Baru-baru ini Korea telah mengistiharkan bahawa mereka kini berada di fasa endemik. Ini bermaksud tiada lagi pelitup muka walaupun di kawasan hospital dan vaksin percuma kepada rakyat mereka seperti sebelum ini. Malaysia terdiri dari sebahagian negara yang sedang menuju era endemik. Tempoh tiga tahun yang dilalui bersama Covid 19 memberi pelbagai kesan yang bukan sedikit dan golongan yang berbeza terkesan dari sudut yang berbeza. Antara dua golongan yang sangat terkesan dan memberi impak berganda adalah golongan pelajar dan pekerja.
Sebagai seorang ahli akademik dan juga mengetuai badan bukan kerajaan berkaitan keluarga (FAME), kesan tersebut sangat dekat di hati penulis kerana golongan pelajar dan pekerja adalah golongan yang penulis santuni setiap hari. Kehadiran ibubapa meminta pertolongan bagi anak-anak yang sukar untuk ke sekolah akibat rasa bimbang yang melampau, tertekan kerana masih tidak dapat mengikuti dan memahami pembelajaran dengan sepenuhnya menyebabkan ramai yang membuat keputusan untuk menangguhkan atau tidak menghadiri kuliah, tidak hadir ke sekolah serta yang lebih parah berhenti terus dari sistem pendidikan.
Apa yang diketengahkan oleh mantan Menteri Pengajian Tinggi berkaitan sebanyak 72 peratus tidak berminat untuk meneruskan pengajian tinggi merupakan suatu tanda saran yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak termasuk pembuat dasar serta pelaksana. Kenyataan ini memerlukan suatu kajian impak yang menyeluruh beserta tindakan yang signifikan kerana statistik ini sebenarnya mendedahkan kepincangan proses pelaksanaan sesuatu dasar. Tidak dinafikan Covid 19 bukanlah dialami oleh Malaysia sahaja tetapi tindakan yang lebih realistik serta dapat menyelesaikan isu masyarakat setempat sangat diperlukan dan ini memerlukan kerjasama dari setiap lapisan masyarakat. Secara dasarnya ramai orang tahu akan punca kepada isu ini, apa yang penting adalah penyelesaian mengikut kohort serta kumpulan yang berkenaan agar penyelesaian yang dicadangkan benar-benar menyantuni golongan sasar yang berkaitan.
Penulis pasti, tiada satu penyelesaian yang sesuai untuk semua keadaan. Justeru untuk golongan pelajar ini, adalah tanggung jawab ibubapa dan pihak kementerian Pendidikan dan Pengajian tinggi untuk sama-sama duduk semeja merungkai isu sebenar serta mendepani isu tersebut secara bersama. Satu sistem yang benar-benar mencakupi keperluan pendidikan secara holistik dengan mengambilkira proses kepada pencapaian anak-anak perlu dipertimbangkan secara serius. Ini bermakna bukan sahaja KPI yang diutamakan tetapi proses bagaimana mencapai KPI tersebut perlu diperkemaskan. Terdapat pelbagai negara yang telah dijadikan penanda aras untuk menjayakan usaha ini, namun tidak diambil keseluruhannya atas alasan budaya yang berbeza dan ini adalah baik kerana sensitif dengan budaya masyarakat setempat, walau bagaimanapun kefahaman untuk menterjemahkan proses asal, dalam konteks masyarakat tempatan perlu dilakukan dengan teliti dengan mengambil kira objektif proses asal itu dilakukan. Ini bukan sahaja dapat menjanjikan proses pembelajaran dapat dilkasanakan dengan baik, ia juga dapat mencapai matlamat KPI yang didambakan oleh pihak pengurusan. Dalam konteks ini semua pihak perlu berfikir dan bertindak secara fleksible tanpa memangsakan masa depan generasi yang akan datang.
Bagi pekerja pula, pemotongan gaji, diberhentikan kerja dan dalam masa yang sama tunggakkan bayaran kepada komitmen sedia ada menjadikan mereka buntu. Di samping itu, virus serta pelbagai penyakit berjangkit yang tular serta berevolusi dalam tempoh yang singkat menyebabkan keupayaan mereka yang terlibat dalam kedua-dua keadaan untuk bangkit dan kembali seperti sediakala kelihatan sukar. Di sinilah perlunya jaringan keselamatan yang mampu mendepani apapun keadaan yang melanda. Jaringan keselamatan yang dimaksudkan terdiri dari ketahanan diri individu tersebut, keluarga yang positif dan memahami keperluan sokongan sosial, komuniti yang bersedia menghulurkan bantuan, majikan yang bersedia untuk bertolak ansur dan bertimbang rasa disamping agensi kerajaan yang efisien dan yang utama sekali adalah kerajaan yang mempunyai ‘political will’ untuk melaksanakan perubahan demi kepentingan rakyat. Kesemuanya ini akan mewujudkan satu ekosistem yang kukuh dalam memastikan kesihatan dan kesejahteraan pekerja di Malaysia berada di tahap maksimum. Pengumuman kenaikan gaji sebanyak 15% dan gaji minimum sebanyak RM2000 merupakan satu respond yang menterjemahkan teras IHSAN dalam rukun MADANI dari Kerajaan sedia ada yang diketuai oleh PMX. Pengumuman ini sebenarnya memberikan sinar kepada golongan kakitangan awam. Walau bagaimanapun pada pandangan penulis kegembiraan ini harus disertai dengan sifat berhati-hati dalam menguruskan kewangan yang ada. Tak salah berwaspada.
Data menunjukkan “Sehingga Julai 2021, sejumlah 638 kes bunuh diri telah dilaporkan oleh PDRM berbanding 262 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2020 (Jan-Julai 2020) iaitu peningkatan sebanyak 143 peratus atau 1.4 kali lebih banyak,” dan ini menggambarkan jaringan keselamatan yang ada lebih-lebih lagi sepanjang pandemik bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan. Dalam tempoh endemik pula, satu demi satu bencana alam berlaku berselang masa termasuk banjir kilat. Ini menjelaskan bahawa terdapat banyak ruang yang perlu ditambah baik samada dari segi sistem sedia ada ataupun pelaksanaan kepada sistem tersebut.
Berdasarkan kenyataan yang diberikan, antara faktor utama yang keterlihatan sangat menggangu kedua-dua golongan (pelajar dan pekerja) ini samada dari segi fizikal mahupun mental adalah kewangan dan perlu diselesaikan segera. Walau bagaimanapun untuk memastikan kesan jangka panjang endamik ini tidak berlarutan sehingga menggangu keseluruhan jaringan keselamatan yang ada, beberapa cadangan praktikal yang boleh dilakukan dalam tempohmasa yang singkat adalah:
Penulis percaya sekiranya ekosistem ini dapat ditambah baik, kesan pandemik sewaktu endamik ini tidak seteruk yang disangkakan. Apa yang pasti penglibatan semua pihak dalam membentuk ekosistem sejahtera berteraskan kepentingan masyarakat secara keseluruhannya akan dapat dijayakan.
Oleh:
Professor Dr Haslinda Abdullah
Pengarah, Institut Pengajian Sains Sosial, UPM
Pensyarah, di Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia, UPM
Tarikh Input: 25/07/2024 | Kemaskini: 20/01/2026 | nm_aini
