MANIS YANG MEMUDARATKAN | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
» ARTIKEL » MANIS YANG MEMUDARATKAN

MANIS YANG MEMUDARATKAN

Oleh: Haliza Abdul Rahman 

Gula merupakan sejenis karbohidrat ringkas yang secara semula jadi terdapat dalam buah-buahan, sayur-sayuran dan susu, namun dalam konteks pemakanan moden istilah “gula” lazimnya merujuk kepada gula tambahan yang dimasukkan ke dalam makanan dan minuman terproses. Walaupun gula berfungsi sebagai sumber tenaga segera, pengambilan gula berlebihan telah dikenal pasti sebagai salah satu faktor utama peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti obesiti, diabetes jenis 2, penyakit jantung dan komplikasi metabolik lain di seluruh dunia. 

Kajian global terkini yang diterbitkan dalam Nature Medicine menunjukkan bahawa minuman bergula berkaitan dengan lebih 2.2 juta kes baharu diabetes jenis 2 dan 1.1 juta kes penyakit jantung setiap tahun di seluruh dunia. Penyakit ini berlaku paling ketara di negara berpendapatan rendah dan sederhana, di mana sistem kesihatan sering tidak bersedia menangani beban NCD yang meningkat. Minuman manis juga telah dikaitkan dengan lebih 330,000 kematian dan 12.5 juta tahun hidup yang hilang akibat ketidakupayaan (DALYs) daripada komplikasi kronik yang berkaitan, menunjukkan impak kesihatan yang besar di peringkat global. Beban ini paling ketara di negara berpendapatan rendah dan sederhana contohnya di Amerika Latin dan Caribbean yang mana minuman bergula menyumbang kepada hampir 24% daripada semua kes baru diabetes dan 11% kes jantung, manakala di sub‑Saharan Afrika gula bertanggungjawab untuk lebih 21% kes baru diabetes. Selain itu, negara seperti Colombia dan Mexico turut mencatat kadar tinggi kes baharu diabetes yang berkaitan dengan minuman bergula, masing‑masing sehingga 48% dan 30% daripada keseluruhan kes baru. Statistik ini menyerlahkan beban NCD yang sangat tinggi di kalangan populasi muda, urban dan berpendidikan tinggi yang lebih terdedah kepada pengambilan minuman manis berbanding golongan lain.

Fenomena ini mendorong pelbagai negara melancarkan apa yang sering dirujuk sebagai “Perang terhadap Gula” iaitu satu pendekatan menyeluruh yang merangkumi intervensi dasar, fiskal, pendidikan kesihatan dan reformasi industri makanan. Hakikatnya, isu ini bukan sahaja berkaitan kesihatan individu, malah membawa implikasi ekonomi yang besar terhadap sistem penjagaan kesihatan, produktiviti tenaga kerja dan pembangunan negara. “Perang terhadap Gula” adalah pelaburan jangka panjang dalam kesihatan rakyat dan kemampanan ekonomi.

 

Gula dan Beban Penyakit Tidak Berjangkit

 

Dari perspektif kesihatan awam, pengambilan gula tambahan yang tinggi berkait rapat dengan obesiti, diabetes mellitus jenis 2, penyakit kardiovaskular, sindrom metabolik dan kerosakan gigi. Justeru, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan pengambilan gula tambahan tidak melebihi 10% daripada jumlah tenaga harian, dengan sasaran optimum di bawah 5%. Namun corak pemakanan moden, khususnya peningkatan pengambilan minuman bergula dan makanan ultra-proses menyebabkan saranan ini sering dilanggar.

Statistik kesihatan di Malaysia menunjukkan masalah ini sangat kronik. Dalam konteks Malaysia, masalah ini sangat ketara di peringkat nasional yang mana, menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023, sekitar 15.6% atau hampir 1 dalam 6 orang dewasa Malaysia menghidap diabetes dan pengambilan minuman bergula serta makanan tinggi gula terus menyumbang kepada beban penyakit tidak berjangkit seperti obesiti dan kencing manis. Statistik ini menandakan isu gula bukan sahaja ancaman global, tetapi juga realiti kesihatan yang mendesak di Malaysia.

Dapatan daripada Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2024 pula mendapati 63.1% remaja dan 47.0% dewasa melebihi saranan pengambilan gula, lebih separuh daripada mereka mendapatnya melalui minuman bergula. Obesiti pula merekodkan lebih 53.6% dewasa berada dalam kategori berat badan berlebihan atau obes, manakala kadar diabetes tetap tinggi. Data kebangsaan turut menunjukkan peningkatan konsisten dalam prevalens obesiti dan diabetes dalam tempoh dua dekad yang lalu dengan lebih separuh populasi dewasa kini diklasifikasikan sebagai berlebihan berat badan atau obes, manakala kira-kira satu perlima dewasa hidup dengan diabetes atau pra-diabetes. 

Tren yang membimbangkan turut dilihat dalam kalangan remaja dan kanak-kanak yang mana pengambilan minuman bergula menjadi penyumbang utama kepada lebihan kalori harian. Secara global, pengambilan minuman bergula telah meningkat hampir 23% sejak 1990, dengan purata 3.6 hidangan seminggu di kalangan golongan muda dan lebih 238 juta kanak‑kanak serta remaja minum sekurang‑kurangnya 7 hidangan seminggu, antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan obesiti dan risiko penyakit metabolik di kemudian hari. Keadaan ini menandakan peralihan beban penyakit daripada penyakit berjangkit kepada penyakit berkaitan gaya hidup.

 

Implikasi Ekonomi Pengambilan Gula Berlebihan

 

Beban ekonomi akibat pengambilan gula berlebihan adalah signifikan dan bersifat jangka panjang. Penyakit berkaitan gula memerlukan rawatan berterusan, pemantauan klinikal, ubat-ubatan dan pengurusan komplikasi seperti kegagalan buah pinggang, penyakit jantung dan amputasi. Kos rawatan langsung ini memberi tekanan besar kepada perbelanjaan kesihatan awam. Negara yang kadar obesiti dan diabetesnya tinggi juga berhadapan dengan produktiviti tenaga kerja yang merosot dan peningkatan kos insurans kesihatan. Ini memberi beban ekonomi langsung dan tidak langsung yang besar. 

Selain kos rawatan, kesan ekonomi tidak langsung turut ketara melalui kehilangan produktiviti akibat ketidakhadiran kerja, persaraan awal akibat penyakit dan penurunan keupayaan fizikal tenaga kerja. Kajian ekonomi kesihatan antarabangsa menganggarkan bahawa NCD boleh menelan beberapa peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sesebuah negara, terutamanya di negara berpendapatan sederhana yang sedang berdepan peningkatan kos penjagaan kesihatan. 

Di Malaysia, laporan oleh Kementerian Kesihatan dan WHO menunjukkan bahawa kos penjagaan kesihatan bagi penyakit tidak berjangkit utama seperti diabetes, penyakit kardiovaskular dan kanser melebihi RM9.65 bilion setahun dengan diabetes sahaja menyumbang hampir separuh daripada jumlah itu. Hal ini belum mengambil kira kos tidak langsung seperti kehilangan produktiviti yang dianggarkan mencapai RM12.88 bilion, termasuk cuti sakit, ketidakhadiran kerja dan kematian pramatang. Tambahan pula, PERKESO melaporkan perbelanjaan hampir RM421 juta setiap tahun untuk menanggung kes berkaitan gula termasuk rawatan dan sokongan perubatan kepada pekerja yang terjejas. Beban ini menunjukkan bahawa penyakit berkaitan pengambilan gula bukan sahaja merugikan sistem kesihatan tetapi turut memberi impak besar kepada ekonomi negara secara keseluruhan.

 

Cukai Minuman Bergula sebagai Intervensi Dasar

 

Salah satu pendekatan dasar yang paling banyak dikaji dalam konteks “Perang terhadap Gula” ialah pelaksanaan cukai minuman bergula (sugar-sweetened beverage tax). Mexico merupakan antara negara terawal melaksanakan cukai ini dan kajian susulan menunjukkan penurunan ketara dalam pembelian minuman bergula, khususnya dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah. Pada masa yang sama, peningkatan pengambilan air kosong dan minuman tanpa gula turut direkodkan.

Maka, Kerajaan Malaysia telah melancarkan pelbagai strategi melalui Pelan Strategik Mengurangkan Gula (2024–2030) serta kempen #WarOnSugar untuk mengurangkan pengambilan gula. Ini merangkumi pendidikan pemakanan yang meluas terutama kepada golongan muda, penggunaan “Healthier Choice Logo” untuk membantu pengguna memilih produk kurang gula serta larangan atau sekatan minuman bergula dalam majlis rasmi kerajaan dan sekolah.

Selain itu, pengenalan cukai eksais terhadap minuman bergula telah mendorong perubahan tingkah laku pengguna serta reformulasi produk oleh industri makanan dan minuman. Banyak pengeluar mengurangkan kandungan gula bagi mengelakkan kadar cukai lebih tinggi sekali gus menurunkan pendedahan gula dalam populasi. Data menunjukkan setelah cukai dikenakan, kadar pengambilan minuman bergula dalam kalangan remaja menurun dengan ketara dari 36.9% kepada 16.4%, satu penurunan yang dianggap menunjukkan keberkesanan dasar fiskal tersebut. Selain itu, syarikat pengeluar makanan dan minuman telah membentuk semula lebih 240 produk untuk mengurangkan kandungan gula bagi mengelakkan cukai lebih tinggi. Walaupun kesan terhadap prevalens penyakit kronik memerlukan penilaian jangka panjang, bukti awal menunjukkan dasar fiskal ini berpotensi menjadi alat pencegahan yang berkesan dan kos-efektif. Hal ini kerana, cukai tersebut telah meningkatkan kos minuman manis berbanding minuman tanpa gula seterusnya memberi insentif kepada pengguna untuk memilih alternatif lebih sihat.

Selain cukai, kejayaan perang terhadap gula bergantung kepada pendekatan pelbagai sektor. Industri makanan dan minuman memainkan peranan penting melalui reformulasi produk, pelabelan pemakanan yang telus dan pemasaran yang bertanggungjawab, khususnya kepada kanak-kanak. Pada masa yang sama, pendidikan pemakanan yang berterusan dapat meningkatkan literasi kesihatan pengguna, membolehkan mereka membuat pilihan makanan yang lebih sihat. Hakikatnya pendidikan pemakanan yang berterusan dan program advokasi pemakanan sihat menjadi asas untuk meningkatkan literasi kesihatan pengguna supaya mereka dapat membuat pilihan makanan yang lebih sihat secara berinformasi. Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia aktif mengadakan kempen seperti ‘Kurang Gula, Kurang Harga’ dan sambutan Bulan Pemakanan Malaysia yang memberi penekanan kepada pengurangan gula dalam diet harian. Langkah ini penting untuk menangani prevalens obesiti yang kini melebihi 53.6% kalangan dewasa Malaysia serta kadar pengambilan gula berlebihan yang tinggi kalangan remaja dan dewasa

Persekitaran juga mempengaruhi tingkah laku pemakanan. Polisi seperti kawalan penjualan minuman bergula di sekolah, penyediaan akses minuman tanpa gula dan promosi makanan sihat di institusi awam dapat mengurangkan kebergantungan terhadap gula secara struktural, bukan semata-mata bergantung kepada pilihan individu. Kerajaan Malaysia juga telah melarang penjualan minuman berperisa, minuman dibancuh dengan kordial dan minuman berkarbonat di seluruh kawasan sekolah serta menggalakkan sekolah menyediakan sumber air kosong untuk murid, sebagai sebahagian pendekatan kesihatan pemakanan sekolah di bawah Pelan Strategik dan kempen war on sugar. Langkah ini dilihat penting dalam usaha menggalakkan amalan pemakanan sihat di kalangan murid, ibu bapa dan warga sekolah secara keseluruhan.

Secara keseluruhannya, “Perang terhadap Gula” merupakan satu agenda kesihatan awam dan ekonomi yang kritikal. Pengambilan gula berlebihan bukan sahaja meningkatkan risiko penyakit kronik, tetapi turut membebankan sistem kesihatan dan ekonomi negara. Statistik terkini menunjukkan bahawa tanpa tindakan bersepadu, kadar obesiti, diabetes dan penyakit berkaitan akan terus meningkat seterusnya memberikan kesan negatif kepada rakyat dan ekonomi negara. Maka, pendekatan bersepadu yang merangkumi dasar fiskal, pendidikan, reformasi industri dan perubahan persekitaran adalah penting bagi mengurangkan beban ini secara mampan. Hal ini kerana, peningkatan penyakit berkaitan gula berpotensi menjejaskan kesejahteraan rakyat dan daya saing ekonomi negara pada masa hadapan. Antaranya dengan melaksanakan polisi larangan penjualan minuman bergula di sekolah dalam usaha membantu menurunkan kemungkinan murid membeli dan minum minuman manis di sekolah, sekaligus menyokong pilihan lebih sihat seperti air kosong sebagai sebahagian daripada strategi kesihatan awam yang lebih luas untuk memupuk pemakanan sihat sejak usia muda.

Tarikh Input: 12/01/2026 | Kemaskini: 20/01/2026 | alyarahim

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
S, (02:49:29am-02:54:29am, 26 Mar 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]