahun selepas pendedahan. Dianggarkan ribuan kes kanser tambahan berlaku dalam kalangan mereka yag terselamat sepanjang hayat mereka akibat pendedahan radiasi. Selain kanser, terdapat juga peningkatan risiko katarak, penyakit kardiovaskular dan gangguan sistem imun.
Dari sudut genetik, kebimbangan awal menyatakan bahawa radiasi akan menyebabkan kecacatan ketara dalam generasi seterusnya. Walaupun kesan genetik yang diwarisi tidak setinggi yang dibimbangkan pada awalnya, kajian tetap menunjukkan risiko tertentu terhadap kehamilan dan kesihatan bayi dalam kalangan wanita yang terdedah kepada dos radiasi tinggi. Trauma psikologi juga menjadi kesan yang sering terlepas pandang. Ramai mangsa mengalami tekanan pascatrauma (PTSD), kemurungan dan stigma sosial.
Impak Alam Sekitar
Kesan terhadap alam sekitar juga signifikan. Letupan nuklear menghasilkan hujan hitam (black rain) yang mengandungi zarah radioaktif dan jelaga. Hujan ini mencemarkan tanah, sungai dan sumber air minuman. Walaupun tahap radiasi permukaan berkurang secara relatif dalam tempoh beberapa bulan akibat pereputan radioaktif dan faktor cuaca, kawasan berhampiran hiposenter kekal tercemar untuk satu tempoh tertentu. Tumbuhan dan haiwan turut terjejas akibat pendedahan radiasi dan haba melampau, walaupun alam semula jadi menunjukkan keupayaan pemulihan yang lebih cepat berbanding jangkaan awal.
Alam sekitar turut terjejas secara mendalam apabila senjata nuklear diuji atau digunakan. Ujian nuklear atmosfera yang dijalankan sejak 1945 hingga 1980 menghasilkan lebih 2,400 letupan nuklear di pelbagai kawasan di dunia termasuk kawasan terpencil seperti Bikini Atoll di Lautan Pasifik. Partikel radioaktif dari letupan ini tersebar jauh melalui angin dan arus laut menyebabkan pencemaran tanah, air dan makanan. Kesan ini kekal dalam serpihan tanah dan sedimen bertahun-tahun kemudian. Ujian Castle Bravo di Bikini Atoll pada tahun 1954 menghasilkan fall-out radioaktif yang mempengaruhi penduduk pulau Rongelap dan Utirik sehingga menyebabkan peningkatan risiko kanser, masalah pembiakan serta penyakit kronik lain dalam komuniti itu.
Selain itu, sisa radioaktif yang tersisa dari aktiviti senjata nuklear mencemarkan tanah dan air di banyak tapak ujian di seluruh dunia. Kawasan seperti Semipalatinsk di Kazakhstan, tempat Kesatuan Soviet pernah menjalankan lebih 450 ujian nuklear antara 1949 dan 1989, masih menghadapi masalah kesihatan masyarakat termasuk kanser, kecacatan bayi, infertiliti dan kesan mental akibat pendedahan radiasi berpanjangan.
Pencemaran Jangka Panjang dan Ekosistem
Selain kesan kepada manusia, radiasi nuklear juga menjejaskan flora dan fauna di kawasan yang terdedah. Radiasi boleh mengganggu proses biologi asas dalam tumbuhan dan haiwan, menyebabkan kadar kematian tinggi dalam sesetengah spesies atau menurunkan keupayaan pembiakan mereka. Malah, sisa radioaktif yang terkumpul dalam tanah boleh meresap ke dalam makanan tumbuhan dan seterusnya memasuki rantaian makanan, memberi kesan negatif kepada banyak spesies di pelbagai peringkat rantaian ekologi.
Kajian juga menunjukkan bahawa tanah dan air di banyak kawasan tapak uji nuklear tetap daripada beberapa dekad selepas letupan, menjadikan sebahagian kawasan tersebut tidak selamat untuk didiami atau digunakan untuk pertanian. Contohnya, beberapa tapak ujian di Amerika Syarikat dan Rusia masih memerlukan pembersihan radioaktif yang kompleks dan kos tinggi.
Kesan Kesihatan Jangka Panjang terhadap Komuniti Terjejas
Selain kesan segera, pendedahan radiasi mempunyai kesan jangka panjang yang serius terhadap komuniti orang awam. Satu kajian terbaru di Coldwater Creek, Missouri, menunjukkan bahawa kanser berlaku lebih tinggi dalam kalangan penduduk yang tinggal berhampiran tapak buangan sisa dari projek Manhattan semasa Perang Dunia II. Dalam kajian itu, mereka yang tinggal dalam jarak radius satu kilometer dari sungai tersebut mempunyai risiko kanser sehingga 85% lebih tinggi berbanding mereka yang tinggal lebih jauh disebabkan pendedahan jangka panjang kepada bahan radioaktif yang bocor.
Selain itu, laporan dari pertubuhan kemanusiaan memperingatkan bahawa radiasi ujian nuklear telah memberikan impak kumulatif kepada generasi terdedah, dengan jutaan kematian kanser yang berkaitan radiasi dijangka berlaku di seluruh dunia dalam dekad-dekad akan datang.
Kesimpulannya, senjata nuklear memberikan kesan yang menghancurkan kepada alam sekitar dan orang awam. Selain menyebabkan kematian segera dan kecederaan, penggunaan dan ujian senjata ini telah mencemarkan tanah, air, dan udara serta meningkatkan risiko penyakit kronik dalam kalangan komuniti yang terdedah. Statistik menunjukkan jutaan kematian awal yang dianggarkan akibat pendedahan radiasi, sementara kesan alam sekitar boleh bertahan berpuluh bahkan beratus tahun.
Oleh itu, penting bagi masyarakat global untuk terus berusaha ke arah pengurangan senjata nuklear, pemantauan sisa radioaktif dan rawatan komuniti yang terjejas demi masa depan yang lebih selamat dan sihat untuk generasi akan datang. Natijahnya, Hiroshima dan Nagasaki kekal sebagai simbol amaran kepada dunia tentang harga kemanusiaan yang terlalu tinggi akibat peperangan nuklear.
Tarikh Input: 31/03/2026 | Kemaskini: 31/03/2026 | zulshafiq
