BENCANA BANJIR KILAT DI SELANGOR, FAKTOR PERUBAHAN IKLIM? | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
» ARTIKEL » BENCANA BANJIR KILAT DI SELANGOR, FAKTOR PERUBAHAN IKLIM?

BENCANA BANJIR KILAT DI SELANGOR, FAKTOR PERUBAHAN IKLIM?

Keadaan banjir di Lembah Klang terutama Selangor disifatkan luar jangka dengan kebanyakan kawasan dinaiki air menyebabkan jalan utama ditutup. Hujan berterusan kadang kala lebat selama dua hari di sekitar Lembah Klang menyebabkan ramai tidak bersedia dan terperangkap di kediaman atau di dalam kenderaan di jalan utama dinaiki air. Klang dan Sepang merupakan dua daerah paling teruk terjejas banjir. Selain Selangor, negeri yang turut terjejas adalah Pahang, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka, Kuala Lumpur dan Perak.

Ini mengimbau sejarah kerana negara sebelum ini pernah dilanda banjir besar sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1926 (Bah Besar) dan seterusnya pada tahun 1946. Malah, 50 tahun lalu, Malaysia pernah digemparkan dengan  tragedi banjir besar yang dianggap terburuk dalam lipatan sejarah negara. Ketika itu, kawasan bandar Kuala Lumpur juga tidak terkecuali daripada ditimpa musibah,yang mana 60 peratus kawasan di ibu negara ditenggelami air banjir dan seolah-olah berada di tengah lautan. Banjir besar tersebut juga menyebabkan berlakunya tanah runtuh sehingga memutuskan hubungan jalan raya dan kereta api ke bandar-bandar utama di pantai timur dan ke Singapura. Banjir dahsyat itu telah mengakibatkan negara menanggung kerugian besar harta benda bernilai lebih RM84.7 juta dengan lebih 20 nyawa menjadi korban bencana banjir tersebut sementara puluhan ribu mangsa yang lain terjejas. Berikutan itu, darurat bencana diisytihar di seluruh negara berkuat kuasa pada 5 Januari 1971.

Merujuk situasi di Selangor, kebanyakan penduduk tidak bersedia menghadapi bencana itu sehingga mengakibatkan kerugian harta benda dan kehilangan nyawa. Selain itu, ramai terperangkap dan ramai terpaksa berpindah serta merta tanpa sempat menyelamatkan harta benda serta dokumen pengenalan diri. Hal ini kerana, Selangor tidak pernah berdepan banjir besar seperti kali ini, dan insiden itu juga berlaku dengan pantas selain insiden di Selangor berlaku serentak membabitkan beberapa daerah seperti Sepang, Kuala Langat, Shah Alam dan Klang.

Perdana Menteri Datuk Ismail Sabri Yaakob mengakui pengurusan bencana banjir di Selangor berdepan masalah berbanding negeri lain berpunca daripada pelbagai faktor sehingga menyebabkan berlaku kelewatan dalam memberi bantuan kepada mangsa. Malahan, biarpun amaran hujan sudah dikeluarkan, jangkaan taburan hujan yang banyak tidak ada dalam pemikiran penduduk. Sebagai contoh di Taman Sri Muda di Shah Alam, penduduk sudah biasa berdepan banjir tetapi tidak menyangka air akan naik sebegitu cepat. Di beberapa kawasan perumahan, air naik sehingga paras bumbung rumah.

 

BENCANA BANJIR KILAT DI SELANGOR, FAKTOR PERUBAHAN IKLIM?

Saintis memberi amaran kesan perubahan iklim kini semakin buruk dengan pelbagai bencana alam lebih kerap berlaku, membawa malapetaka jauh lebih serius berbanding sebelumnya. Abad ke-21 sudah menyaksikan banyak bencana alam berlaku dan kesan pemanasan global turut menyumbang kepada taufan lebih hebat, hujan lebat luar biasa serta kepanasan melampau, yang tidak boleh diabaikan lagi. Lantaran itu, bencana alam yang disebabkan oleh pengaruh cuaca ekstrem seperti banjir  mendatangkan malapetaka di seluruh dunia. 

Kajian sekumpulan saintis iklim terkemuka mendapati perubahan ekstrem dalam pola cuaca seperti suhu, hujan dan kelembapan mungkin berpunca dari perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia. Pada pertengahan Julai misalannya, Eropah barat dilanda banjir besar selepas hujan lebat melanda seluruh perkampungan sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya 209 orang mati di Jerman dan Belgium selain puluhan lagi hilang. Banjir juga menyebabkan kerosakan di Luxembourg, Belanda dan Switzerland. China turut menerima nasib sama dengan kenderaan dihanyutkan air di pusat bandar Zhengzhou selain turut meragut sekurang-kurangnya 33 nyawa. Kajian mendapati, jumlah purata hujan yang sepatutnya diterima dalam setahun, turun sepenuhnya dalam tempoh tiga hari di bandar berkenaan, menyebabkan air berlumpur memenuhi longkang sebelum melimpah ke jalanan, terowong dan laluan kereta api bawah tanah.

Laporan yang dikeluarkan oleh IPCC pada bulan Ogos lalu berkaitan Laporan Penilaian Perubahan Iklim IPCC Keenam yang akan dilengkapkan pada 2022 menyatakan fenomena pemanasan global akibat pelepasan gas rumah hijau (GHG) daripada aktiviti manusia amat memberi kesan kepada sistem iklim global, dan fenomena itu kini berada pada tahap membimbangkan. Jika tiada tindakan drastik diambil bagi mengurangkan pelepasan GHG, dunia dijangka berdepan dengan bencana alam yang dahsyat, antaranya banjir yang lebih kerap dan serius. Rentetan itu, isu perubahan iklim dunia kembali meraih perhatian dan semakin hangat diperkatakan susulan tragedi besar dan bencana yang berlaku di dunia termasuk di Malaysia, antaranya kejadian kepala air di Yan, Kedah, tanah runtuh dan episod bencana banjir kilat di beberapa negeri.

PERUBAHAN IKLIM MENINGKATKAN INTENSITI BENCANA BANJIR

Banjir kilat berlaku apabila kawasan daratan yang biasanya kering ditenggelami dengan air. Menurut Pakar Klimatologi daripada Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Fredolin Tangang, di Malaysia sahaja, jumlah kejadian banjir meningkat sejak 20 tahun lalu dengan kerugian dianggarkan melebihi RM8 bilion. Mengambil contoh Kuala Lumpur, beliau berkata kajian menunjukkan intensiti kejadian ribut petir dan hujan ekstrem meningkat sebanyak 30 peratus sejak 30 tahun lalu, sekali gus menyebabkan kejadian banjir yang semakin kerap. Justeru, unjuran mengenai kejadian cuaca ekstrem di Asia Tenggara termasuk Malaysia akan bertambah teruk pada masa depan adalah membimbangkan. Setiap satu darjah peningkatan suhu dunia, ia akan meningkatkan tujuh peratus kelembapan di atmosfera dan ini akan meningkatkan kekerapan episod ekstrem cuaca seperti banjir kilat.

Perkara ini turut diisokong oleh Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang yang menyatakan dalam konteks Asia Tenggara termasuk Malaysia, dijangka berlaku peningkatan kitaran air yang akan menyebabkan kejadian cuaca melampau seperti hujan lebat, banjir dan kemarau yang lebih kerap. Malaysia tidak terlepas daripada menerima kesan itu seperti yang ditunjukkan oleh hasil kajian data hujan 40 tahun - 'Study on Rainfall Change and Distribution in Malaysia' - yang dijalankan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran pada tahun 2018. Perbandingan purata hujan bulanan bagi tempoh 1999-2017 dan 1978-1998 menunjukkan berlaku penambahan peratus hujan pada Januari iaitu sebanyak 46.4 peratus, Mac (9.8 peratus), Jun (2.9 peratus), Ogos (9.7 peratus), Oktober (1.6 peratus) dan Disember (12.3 peratus), sekali gus menunjukkan Januari dan Disember merupakan bulan yang sensitif dan akan menerima lebihan hujan bulanan di Semenanjung Malaysia.

Persoalannya adakah bencana banjir kilat di Selangor juga dimangkinkan oleh kesan perubahan iklim? Jawapannya ya. Hal ini kerana, dua perkara utama akibat kesan perubahan iklim ini ialah kejadian banjir yang lebih ekstrem, sama ada banjir daratan dari segi peningkatan jumlah dan intensiti serta kekerapannya, dan banjir pantai yang diakibatkan oleh kenaikan aras laut yang turut menyebabkan penerobosan air masin ke daratan. Pertembungan dua senario tersebut memungkinkan kejadian banjir yang lebih buruk seperti bencana bah besar pada 2014 di negeri pantai timur terutamanya di Kelantan dan kini banjir terburuk dalam tempoh 7 tahun di Selangor.

Saintis menjangkakan kondisi ekstrem tersebut akan "semakin memburuk" dalam tempoh 20 tahun ke hadapan. Hal ini membuktikan walaupun perubahan iklim berlaku tanpa disedari, kesannya dapat dilihat dengan mata kasar dalam kehidupan seharian termasuklah kejadian banjir yang diakibatkan ketidaktentuan waktu hujan turun dan kadar taburan hujan pada sesuatu masa. Lantaran itu, di Selangor berlaku taburan hujan lebih dua kali ganda paras tertinggi pernah direkodkan dengan kadar taburan hujan mencecah 380mm, berbanding kadar tertinggi 180mm sebelum ini. Curahan hujan dalam tempoh 24 jam ini bersamaan jumlah hujan untuk sebulan menyebabkan banyak kawasan di Selangor sebelum ini tidak pernah dinaiki air turut tenggelam. Keadaan diburukkan oleh fenomena air pasang di kawasan terbabit mencecah 4.5 meter yang kebiasaannya hanya mencapai kira-kira 60mm. Maka, ini menjadi penyebab berlaku banjir besar apabila kemudahan yang disediakan bagi membendung limpahan air tidak dapat berfungsi. Akibatnya air sungai yang tinggi tidak dapat mengalir terus ke laut apabila bertembung dengan air pasang ini mengakibatkan banjir berlaku khususnya di kawasan berhampiran laut seperti di Pelabuhan Klang dan Banting.

TIDAK HANYA FAKTOR PERUBAHAN IKLIM SEMATA-MATA

Malaysia telah memasuki fasa perubahan iklim yang semakin membimbangkan dan memerlukan tindakan segera semua pihak. Hakikatnya, ramai tidak menduga banjir besar akan berlaku di Selangor kerana tidak pernah berlaku sebelum ini. Lantaran ramai yang mengambil jalan mudah dengan mengatakan semuanya diakibatkan oleh  perubahan iklim. Namun, banjir ekstrem tersebut tidak hanya disebabkan oleh pengaruh cuaca dan iklim semata-mata, tetapi juga akibat campur tangan keterlaluan manusia yang mengubah unsur iklim ke tahap yang ekstrem sehingga berpotensi mewujudkan dan memburukkan lagi kejadian bencana seperti banjir.

Proses pembandaran pesat dan padat menyebabkan banyak kawasan yang dipermodenkan. Kawasan-kawasan tanah rendah telah ditebus guna dengan mengambil tanah dari kawasan bukit. Ada juga anak-anak sungai yang ditimbus untuk dijadikan tapak bangunan. Aktiviti-aktiviti seperti ini merupakan faktor penyebab berlakunya banjir. Jika dahulu anak-anak sungai dan lembah dijadikan kawasan aliran air, kini kawasan tersebut telah ditimbus dengantanah. Apabila hujan turun, air akan mengalir dari kawasan bukit ke kawasan yang rendah dankemudian bertakung. Lama-kelamaan air akan bertambah dan banjir kilat akan berlaku.

Pemusnahan hutan menyebabkan hujan terus turun ke bumi tanpa diserap oleh tumbuhan. Jika tiada hutan atau apa-apa tumbuhan untuk menadah air, air hujan akan terus jatuh ke darat dan ini boleh mempercepatkan kebanjiran. Hujan yang turun dengan lebat menyebabkan air mengalir dengan banyak ke dalam sungai. Sungai tidak mendapat menampung air hujan dalam jumlah yang banyak. Pada masa ini limpahan air sungai akan berlaku mengakibatkan banjir.

Penyelengaraan parit dan longkang yang lemah akan menambahkan lagi masalah terutama apabila ianya tersumbat kerana longgokan sampah serta mendapan yang tidak diselenggara dengan baik. Sistem perparitan dan saliran yang tidak terancang dan tidak diselenggara dengan sempurna, tidak mencukupi, tersumbat dan cetek menjadi punca banjir kilat kerap melanda. Sikap segelintir masyarakat yang membuang sampah di longkang dan parit serta sisa bahan binaan dan industri sehingga menyekat laluan air turut menyumbang kepada episod banjir kilat. Sistem pemparitan sedia ada pula penuh dan tidak dapat menampung aliran air mengakibatkan limpahan.

Perbuatan membuang sampah secara sembrono ke dalam sungai didapati menjadi antara punca berlakunya banjir kilat. Selain daripada plastik dan bekas makanan, peralatan elektrik seperti perabot, peti ais dan mesin basuh turut dibuang di dalam sungai. Apabila hujan lebat turun, sungai tersebut tidak dapat megalirkan air hujan yang banyak. Akhirnya air sungai akan melimpah ke tebing dan dengan ini banjir akan berlaku.

MENANGANI BANJIR

Banjir kilat adalah antara bencana alam yang kerap berlaku di negara kita dan boleh mendatangkan beberapa kesan buruk terhadap semua hidupan sehingga boleh membawa kematian. Justeru, cara terbaik adalah hidup bersama alam dan meminimumkan bencana dengan mempelajari kelakuan alam termasuk fenomena banjir. Masyarakat perlu dididik secara formal mahupun tidak formal agar sentiasa beretika ketika berinteraksi dengan alam agar alam ‘tidak melontarkan amarahnya’ dalam bentuk luahan bencana seperti banjir dan tanah runtuh. Bagi mendepani sesuatu bencana, masyarakat juga perlu dilatih dari segenap aspek bagaimana untuk menyelamatkan harta benda dan nyawa ketika bencana melanda agar sebarang bentuk kerugian boleh diminimumkan.

Hutan diakui adalah kaedah paling murah dan paling berkesan dalam menangani isu perubahan cuaca dan iklim  kerana hutan amat berkesan dalam memerangkap karbon dioksida iaitu gas yang menjadi punca kepada perubahan iklim. Justeru hutan sedia ada perlu dikekalkan dan ditambah keluasannya selain mewartakan lebih banyak kawasan hutan sebagai hutan simpan.

Akses kepada maklumat berkaitan jangkaan bencana, sistem amaran awal, komunikasi risiko dan kecemasan perlu dipertingkatkan supaya orang awam sentiasa dimaklumkan mengenai keadaan terkini mangsa dan kawasan bencana agar impak yang dialami daripada segi kerugian kos melibatkan harta benda dan kehilangan nyawa dapat diminimumkan. Akhirnya penggunaan teknologi seperti pemetaan kawasan berisiko banjir berdasarkan data satelit dan Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan penggunaan dron bagi memantau kawasan banjir juga dapat membantu.

Tarikh Input: 18/10/2022 | Kemaskini: 18/10/2022 | nooryati

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
SXEUMA2~