Oleh : Nurul Akhtar Kamarudin
Dalam perjalanan saya mengurus pelbagai program daripada majlis kecil hingga ke acara rasmi yang melibatkan tokoh-tokoh penting, satu perkara yang saya pelajari ialah: protokol bukan sekadar aturan, tetapi sebuah disiplin yang memerlukan ketelitian, empati, kepekaan, dan kebijaksanaan. Di sinilah saya benar-benar memahami bahawa di sebalik majlis yang
kelihatan lancar dan teratur, terdapat perancangan rapi yang jarang dilihat oleh orang luar.
Sebagai pengurus majlis, saya berdepan dengan pelbagai situasi yang mengajar saya betapa
pentingnya protokol dalam membentuk pengalaman sesuatu program.
- Protokol Menjamin Kelancaran Majlis
Ada satu ungkapan yang saya pegang, “Sebuah majlis yang baik ialah majlis yang tidak membuat sesiapa bertanya, ‘Apa seterusnya?’. Ini adalah hakikat yang saya rasai setiap kali mengurus susunan acara. Ketepatan masa, koordinasi antara pasukan teknikal, pengumuman, pergerakan tetamu, semuanya perlu berjalan serentak. Protokol memberi kerangka kepada semua itu. Ia memastikan setiap langkah sudah dirancang, diuji, dan
dipersetujui.
- Menghormati Tetamu & VIP Dengan Sewajarnya
Dalam dunia protokol, menghormati tetamu bukan hanya soal kedudukan tempat duduk atau susunan ucapan. Ia lebih kepada memahami sensitiviti dan adat. Ada kalanya satu langkah kecil, seperti menyambut tetamu beberapa langkah dari pintu dapat memberikan
impak besar kepada pengalaman mereka. Saya selalu ingat pesan seorang mentor protokol,
“VIP bukan menuntut penghormatan; protokol wujud untuk memastikan kita memberi hormat dengan cara yang betul.” Dan pengalaman saya membuktikan kebenaran kata-kata itu.
- Protokol Membangunkan Imej Penganjur
Majlis yang teratur mencerminkan siapa kita sebagai penganjur. Bila majlis berjalan lancar, ia membawa mesej bahawa organisasi itu profesional, teliti dan berintegriti. Saya sering melihat bagaimana protokol yang baik mampu mengubah persepsi peserta, sekali gus
memberi keyakinan dalam jalinan kerjasama. Bak kata pepatah, “The success of an event is measured long before it begins, through its preparation.” Dan di sinilah protokol memainkan peranan yang sangat besar.
- Mengurangkan Risiko Kesilapan Yang Tidak Diingini
Dalam pengurusan majlis, banyak perkara tidak dijangka boleh berlaku, seperti teknikal terganggu, susunan ucapan berubah pada saat akhir, tetamu kehormat lewat tiba. Namun, protokol mengajar saya satu perkara, “Jika kita bersedia, panik tidak akan mengambil alih.” Protokol memastikan semua orang tahu apa yang perlu dibuat jika berlaku perubahan. Ia menyediakan pelan A, B, dan C. Dan kadang-kadang, pelan D pun perlu ada.
- Menyeragamkan Kualiti Majlis Dari Semasa ke Semasa
Setiap organisasi yang kerap menganjurkan acara memerlukan standard tertentu. Protokol bukan sahaja membentuk standard itu, tetapi turut memastikan ia dikekalkan walaupun bertukar pasukan, lokasi atau skala program. Saya sering mengingatkan diri: “Consistency is professionalism in motion”. Bila setiap majlis dipandu oleh protokol yang sama, kualiti akan kekal terjaga.
- Mencipta Pengalaman Positif Kepada Semua Hadirin
Akhirnya, protokol adalah tentang pengalaman. Pengalaman tetamu, pengalaman peserta, pengalaman VIP, dan juga pengalaman pasukan kerja. Apabila majlis berjalan lancar, para hadirin dapat mengikuti acara tanpa gangguan. Mereka pulang dengan pengalaman yang
baik. Saya selalu percaya, “Protokol yang baik ialah apabila tetamu merasakan majlis itu mudah, walaupun ia sebenarnya sangat kompleks di belakang tabir”. Dan itulah kepuasan sebenar bagi seorang pengurus majlis.
Segala pengalaman ini mengajar saya bahawa protokol bukanlah sekadar arahan, bukanjuga semata-mata disiplin formal. Ia adalah seni mengurus manusia, masa dan momen dengan penuh tertib dan empati. Melalui protokol, saya belajar menjadi lebih peka, lebih teratur dan lebih menghargai kerja di belakang tabir yang jarang dilihat, tetapi sangat dirasai
impaknya.
Tarikh Input: 28/11/2025 | Kemaskini: 20/01/2026 | nm_aini
PERKONGSIAN MEDIA