BULI DI SEKOLAH, ANCAMAN SERIUS TERHADAP KESELAMATAN PELAJAR | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
» ARTIKEL » BULI DI SEKOLAH, ANCAMAN SERIUS TERHADAP KESELAMATAN PELAJAR

BULI DI SEKOLAH, ANCAMAN SERIUS TERHADAP KESELAMATAN PELAJAR

Oleh : 

Prof. Madya Dr Haliza Abdul Rahman
Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan
Institut Pengajian Sains Sosial
Universiti Putra Malaysia

Buli di sekolah bukan lagi satu fenomena terpencil, sebaliknya telah menjadi satu masalah sosial yang serius dan meluas kerana ia menjejaskan bukan sahaja kesejahteraan pelajar tetapi juga reputasi institusi pendidikan dan keharmonian masyarakat. Buli di sekolah bukan sahaja melibatkan keganasan fizikal tetapi juga bentuk bukan fizikal seperti buli siber, pengasingan sosial dan body‑shaming. Natijahnya, fenomena ini memberi impak serius kepada kesejahteraan mental, pencapaian akademik dan keselamatan pelajar di Malaysia.

 

Dalam konteks pendidikan moden, sekolah sepatutnya menjadi tempat selamat dan kondusif untuk pelajar berkembang daripada segi intelektual, emosi dan sosial. Namun begitu, peningkatan kes buli saban tahun menunjukkan bahawa persekitaran sekolah semakin tercemar dengan tingkah laku agresif, tekanan sosial dan keganasan yang terselindung di sebalik tembok pembelajaran. Tahun 2025 menyaksikan cabaran baru dalam menangani kes-kes buli dengan adanya pengaruh media sosial, teknologi tanpa kawalan dan budaya ‘normalisasi’ buli dalam kalangan pelajar.

 

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun 2023, sebanyak 8,820 kes buli dilaporkan di sekolah menengah di seluruh negara, meningkat hampir 20% berbanding 7,360 kes pada tahun 2022. Malah, setakat Oktober 2024 dicatatkan terdapat 11,594 pelajar terlibat dalam 5,703 kes buli termasuk kes buli secara fizikal, verbal, sosial dan buli siber. Buli fizikal seperti menolak, memukul dan memeras ugut sering berlaku di tempat tersembunyi seperti tandas, bilik stor atau kawasan sunyi di sekolah manakala buli verbal seperti penghinaan, ejekan dan kata-kata kesat berlaku secara terbuka di hadapan rakan sebaya. Fenomena buli siber pula kini menjadi lebih kompleks dan sukar dikawal apabila pelajar menggunakan media sosial seperti WhatsApp, Instagram dan TikTok untuk menyebarkan mesej kebencian, gambar memalukan atau video buli secara langsung. Kajian oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 2023 menunjukkan bahawa 1 daripada 3 pelajar sekolah menengah pernah mengalami buli siber, namun lebih separuh daripadanya tidak melaporkan kejadian tersebut kerana takut dibalas dendam atau tidak percaya kepada sistem sekolah.

 

Salah satu kes yang pernah menggemparkan negara berlaku di sebuah sekolah berasrama penuh di Johor pada akhir tahun 2022, apabila seorang pelajar tingkatan empat meninggal dunia dipercayai selepas dibelasah oleh sekumpulan pelajar senior. Kes ini membongkar budaya “ragging” yang sudah lama membarah di sekolah-sekolah berasrama yang mana pelajar senior menyalahgunakan kuasa dan status untuk menindas junior atas alasan “mengajar” atau “mendisiplinkan” mereka. Kejadian ini bukan sahaja mencetuskan kemarahan masyarakat, malah menjadi bukti jelas bahawa sistem pemantauan di sekolah masih longgar dan tidak cekap dalam membendung budaya buli. Lebih mengejutkan, kajian oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati bahawa 40% pelajar sekolah menengah mengakui pernah membuli rakan sendiri, manakala 30% pelajar pula pernah menjadi mangsa buli sekurang-kurangnya sekali sepanjang tempoh persekolahan mereka.

 

Kesan buli terhadap mangsa amat mendalam dan berpanjangan. Hal ini kerana mangsa buli bukan sahaja mengalami kecederaan fizikal, malah turut menanggung penderitaan mental dan emosi seperti kemurungan, gangguan kebimbangan, hilang keyakinan diri, fobia sosial dan kecenderungan untuk mencederakan diri sendiri. Menurut Persatuan Psikiatri Malaysia, lebih 60% pelajar yang menjadi mangsa buli menunjukkan gejala kemurungan atau tekanan emosi yang serius dan ada antarnya yang memerlukan rawatan psikologi jangka panjang. Dalam kes yang lebih ekstrem, ada mangsa yang nekad membunuh diri seperti yang berlaku pada 2021 kepada seorang pelajar perempuan berumur 15 tahun di Selangor yang didapati meninggalkan nota yang menyatakan tekanan akibat ejekan rakan-rakan sebagai punca utama tindakan tragis tersebut. Kajian terhadap 95,545 pelajar di Asia turut mendapati bahawa mangsa buli mempunyai risiko 2–18 kali lebih tinggi untuk mengalami gangguan mental seperti PTSD, kemurungan dan ketagihan internet.

 

Buli juga memberi kesan negatif kepada pelaku itu sendiri. Hakikatnya, ramai pelaku buli mempunyai latar belakang keluarga yang bermasalah, kurang perhatian ibu bapa atau terdedah kepada budaya ganas di rumah. Menurut kajian oleh Universiti Malaya, pelajar yang terlibat dalam tingkah laku membuli berisiko dua kali ganda lebih tinggi untuk terlibat dalam jenayah seperti kecurian, penyalahgunaan dadah dan keganasan apabila dewasa. Hal ini menunjukkan bahawa kegagalan menangani isu buli daripada peringkat awal boleh membawa kesan domino kepada keselamatan masyarakat secara keseluruhan.

 

Menyedari betapa seriusnya isu ini, pelbagai pihak perlu memainkan peranan secara menyeluruh dan bersepadu. Sekolah sebagai institusi utama perlu memperkukuh sistem pengawasan dan disiplin. Program intervensi seperti kempen anti-buli, pembentukan jawatankuasa disiplin yang berkesan, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi berisiko tinggi serta pelaporan kes secara sulit melalui aplikasi seperti WhatsApp rasmi KPM, e-mel, peti aduan sekolah dan portal SISPAA perlu diperluaskan. Guru dan kaunselor pula perlu diberikan latihan untuk mengenal pasti tanda-tanda awal buli dan memberi sokongan psikologi berterusan kepada mangsa. Penubuhan “Duta Sahsiah” di setiap sekolah iaitu pelajar dilatih untuk menjadi pemantau sahsiah dalam membantu memantau dan menasihati rakan yang berpotensi terlibat dalam buli juga satu langkah yang baik. Kempen seperti program BEST (Bantu‑Empati‑Sayangi‑Tanggungjawab) yang telah diadakan sejak 2023, bersama panduan untuk sekolah dan pelajar turut meningkatkan kesedaran dan kawalan buli. Selain itu, ibu bapa juga perlu terlibat secara aktif dalam mendidik anak-anak tentang empati, hormat-menghormati dan batas dalam berinteraksi. Undang-undang sedia ada juga perlu dikaji semula untuk membolehkan hukuman yang lebih tegas dikenakan terhadap pelaku buli tegar, termasuk tindakan tatatertib atau pertuduhan di bawah Kanun Keseksaan jika membabitkan kecederaan fizikal serius kepada mangsa.

 

Ringkasnya, isu buli di sekolah bukan sekadar masalah kecil yang boleh dipandang ringan, sebaliknya merupakan ancaman besar terhadap kestabilan sistem pendidikan dan pembangunan sosial negara. Hal ini kerana ia menjejaskan kesejahteraan pelajar, menggugat keselamatan persekitaran sekolah dan merosakkan masa depan individu serta masyarakat. Oleh itu, pendekatan holistik melibatkan semua pihak merangkumi kerajaan, sekolah, ibu bapa, komuniti dan pelajar itu sendiri amat penting untuk membanteras budaya buli dari akar umbi. Usaha ini bukan sahaja menjamin keselamatan pelajar, malah memastikan bahawa setiap individu diberikan peluang yang adil untuk membina masa depan yang cerah dalam suasana yang bebas daripada ketakutan, penghinaan dan keganasan.

Tarikh Input: 24/07/2025 | Kemaskini: 20/01/2026 | nm_aini

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
W, (06:47:22am-06:52:22am, 25 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]