Oleh : WIDAD EMIR BINTI MOHAMAD ARRIF EMIR
Mutakhir ini, perbualan mengenai gelagat generasi Z atau lebih mesra dipanggil sebagai Gen Z, menjadi semakin rancak. Tidak dinafikan, ada yang menganggap generasi ini membawa maksud negatif, dengan panggilan yang biasa didengari sebagai generasi cepat koyak. Betul ke macam tu? Jom kita fahami isu ini dengan lebih santai dan terbuka.
Terdapat perbualan di media sosial yang mengaitkan Gen Z dengan istilah “Generasi Strawberry”. Sebenarnya, metafora ini berasal dari Taiwan dan digunakan untuk menggambarkan sesuatu yang cantik di luar, lembut di dalam. Kenapa generasi ini diumpamakan seperti strawberi?
Strawberi memang terkenal sebagai buah yang cantik, berwarna merah terang dan disukai ramai. Namun, jika ditekan sedikit sahaja, ia boleh hancur. Ini serupa dengan persepsi sesetengah orang terhadap Gen Z iaitu sensitif, cepat tersentuh, mudah tertekan, dan cepat overwhelmed apabila berdepan dengan tekanan hidup. Tetapi penting untuk kita ingat, ini hanyalah gambaran sosial dalam konteks tertentu, bukan hakikat mutlak untuk semua Gen Z. Hakikatnya, generasi ini bukanlah lemah. Sebaliknya, mereka lebih peka terhadap emosi sendiri, lebih berani mengakui apabila tidak berada dalam keadaan terbaik, dan lebih terbuka untuk mencari bantuan. Sensitiviti mereka bukan kelemahan, tetapi satu bentuk kecerdasan emosi yang semakin dihargai dalam dunia moden.
Seperti strawberi yang memerlukan penjagaan rapi, Gen Z juga lahir dalam era teknologi yang serba mudah. Mereka membesar dengan internet, telefon pintar, kecerdasan buatan (AI) untuk membantu menyiapkan tugasan, GrabFood bila lapar, dan Google untuk semua jawapan. Dari luar, kehidupan mereka kelihatan sangat selesa. Namun, realitinya mereka turut berhadapan dengan tekanan dengan kos sara hidup yang meningkat, persaingan pendidikan dan kerjaya semakin mencabar, media sosial yang padat dengan isu semasa, serta perubahan teknologi yang sentiasa bergerak pantas. Cabaran mereka mungkin berbeza, tetapi itu tidak menjadikan mereka kurang kuat.
Strawberi juga dianggap buah premium. Apabila harganya tinggi, orang pun mengharap kualitinya setanding. Sama seperti Gen Z, mereka sering digambarkan sebagai generasi yang mempunyai high expectations dan low tolerance. Mereka mahukan kerja bermakna, kepimpinan yang menyokong, suasana kerja yang sihat, dan keseimbangan hidup yang baik. Jika dilihat sekilas, ini mungkin terlihat “demanding”. Namun, dari sudut yang lebih positif, Gen Z tahu menetapkan batas, menjaga kesejahteraan diri, dan memilih apa yang selari dengan nilai mereka. Bukan menentang, tetapi memilih untuk tidak bertolak ansur dengan perkara yang tidak membina.
Benar, strawberi cepat rosak jika tidak disimpan dengan betul. Sama juga dengan Gen Z yang lebih mudah burnout atau hilang minat apabila berada dalam persekitaran yang tidak kondusif. Mereka generasi yang pantas, suka benda baru dan ingin melihat perkembangan dalam apa jua yang mereka lakukan. Dengan kepimpinan yang empati, terbuka, dan komunikatif, potensi mereka boleh berkembang secara luar biasa.
Walaupun strawberi bersifat lembut, ia tetap buah yang sangat digemari kerana cerah, menarik, dan versatil. Begitu juga dengan Gen Z, mereka kreatif, ekspresif, mahir teknologi dan cepat belajar. Banyak trend, perniagaan digital, dan kandungan menarik yang viral hari ini lahir daripada idea mereka. Dalam dunia digital, ini adalah satu kelebihan besar.
Jadi, adakah menjadi Gen Z atau Generasi strawberi ini adalah sesuatu yang negatif kerana dilabel sebagai “cepat koyak” ? Sebenarnya tidak sama sekali. Metafora sosial ini menggambarkan generasi yang positif dibentuk oleh zaman dan pengalaman yang berbeza. Strawberi mungkin lembut, tetapi ia juga manis, bernilai tinggi dan digemari ramai. Begitu jugalah Gen Z. Mereka sensitif, namun penuh empati. Mereka mempunyai tuntutan, tetapi semuanya berakar daripada kesedaran terhadap nilai diri. Mereka mungkin kelihatan rapuh, tetapi apabila diberi ruang yang betul, mereka mampu menghasilkan impak yang luar biasa.
Generasi ini menolak budaya kerja toksik bukan kerana lemah, tetapi kerana mereka berpegang pada prinsip yang jelas tentang kesejahteraan mental dan penghargaan diri. Mereka kreatif, malah berpengaruh dalam pelbagai bidang daripada teknologi, kandungan digital, sehinggalah inovasi sosial. Mungkin sudah tiba masanya kita menukar perspektif; bukan membandingkan mereka dengan cara kita dibesarkan dahulu, tetapi menghargai kepelbagaian antara generasi.
Apa yang kadang-kadang kita anggap sebagai asing daripada kebiasaaan mungkin sebenarnya adalah cara mereka menyesuaikan diri dalam dunia yang lebih kompleks dan penuh tekanan berbanding zaman sebelumnya. Hakikatnya, Gen Z bukanlah generasi yang cepat koyak. Jika kita lihat dari sudut yang lebih positif, mereka ialah generasi yang jelas tentang apa yang mereka mahukan, berani menyuarakan pendapat, dan tidak takut menjadi diri sendiri. Sudah terang lagi bersuluh, semua itu adalah ciri yang wajar dihargai, bukan dipersoalkan.
Sumber: https://medium.com/@karamoon511/strawberry-generation-the-new-name-for-gen-z-78f4c554e220
Tarikh Input: 12/12/2025 | Kemaskini: 20/01/2026 | nm_aini
