ANCAMAN SISA ELEKTRONIK HARAM DAN CABARAN PENGUATKUASAAN | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
» ARTIKEL » ANCAMAN SISA ELEKTRONIK HARAM DAN CABARAN PENGUATKUASAAN

ANCAMAN SISA ELEKTRONIK HARAM DAN CABARAN PENGUATKUASAAN

Oleh:

Dr. Haliza Abdul Rahman

Ketua Laboratori Belia Dalam kepimpinan, Politik & Kewarganegaraan

Isu sisa elektronik haram (e‑waste) merupakan satu ancaman besar di peringkat tempatan dan global kerana ia melibatkan pelbagai aspek keselamatan alam sekitar, kesihatan manusia serta integriti penguatkuasaan undang‑undang yang memerlukan perhatian serius daripada kerajaan, agensi penguatkuasa dan masyarakat umum. E‑waste merangkumi barangan elektrik dan elektronik yang telah menjadi tidak bernilai atau rosak seperti telefon pintar, komputer riba, monitor, pencetak dan komponen elektronik lain yang mengandungi bahan toksik seperti plumbum, merkuri dan kadmium. Jika tidak diuruskan secara teratur di pusat kitar semula berlesen, bahan toksik ini boleh menyebabkan pencemaran udara, tanah dan air yang seterusnya memberi kesan negatif terhadap ekosistem serta kesihatan manusia.

Malaysia terus berdepan dengan kemasukan dan pengendalian e‑waste yang tidak sah. Antara 2023 hingga pertengahan 2025, pihak berkuasa telah menahan 779 kontena yang disyaki membawa e‑waste secara haram, dengan 583 daripadanya diperiksa oleh Jabatan Alam Sekitar (DOE) manakala 294 kontena dihantar balik kepada negara asal masing‑masing. Ini selaras dengan keperluan Basel Convention yang mengawal pergerakan merentas sempadan bahan buangan berbahaya termasuk e‑waste. Pada masa sama, kerajaan telah mengesan usaha sindiket melepasi pemeriksaan dan mengabui pihak berkuasa melalui pemalsuan dokumen dan pelepasan salah melalui deklarasi barangan lain bagi melindungi kontena e‑waste yang dibawa masuk.

Beberapa contoh terkini memperlihatkan betapa seriusnya isu ini. Dalam operasi bersepadu pada Februari 2025, PDRM bersama Jabatan Alam Sekitar menumpaskan kegiatan pemprosesan e‑waste haram di seluruh negara dengan jumlah rampasan dianggarkan RM3.8 bilion termasuk mesin pemprosesan dan 22.9 juta kilogram sisa elektronik serta menahan 538 individu. Pada Januari 2026, operasi penguatkuasaan di Pelabuhan Klang oleh agensi kawalan sempadan bersama DOE, Pihak Berkuasa Pelabuhan dan Westports telah menghalang lebih 125 tan e‑waste yang diisytiharkan secara palsu daripada memasuki negara dengan barangan seperti pencetak, unit pemprosesan pusat (CPU) dan kabel elektrik ditemui dalam kontena yang datang dari negara seperti Amerika Syarikat, Korea Selatan, Sepanyol dan Taiwan. Sementara itu pada Jun 2025, operasi “Hazard 2.0” telah menumpaskan 57 premis pemprosesan e‑waste haram di seluruh negara dengan jumlah rampasan keseluruhan dianggarkan mencapai RM500 juta termasuk RM240 juta sisa e‑waste, RM182 juta komponen elektronik dan RM50 juta barangan skrap lain menunjukkan ia bukan saja kemasukan haram tetapi juga melibatkan penyelewengan cukai yang besar oleh pengendali tidak berlesen.

Statistik rasmi daripada beberapa operasi penguatkuasaan sebelum ini turut menunjukkan bahawa, lebih 2,069 tan metrik e‑waste bernilai RM11.6 juta telah disita di bawah operasi Ops Hazard 1.0 dan 2.0, yang melibatkan pemeriksaan terhadap premis yang menjalankan aktiviti pemprosesan tanpa lesen dan kawalan yang mencukupi. Lebih membimbangkan, data keseluruhan rampasan sisa elektronik haram yang digagalkan oleh pihak polis antara Januari hingga September 2025 direkodkan mencecah lebih RM4 bilion, menjadikan e‑waste sebagai antara kes jenayah ekonomi yang paling tinggi dalam tempoh tersebut. Aktiviti sindiket ini bukan sahaja merugikan negara dari segi ekonomi tetapi turut mengancam keselamatan, kesihatan dan integriti penguatkuasaan. Maka, kerajaan telah memberi kuasa penuh kepada penguatkuasa termasuk SPRM untuk menyiasat aktiviti rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang berkaitan import e‑waste haram.

Faktor utama yang menyumbang kepada berleluasanya aktiviti e‑waste haram termasuk kelemahan dalam penguatkuasaan undang‑undang dan isu pemeriksaan di pelabuhan utama serta keupayaan sindiket untuk mengaburi penguatkuasaan melalui dokumen palsu dan siri deklarasi yang mengelirukan. Motivasi keuntungan yang tinggi daripada pengambilan bahan berharga seperti tembaga, emas dan logam lain turut mendorong pihak tidak bertanggungjawab membawa masuk e‑waste secara haram memandangkan nilai semula jadi komponen elektronik ini boleh mencapai jumlah yang signifikan apabila diproses secara besar‑besaran. Di samping itu, berkemungkinan wujud unsur rasuah dan pembabitan rangkaian sindiket yang kompleks termasuk penglibatan beberapa syarikat yang dipercayai menggunakan taktik rasuah untuk terus beroperasi walaupun berada di bawah pengawasan agensi penguatkuasa, sekali gus menjejaskan integriti sistem kawal selia dan menambah beban kepada pihak berkuasa. Berkaitan penguatkuasaan, integriti adalah sangat penting kerana kecekapan operasi bukan sekadar menguatkuasakan undang-undang tetapi memastikan tindakan dilaksanakan tanpa berat sebelah, rasuah atau sabotaj agar peraturan dapat dipatuhi dan kesalahan dapat dibanteras secara berkesan. Hal ini kerana ketidakpatuhan prosedur dan penyeliaan yang lemah akan membuka ruang kepada kegiatan haram untuk terus berleluasa.

Natijahnya, cabaran utama dalam menangani isu ini tidak terhad kepada penguatkuasaan semata‑mata, malah termasuk kekurangan infrastruktur kitar semula berlesen yang mencukupi di peringkat nasional. Kekurangan ini menyebabkan banyak e‑waste diproses di premis tidak berlesen dengan kaedah yang tidak selamat termasuk pembakaran terbuka dan penggunaan bahan kimia yang tidak terkawal. Menurut laporan, terdapat lebih daripada 200 fasiliti pemprosesan e‑waste haram yang beroperasi di seluruh negara yang mana sebahagiannya tidak mempunyai lesen dan tidak mematuhi peraturan keselamatan serta alam sekitar, sekaligus meningkatkan risiko pencemaran udara, tanah dan sumber air.

Hakikatnya, risiko kesihatan dan keselamatan yang berpunca daripada pengurusan e‑waste yang tidak terkawal amat serius. Proses pemprosesan e‑waste yang tidak selamat seperti pembakaran terbuka atau peleburan bahan toksik boleh menyebabkan pencemaran yang serius akibat pelepasan logam berat seperti arsenik ke udara, tanah dan sumber air, meningkatkan risiko kanser, gangguan neurologi dan masalah pernafasan terutamanya kepada golongan rentan seperti kanak-kanak dan wanita hamil. Pencemaran alam sekitar melalui tapak pelupusan haram dan pembakaran terbuka turut mengakibatkan emisi toksin jangka panjang yang sukar dipulihkan serta meningkatkan peluang penyakit kronik di kawasan komuniti berdekatan kilang pengendalian e‑waste haram.

Dalam konteks ini, integriti penguatkuasaan menjadi aspek penting dalam menangani isu e‑waste haram secara berkesan. Pembabitan rasuah, pencabulan peraturan dan kecuaian dalam pemantauan boleh melemahkan keberkesanan sistem kawal selia sedia ada sekali gus menjejaskan usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia bebas daripada aktiviti e‑waste haram. Oleh itu, pendekatan komprehensif diperlukan termasuk memperkukuh kerjasama antara agensi penguatkuasaan seperti PDRM, DOE, Jabatan Kastam dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), meningkatkan kemahiran teknikal pemeriksa pelabuhan serta memperkenalkan teknologi pengesanan yang lebih canggih.

Ternyata ancaman e‑waste haram di Malaysia bukan sahaja mencerminkan cabaran dalam pengurusan alam sekitar dan kesihatan awam tetapi juga menuntut tindakan tegas dalam mengekang kegiatan jenayah terancang yang membabitkan keuntungan besar dan risiko serius kepada masyarakat. Faktor dominan termasuk kelemahan penguatkuasaan, motivasi keuntungan tinggi dan unsur rasuah manakala cabaran utama melibatkan kekurangan infrastruktur kitar semula, perdagangan rentas sempadan dan perundangan yang perlu diperkukuh. Komponen elektronik seperti tembaga, emas dan logam lain mempunyai nilai tinggi di pasaran global yang mendorong sindiket untuk mengimport e‑waste secara haram, mengekstrak nilai dan mengabaikan pengurusan sisa bahaya. Justeru kerajaan, penggubal dasar, penguatkuasa, sektor swasta dan komuniti perlu bersinergi untuk melaksanakan strategi yang mantap termasuk pendidikan awam mengenai kepentingan pengurusan e‑waste yang selamat serta penalti yang lebih berat bagi mereka yang melanggar undang‑undang. Manakala usaha seperti pendidikan, dokumentasi telus dan tindakan tegas terhadap pelaku berbagai penyalahgunaan akan membantu membina sistem penguatkuasaan yang kukuh serta mengekang kegiatan jenayah berkaitan e-waste demi kesejahteraan alam sekitar dan kesihatan masyarakat.

Tarikh Input: 06/02/2026 | Kemaskini: 06/02/2026 | alyarahim

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
F, (12:06:13pm-12:11:13pm, 11 Mar 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]