Oleh: Haliza Abdul Rahman
Banjir merupakan antara bencana alam paling kerap berlaku di Malaysia, terutama semasa musim monsun. Sejak tahun 2001, Malaysia menerima purata 143 kejadian banjir setiap tahun dengan lebih 90% daripadanya ialah banjir kilat. Kawasan berisiko banjir di seluruh negara pula merangkumi kira-kira 29,800 km² atau sekitar 9% keluasan tanah negara. Anggaran menunjukkan lebih 4.8 juta penduduk Malaysia tinggal dalam zon yang terdedah kepada risiko banjir, menjadikan bencana ini cabaran serius dalam perancangan pembangunan masa hadapan.
Banjir didefinisikan sebagai fenomena limpahan air yang menenggelami kawasan daratan yang biasanya kering sama ada secara tiba-tiba atau berperingkat akibat hujan lebat, kenaikan paras sungai atau gabungan faktor semula jadi dan manusia. Banjir berlaku apabila jumlah air yang diterima kawasan tertentu melebihi kapasiti penyerapan tanah, sungai, dan sistem saliran menyebabkan air melimpah ke kawasan sekitarnya. Keterukan banjir diukur berdasarkan luas kawasan terjejas, jumlah mangsa, kerugian harta benda dan ekonomi serta impak sosial dan kesihatan. Semakin besar skala mangsa dan kerosakan, semakin tinggi keterukan banjir manakala faktor mitigasi dan kesiapsiagaan komuniti turut menentukan sejauh mana impak dapat dikurangkan. Maka adalah penting untuk kita memahami punca berlakunya banjir supaya langkah mitigasi dan persediaan dapat dirancang dengan lebih strategik.
Hal ini kerana, walaupun sudah dijangka, banjir tetap membawa impak besar terhadap masyarakat, ekonomi dan alam sekitar. November 2025 menyaksikan gelombang banjir yang melanda pelbagai negeri di Semenanjung sehingga mencetuskan pergerakan besar-besaran pemindahan mangsa, kerosakan harta benda serta tekanan kepada sistem pengurusan bencana negara. Pada 25 November 2025 seramai 13,915 orang daripada 4,844 keluarga terjejas dengan Kelantan menjadi negeri paling teruk terjejas dengan 9,503 mangsa.
Punca Berlakunya Banjir
Dari sudut punca, banjir di Malaysia berpunca daripada gabungan faktor semula jadi dan campur tangan manusia. Faktor semula jadi paling dominan ialah hujan lebat ekstrem akibat monsun, ribut petir bermusim dan pola cuaca yang semakin tidak menentu. Perubahan iklim global, khususnya peningkatan suhu atmosfera menyebabkan taburan hujan menjadi lebih sukar diramal. Fenomena hujan intensif dalam tempoh singkat mampu mencurahkan lebih 100 mm hujan dalam beberapa jam sahaja sudah cukup untuk menyebabkan sistem saliran bandar gagal berfungsi, lalu menghasilkan banjir kilat.
Hakikatnya banjir bukanlah sekadar peristiwa musiman biasa, ia adalah satu cerminan cabaran alam sekitar dan sosial yang semakin kompleks, berpunca daripada interaksi faktor meteorologi (hujan lebat monsun), geografi (tanah rendah, sungai) serta campur tangan manusia (pembangunan tanpa sistem resapan dan saliran mampan). Keadaan hujan lebat yang berterusan hasil gabungan corak monsun dan sistem cuaca tak menentu menyebabkan limpahan sungai, lonjakan paras air dan kerosakan infrastruktur di pelbagai negeri, terutama di Kelantan, Perak, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu dan Selangor.
Faktor yang menyumbang kepada banjir ini termasuk intensiti hujan yang tinggi dan berterusan, kelemahan sistem saliran dan perparitan di kawasan bandar dan pinggir bandar serta kesan perubahan iklim yang meningkatkan kemungkinan hujan ekstrem dan banjir kilat. Banjir kali ini banyak dipengaruhi oleh Monsun Timur Laut (MTL) dan sistem cuaca tekanan rendah yang mana “luruan monsun kuat atau sistem tekanan rendah” telah membawa hujan lebat berterusan di negeri‑negeri utara dan barat Semenanjung, sekali gus mencetus banjir bahkan di kawasan yang bukan zon banjir tradisinya.
Namun, punca manusia sebenarnya memainkan peranan besar. Pembangunan pesat tanpa kawalan, pembukaan tanah yang meluas dan peningkatan kawasan berturap konkrit seperti jalan, kawasan komersial dan perumahan tinggi telah mengurangkan keupayaan tanah menyerap air. Apabila hujan lebat turun, air tidak dapat meresap ke dalam tanah dan sebaliknya mengalir laju ke sungai dan parit menyebabkan aliran deras yang melebihi kapasiti sistem saliran sedia ada. Sistem longkang dan sungai yang tersumbat akibat sampah, enapan lumpur atau kurang penyelenggaraan turut mempercepatkan proses limpahan. Kajian di beberapa bandar utama mendapati bahawa kerosakan atau keusangan infrastruktur saliran menjadi antara punca utama banjir kilat berulang, terutama di Lembah Klang dan kawasan pinggir bandar.
Ternyata, walaupun hujan mungkin setara dengan musim monsun biasa, faktor daratan memainkan peranan besar yang berkait dengan perubahan guna tanah akibat urbanisasi pesat, kepadatan penduduk dan sistem saliran atau perparitan yang tidak mencukupi menyebabkan air hujan sukar disalurkan dengan efektif. Hal ini bermaksud, walaupun jumlah hujan sama seperti sebelumnya, kawasan tersebut boleh mengalami banjir bergantung kepada “apa yang berlaku di muka bumi”. Kawasan tanah semula jadi seperti paya atau dataran rendah yang dahulunya membantu menyerap lebihan air telah dikurangkan disebabkan pembangunan, menjadikan limpahan air lebih mudah berlaku. Contoh nyata ialah banjir “terkejut” di pantai barat utara Semenanjung yang disebabkan oleh pembentukan “pusaran tekanan rendah” di utara Selat Melaka sejak 21 November yang membawa hujan luar jangka dan menghasilkan banjir di kawasan utara Semenanjung. Hal ini turut menjadi punca kepada kawasan yang sebelum ini tidak dikategorikan berisiko tinggi turut terjejas.
Impak Banjir
Banjir mendatangkan pelbagai impak sama ada daripada segi kehidupan seharian mangsa, ekonomi dan kemudahan asas negara melibatkan rumah kediaman musnah, infrastruktur terjejas, sektor pertanian dan perniagaan terganggu yang pastinya membawa kerugian besar secara ekonomi dan sosial serta menimbulkan penderitaan kepada rakyat. Statistik beberapa tahun kebelakangan menekankan betapa seriusnya masalah ini. Pada tahun 2016, negara mencatat 404 insiden banjir yang menjejaskan lebih 95,000 penduduk dan menyebabkan kerugian sekitar RM53 juta. Pada tahun berikutnya, jumlah kejadian meningkat drastik kepada 1,239 kes dengan kerugian melebihi RM63 juta. Puncak ancaman banjir kembali terserlah pada 2021, ketika lebih 160,000 orang terjejas oleh banjir besar di pelbagai negeri termasuk Selangor, Pahang, Kelantan dan Johor. Data jangka panjang pula menunjukkan bahawa banjir menyumbang kepada 98% daripada keseluruhan kerugian tahunan akibat bencana di Malaysia, menjadikannya bukan sekadar isu alam sekitar tetapi juga ancaman ekonomi dan sosial.
Kajian kes tertentu memberikan gambaran lebih tepat tentang faktor penyumbang di peringkat setempat. Contohnya, Taman Sri Muda di Selangor, salah satu lokasi paling teruk terjejas dalam banjir 2021 telah lama dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi. Kajian terhadap persepsi penduduk mendapati bahawa pembangunan pesat, perubahan guna tanah dan kekangan sistem saliran memainkan peranan besar dalam memperburuk banjir yang berlaku. Ini membuktikan bahawa walaupun hujan ekstrem adalah pencetus, faktor manusia sering menentukan tahap keterukan sesuatu insiden.
Di Temerloh, Pahang kajian terhadap 350 penduduk mendedahkan bahawa masyarakat yang telah lama menetap di kawasan yang sering dilanda banjir mempunyai tahap kesiapsiagaan dan resilien lebih tinggi berbanding mereka yang baharu mendiami atau berpindah ke situ. Penduduk asal lazimnya memiliki ‘kearifan tempatan’ merangkumi pengetahuan memantau paras air, memahami tanda awal risiko serta menyediakan langkah keselamatan keluarga dan harta benda. Kajian ini menekankan bahawa pengalaman komuniti merupakan aset penting dalam pengurusan risiko bencana selain infrastruktur fizikal.
Dari segi persekitaran, air banjir sering tercemar dengan sisa industri, kumbahan dan bahan kimia yang meningkatkan risiko penyakit seperti leptospirosis, cirit-birit dan penyakit kulit. Contohnya, selepas banjir di Johor pada 2022, Kementerian Kesihatan melaporkan peningkatan kes leptospirosis sebanyak 32% di kawasan terjejas, menunjukkan kesan negatif langsung terhadap kesihatan awam.
Tangani Banjir Secara Holistik
Kajian yang dilaksanakan pada 2023 di Lembah Klang menunjukkan bahawa walaupun masyarakat sedar akan fenomena banjir, tahap persepsi risiko masih rendah terutamanya dalam kalangan generasi muda di kawasan bandar. Faktor seperti kurang pendedahan kepada bencana, kebergantungan kepada pihak berkuasa dan anggapan bahawa banjir hanya berlaku di kawasan tertentu menyebabkan ramai tidak melakukan persediaan awal. Ini membuktikan keperluan mendesak untuk memperkukuh pendidikan awam, kempen keselamatan dan latihan kecemasan.
Analisis kejadian banjir 2025 misalnya menggariskan kelemahan dalam sistem mitigasi bencana semasa. Walaupun agensi seperti agensi bencana negeri dan pusat telah mengaktifkan PPS dan menggerakkan pasukan penyelamat, lonjakan pantas mangsa menunjukkan bahawa perancangan awal mungkin tidak mencukupi untuk skala hujan ekstrem yang berlaku. Kapasiti PPS, persediaan logistik dan keupayaan pengangkutan mangsa seolah-olah terhad apabila banjir melarat kepada banyak negeri dalam waktu singkat. Ini menuntut penilaian semula bagi strategi mitigasi banjir negara termasuk penggunaan sistem pemantauan cuaca yang lebih canggih, sensor paras air, komunikasi amaran awal yang lebih efektif serta latihan komuniti untuk kesiapsiagaan sewaktu puncak monsun.
Untuk mengurangkan risiko banjir masa depan, pendekatan mitigasi perlu dilakukan secara menyeluruh, bukan hanya membaiki infrastruktur tetapi juga memperbaiki dasar pembangunan dan memperkukuh budaya kesiapsiagaan masyarakat. Pertama, perancangan bandar mampan perlu menjadi teras. Ini termasuk menghadkan pembangunan di kawasan dataran banjir, mengekalkan kawasan hijau sebagai penyerapan air serta memastikan setiap projek pembangunan mempunyai penilaian impak banjir yang telus. Kedua, sistem saliran perlu dinaik taraf mengikut keperluan semasa terutama di kawasan bandar padat. Penyelenggaraan berkala bagi parit, longkang dan sungai harus menjadi prosedur tetap, bukan langkah sementara selepas banjir berlaku.
Seterusnya, pembangunan infrastruktur mitigasi seperti kolam takungan, sistem perparitan pintar, terowong saliran bawah tanah dan rangka kerja peringatan awal perlu dipertingkat. Selanjutnya teknologi seperti sensor paras air, ramalan cuaca mikro dan papan maklumat digital komuniti boleh menyelamatkan banyak nyawa dan mengurangkan kerosakan harta kerana keupayaannya mengenal pasti kawasan berisiko serta memperkukuh sistem amaran awal. Peranan masyarakat juga tidak kurang penting. Latihan kecemasan, pengetahuan asas keselamatan, penyediaan kit kecemasan serta budaya menjaga kebersihan saliran adalah antara langkah mudah tetapi signifikan.
Tanpa tindakan segera dan bersepadu, Malaysia mungkin akan terus menghadapi episod banjir dengan impak semakin besar dalam dekad akan datang. Hal ini kerana, banjir bukan lagi bencana bermusim yang boleh dianggap rutin, tetapi isu besar yang menuntut tindakan holistik. Dengan memahami punca, memanfaatkan dapatan kajian kes serta melaksanakan strategi mitigasi yang tepat, Malaysia mampu mengurangkan kesan banjir terhadap kehidupan rakyat. Cabaran ini perlu ditangani melalui kerjasama antara kerajaan, pihak berkuasa tempatan, komuniti dan individu agar masyarakat lebih selamat, berdaya tahan dan bersedia menghadapi krisis iklim pada masa hadapan.
Tarikh Input: 04/12/2025 | Kemaskini: 20/01/2026 | nm_aini
