CABARAN GRADUAN TVET SEBAGAI DNA JOB CREATOR | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
» ARTIKEL » CABARAN GRADUAN TVET SEBAGAI DNA JOB CREATOR

CABARAN GRADUAN TVET SEBAGAI DNA JOB CREATOR

**Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris**
**Artikel ini telah diterbitkan di KOSMO pada 5 Januari 2019.**

Oleh Dzuhailmi Dahalan

 

Kebergantungan graduan Institut Pengajian Tinggi (IPT) terhadap peluang pasaran kerja sememangnya bukan satu isu baru di Malaysia. Tekanan dalam pasaran buruh sedia ada dikatakan berlaku apabila pertumbuhan struktur guna tenaga perlahan serta tidak mampu untuk menampung bilangan graduan yang semakin meningkat saban tahun. Revolusi Perindustrian Ke-4 (Industri 4.0) turut mewujudkan kesan berganda apabila penekanan Internet of Things (IoT) atau pembinaan teknologi realiti maya sedikit demi sedikit mengambil alih intensif buruh dalam pasaran kerja.      

 

Cabaran sektor pendidikan tinggi negara dilihat cukup mencabar di masa-masa akan datang apabila IPT dilihat berperanan untuk menghasilkan modal insan bagi mengisi guna tenaga dalam sektor pembangunan negara di masa hadapan. Bagi mendepani cabaran ini, tidak dapat tidak, tumpuan sektor pendidikan tinggi negara pada masa ini perlu lebih beriltizam untuk melahirkan sebanyak mungkin penjana pekerjaan (job creator) dalam pelbagai bidang keusahawanan melalui graduan yang dihasilkan. Ini kerana rekod Kementerian pada tahun 2016 menunjukkan bilangan graduan IPT yang menceburi bidang keusahawanan sebaik sahaja menamatkan pengajian menunjukkan peratusan yang sangat kecil iaitu sekitar 2% sahaja daripada jumlah mereka yang bergraduat setiap tahun.

 

Dalam konteks penubuhan Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal & Vokasional Malaysia (TVET) yang diumumkan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik sekitar bulan Jun 2018 adalah diharapkan supaya kerajaan bukan sahaja dapat memperkasa, menaiktaraf serta menyelaras pengiktirafan aliran TVET yang diterajui oleh pelbagai Kementerian dan agensi itu sendiri malah sebaiknya mampu mengetengahkan formula terbaik ke arah menyediakan graduan TVET di Malaysia sebagai DNA penjana pekerjaan yang utama dalam pasaran buruh negara pada masa hadapan.

 

Kenyataan media Kementerian Pendidikan sebelum ini berhubung data kebolehpasaran graduan IPT 2016 menunjukkan terdapat peningkatan kebolehpasaran yang memberangsangkan bagi graduan TVET di Malaysia. Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) menunjukkan kebolehpasaran graduan pada tahap 87.1%, Politeknik (88.6%) dan Kolej Komuniti (97.2%). Walaupun peratusan kebolehpasaran ini dilihat positif, hakikatnya data ini terus menyumbang kepada pencapaian negara yang rendah dari sudut hasrat menjadi usahawan (entrepreneurial intention) dalam kalangan graduan IPT.

 

Berdasarkan Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2016-2020, polisi kerajaan menyasarkan 100% pelajar IPT mendapat pendedahan kepada nilai dan atribut keusahawanan menjelang tahun 2020 di bawah Strategi Membangunkan Kurikulum Holistik dan Bersepadu melalui Inisiatif: Melaksanakan Amalan Pendidikan Berimpak Tinggi (HIEP) dengan menerapkan elemen keusahawanan merentasi kurikulum dan bidang pengajian. Sementara menerusi Inisiatif: Melaksanakan Rangka Kerja Penjana Pekerjaan ataupun Job Creator Framework, yang terletak di bawah Strategi Mengukuhkan Sistem Sokongan Pembelajaran, kerajaan sebelum ini menyasarkan 5% daripada jumlah pelajar IPT yang bergraduat bekerja sendiri atau menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan menjelang tahun 2020.

 

Kajian penulis dan rakan-rakan sekitar bulan Mac 2018 melibatkan sampel pelajar TVET di bawah agensi pelaksana awam terpilih di seluruh negara mendapati kesediaan pelajar TVET untuk menceburi bidang keusahawanan masih di tahap sederhana. Kajian ini turut mengesahkan kajian lampau mengenai tahap kebergantungan yang tinggi graduan IPT negara terhadap peluang pasaran kerja sedia ada.

 

Jadi, usaha untuk melahirkan sebanyak mungkin job creator DNA terutama menerusi graduan TVET dilihat berpotensi pada masa hadapan untuk mengurangkan tekanan ke atas pasaran buruh, menurunkan kadar pengangguran graduan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi negara. Salah satu cara bagi merealisasikan impian ini adalah dengan memberi peluang kepada pelajar TVET untuk menjalankan aktiviti usahaniaga ketika mereka sedang mengikuti pengajian. Kajian penulis menunjukkan pelajar TVET yang menjalankan aktiviti perniagaan semasa belajar mempunyai kesediaan yang lebih tinggi untuk menceburi bidang keusahawanan berbanding mereka yang tidak menjalankan sebarang aktiviti perniagaan. Ini kerana profil peringkat pengajian semata-mata bukan dilihat sebagai faktor yang memberi impak kepada peningkatan kesediaan pelajar menceburi bidang keusahawanan disebabkan kajian yang dijalankan mendapati tidak terdapat perbezaan yang signifikan di antara pelajar di peringkat pengajian sijil mahupun diploma di dalam memacu kesediaan mereka menceburi bidang keusahawanan.

 

Penulis percaya masyarakat terbanyak masih ternanti-nanti apakah impak positif berkaitan hala tuju pendidikan TVET di Malaysia susulan penubuhan Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal & Vokasional Malaysia (TVET) yang telah diumumkan sebelum ini.  Pada hemat penulis, penubuhan Jawatankuasa ini bukan sahaja diharapkan dapat mencari jalan penyelesaian mengenai kemelut akreditasi atau pengiktirafan graduan TVET itu sendiri serta memenuhi cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), malah ia turut berjaya mengubah landskap pengajian TVET itu sendiri ke arah mencipta peluang pekerjaan baru di Malaysia melalui DNA TVET sebagai job creator sekaligus mengurangkan tekanan kepada pasaran buruh sedia ada.      

 

Dzuhailmi Dahalan
Pegawai Penyelidik Sosial
Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia
Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
dzuhailmi@upm.edu.my

Tarikh Input: 10/02/2020 | Kemaskini: 10/02/2020 | nm_aini

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
SXETDAl~