Didik Integriti Mahasiswa Demi Generasi Bebas Rasuah | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL
» ARTIKEL » Didik integriti mahasiswa demi generasi bebas rasuah

Didik integriti mahasiswa demi generasi bebas rasuah

Pendidikan Berterusan ‘Kunci’ Mengekang Budaya Rasuah

  • 02 Jul 2021

 

Oleh:

Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman

Prof Madya Dr Hanina H. Hamsan
Prof Madya Dr Akmar Hayati Ahmad Ghazali

Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia

 

Di peringkat global, aktiviti rasuah telah menyebabkan kerugian sebanyak AS$2.6 trilion setiap tahun. Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 terbitan Transparency International pada 28 Januari 2021 mendedahkan bahawa rasuah yang berterusan merosakkan sistem penjagaan kesihatan dan menyumbang kepada kemunduran demokrasi di saat pandemik Covid-19. Pada tahun 2017 sahaja, Malaysia ‘kehilangan’ RM47 bilion atau empat peratus dari KDNK akibat rasuah. Nilai itu hampir dua kali ganda jumlah perbelanjaan untuk penjagaan kesihatan pada tahun yang sama. Malah, Bank Dunia menganggarkan berlaku 20 hingga 30 peratus ketirisan daripada nilai kontrak kerajaan. Anggaran itu sepadan dengan laporan Jabatan Ketua Audit Negara yang menyatakan sehingga 30 peratus nilai projek awam Malaysia tertiris akibat salah urus dan rasuah. Kesannya, kedudukan Malaysia dalam CPI dunia bagi tahun 2020 jatuh ke kedudukan 57 berbanding tangga 51 pada 2019.

 

Semua ini membuktikan budaya rasuah dan salah guna kuasa boleh menjadi barah malah racun jika gagal ditangani dengan berkesan, bahkan menjadi krisis untuk negara. Hakikatnya, budaya rasuah pada masa kini telah berevolusi dan tidak hanya tertumpu kepada pemberian atau penerimaan wang semata-mata. Tindakan rasuah kini boleh berlaku dalam pelbagai bentuk tanpa disedari masyarakat, antaranya melibatkan tawaran seks, makanan, pemarkahan peperiksaan dan beberapa lagi. Bayaran rasuah telah bertukar ke dalam bentuk keperluan masyarakat sejajar dengan peredaran zaman pada masa kini.

 

Ketika ini. situasi negara yang dilihat semakin teruk terpalit dengan isu rasuah. Hasil kajian Transparency International Malaysia menunjukkan, tujuh daripada 10 rakyat Malaysia terlibat rasuah. Paling membimbangkan, generasi muda di negara ini turut terdedah dengan budaya rasuah yang kini seolah-olah perkara biasa bagi segelintir pihak. Berdasarkan statistik SPRM dari 2015 hingga 2020, daripada keseluruhan tangkapan, 52.6% atau 2,975 orang adalah mereka yang berumur di bawah 40 tahun. Jika rasuah tidak ditangani, kita akan ketinggalan dan kembali ke era sebelum ini, sedangkan negara lain terus maju dan sangat agresif melawan rasuah

 

PENDIDIKAN TERAS MEMERANGI RASUAH

 

Hakikatnya, walaupun pelbagai strategi dan langkah sudah dicadangkan oleh pelbagai pihak untuk menangani gejala rasuah dan salah guna kuasa ini, namun ia menjadi sangat sukar untuk dihapuskan. Ternyata, tanggungjawab membanteras rasuah bukan hanya terletak di atas bahu Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) semata-mata, demi mengurangkan dan membanteras rasuah, setiap lapisan rakyat harus beriltizam untuk tidak menjadi pemberi mahupun penerima rasuah.

 

Natijahnya, sebahagian besar golongan muda negara termasuk mahasiswa telah lama berhasrat untuk melihat usaha memerangi rasuah secara besar-besaran dapat dilakukan di semua peringkat. Ini termasuklah aspek penguatkuasaan bagi memerangi rasuah oleh agensi kerajaan di semua peringkat bermula daripada bawah hingga ke peringkat atasan. Matlamat ini boleh tercapai dengan melakukan secara agresif promosi serta menerapkan dan memperhebat pendidikan mengenai rasuah bagi menyuntik kesedaran ramai mengenai bahaya dan impak jenayah itu dalam kehidupan.

 

Golongan mahasiswa boleh berperanan sebagai barisan hadapan dalam agenda membanteras rasuah yang terus menular dalam masyarakat. Antaranya dengan membantu menggerakkan kempen kesedaran mengenai bahaya rasuah dalam masyarakat bagi melahirkan generasi lebih berintegriti serta menjadi mata dan telinga kepada SPRM atau agensi berkaitan bagi melaporkan sebarang perbuatan yang mempunyai unsur-unsur rasuah.

 

Menghapuskan rasuah dalam tempoh jangka pendek tidak mungkin berlaku. Maka, kempen kesedaran mengenai kesalahan jenayah rasuah perlu dimulakan seawal peringkat sekolah dan diteruskan ke peringkat pendidikan tinggi seperti universiti supaya kefahaman mengenainya dapat disuntik dan diperkukuhkan. Penerapan nilai integriti juga perlu diberi perhatian mendalam. Integriti boleh difahami sebagai melakukan sesuatu perkara dengan betul walaupun tiada orang yang melihat dan memantau. Ini bermaksud sebagai seorang yang berintegriti, kita tidak boleh sewenang-wenangnya berkelakuan yang menyalahi tatasusila dan etika yang ditetapkan.

 

Melalui pendidikan, usaha membanteras jenayah rasuah dapat dipupuk dari seawal usia kanak-kanak dengan melabelkan perbuatan itu sesuatu yang amat jijik. Silibus mata pelajaran berkaitan seperti Pendidikan Sivik, Pendidikan Moral dan sebagainya juga perlu dirombak dengan memasukkan elemen antirasuah bagi meningkatkan kesedaran di peringkat sekolah supaya minda pelajar sejak kecil lagi sudah ditanamkan tentang keburukan dan implikasi jenayah rasuah. Seterusnya, pemimpin kerajaan dan pihak universiti perlu bekerjasama dalam mendidik golongan muda terutama mahasiswa agar tidak terjebak dengan jenayah rasuah. Kerjasama ini penting kerana generasi muda termasuk golongan mahasiswa merupakan aset intelektual dalam membina sebuah negara yang berdaya saing. Antaranya, SPRM telah mewujudkan Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) di peringkat institut pengajian tinggi (IPT) tempatan dalam usaha membanteras budaya rasuah. AMAR memainkan peranan dalam menerajui usaha pembudayaan nilai-nilai murni, pencegahan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan pelajar IPT.

 

Dengan ini akan lahir lebih ramai golongan incorruptible iaitu mereka yang mempunyai integriti dan tidak akan terjebak dengan segala bentuk aktiviti rasuah. Mereka mempunyai jiwa yang kental dan nilai etika serta disiplin yang tinggi sehingga membentuk jatidiri yang kukuh dalam diri iaitu tidak akan berganjak dengan pendirian dan pegangan mereka walaupun ditawar dengan jumlah rasuah yang lumayan. Golongan inilah yang sepatutnya menjadi dominan dalam masyarakat.

Penafian : Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pendirian rasmi SPRM.

Tarikh Input: 08/07/2021 | Kemaskini: 08/07/2021 | nooryati

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
0389471876
CULeCAz:02:25