MELIGAT KEMENJADIAN AGROPRENEUR MUDA | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
» ARTIKEL » MELIGAT KEMENJADIAN AGROPRENEUR MUDA

MELIGAT KEMENJADIAN AGROPRENEUR MUDA

Artikel asal sebelum diterbitkan dalam Bharian.com.my dengan suntingan pada 22 Mac 2023

Oleh Dzuhailmi Dahalan

Isu sekuriti makanan (keterjaminan makanan) terkait dengan output pengeluaran dan kualiti penuaian yang dihasilkan sektor pertanian negara. Jika jumlah permintaan telah melebihi penawaran domestik, kerajaan tidak dapat mengelak daripada mengimport bekalan daripada negara luar. Semua orang sedar bahawa strategi mengimport bekalan dari luar negara bukanlah strategi yang menguntungkan negara. Dalam masa yang sukar, mungkin. Tetapi jangka masa yang panjang, kebergantungan kepada hasil negara luar memberi padah kepada prospek ekonomi negara, lalu ia langsung tidak dapat menyelesaikan isu sekuriti makanan negara.

 

Analogi mudah tentang sekuriti makanan adalah begini. Sebagaimana kita menganggap beras itu penting, maka sepatutnya setiap daripada kita sedar bahawa usaha atas padi di sawah itu jauh lebih penting. Walaupun kita mempunyai stok beras negara yang banyak di gudang, pasaraya, kedai, namun usaha di bendang ditinggalkan, maka pasti satu masa stok yang banyak pun akan habis. Sebelum stok habis lagi, pelbagai masalah timbul. Harga sukar dikawal, berlaku ‘panic buying’ malah aktiviti penyeludupan akan berleluasa.

 

Kerajaan menyedari hakikat ini sejak sekian lama. Pelbagai polisi dibangunkan bagi merangka pelan tindakan yang sewajarnya. Negara misalnya mempunyai Dasar Agromakanan Negara (DAN). Satu polisi sekuriti makanan negara yang sangat baik. Pernyataan Teras 2 dalam DAN 2.0 secara jelas menyatakan tentang kepentingan untuk memperkukuh Pasaran Domestik, Meningkatkan Hasil Keluaran yang Mempunyai Permintaan Tinggi dan Produk Berorientasikan Eksport. Tidaklah penulis berminat untuk memberi tumpuan kepada Teras 2 dasar ini.

 

Penulis terpanggil untuk menyentuh Teras 3 DAN 2.0 iaitu Membangun Bakat yang Memenuhi Permintaan Industri. Syabas kepada pihak Kementerian yang memuatkan teras ini dalam buku dasar. Isu dan cabaran besar berkaitan Teras 3 sepertimana dinyatakan ialah wujud jurang sumber modal insan sektor pertanian berbanding kehendak industri. Ini dikatakan berpunca daripada daya tarikan yang rendah dalam sektor tersebut. Statistik 2016 menunjukkan hanya 4.2% pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) mempertimbangkan kerjaya dalam sektor pertanian.

 

Isu penyertaan golongan muda lepasan IPT dalam sektor pertanian khususnya sebagai agropreneur (usahawan tani) sememangnya terus membelenggu negara. Malah lebih menghairankan, kajian penulis dan rakan-rakan pada awal tahun 2020 (sebelum pandemik Covid-19) melibatkan pelajar IPT negara dalam jurusan pertanian sekalipun, turut tidak berkeyakinan untuk menyertai kerjaya dalam sektor pertanian. Kajian kami mendapati walaupun mereka mempunyai sikap yang positif terhadap kerjaya dalam sektor pertanian, namun ia tidak membawa kepada persepsi kawalan tingkah laku (keyakinan) yang tinggi dalam kalangan mereka.

 

Apa yang berlaku, tawaran program pengajian pertanian di IPT dilihat tidak sunyi daripada sambutan dalam kalangan belia negara, namun mengapa ada sesuatu yang tidak kena? Penglibatan rendah mereka dalam sektor pertanian terus membelenggu negara. Adakah kurikulum pengajian yang mereka ikuti masih tidak memadai untuk meningkatkan keyakinan mereka terhadap kerjaya dalam sektor pertanian?

 

Realitinya, kita semua dapat melihat perkara ini berlaku. Inilah sebabnya baru-baru ini kerajaan telah memberi kelonggaran untuk membawa banyak masuk pekerja asing untuk ditempatkan dalam sektor ini kerana terdapat permintaan yang signifikan. Namun, sekali lagi penempatan warga asing dalam sektor ini tidak boleh dilihat sebagai strategi jangka masa panjang kerana ia tidak menguntungkan jika dilihat dari perspektif pengaliran wang tunai ke luar negara. Oleh sebab itu pengambilan warga asing untuk memenuhi permintaan industri langsung tidak diperincikan dalam mana-mana strategi dalam buku DAN 2.0.

 

Teras 3 iaitu Membangun Bakat yang Memenuhi Permintaan Industri, DAN 2.0 telah memperincikan 4 strategi utama iaitu:  (1) Menjenama Semula Sektor Agromakanan dengan Pertanian Moden dan Pintar untuk Menggalakkan Bakat Muda dalam Sektor Agromakanan; (2) Mewujudkan Sumber Tenaga Kerja Industri yang Optimum melalui Perintegrasian Siswazah ke dalam Persekitaran Pekerjaan yang Sebenar menerusi Tambahan Latihan Amali dan Perantisan; (3) Meningkatkan Pendedahan Generasi Muda kepada Aktiviti Pertanian melalui Pendidikan Bersasar dan Kaedah Lain seperti Pertandingan Inovasi; (4) Membangunkan Model Pengurusan untuk Menambah Baik Produktiviti Buruh.

 

Dalam tempoh DAN, 2011 - 2020, jumlah guna tenaga sektor agromakanan yang menyumbang sebanyak 3.21% kepada jumlah guna tenaga di Malaysia dan 29.5% kepada jumlah guna tenaga pertanian, telah menyusut pada kadar purata 1.0% setahun. Penyusutan ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh penyertaan yang telah berkurang dalam kalangan pesawah padi, penternak akuakultur dan nelayan, kecuali subsektor ternakan yang mencatatkan pertumbuhan positif. Statistik menunjukkan 44% penduduk Malaysia teridiri daripada golongan belia namun hanya 15% sahaja yang terlibat dalam sektor pertanian.

 

Justeru, dalam keadaan negara masih bergantung kepada import makanan, golongan belia negara harus mempunyai kesedaran yang tinggi dan bersedia untuk memikul tanggungjawab ini bersama. Mereka sendiri perlu mengubah persepsi dengan tidak lagi mengganggap pertanian sebagai sektor buruh yang menjana pulangan yang rendah. Pada masa yang sama, pihak kerajaan perlu bersedia memperluaskan skim bantuan yang sesuai mengikut keperluan. Pegawai pengembangan pertanian di setiap daerah perlu memiliki pengkalan data tanah terbiar yang langsung tidak diusahakan. Mereka perlu turun padang, bertemu dengan pemilik tanah. Menghimpunkan mereka serta menggalakkan mereka untuk mengusahakan tanah yang terbiar. Kerajaan melalui agensi yang berkaitan juga seharusnya memiliki data graduan dalam bidang pertanian yang masih menganggur. Golongan ini perlu didekati dengan cara yang berkesan. Bentangkan kepada mereka ‘roadmap’ kerjaya sebagai agropreneur termasuk inisiatif yang boleh disediakan di pihak kerajaan. Karenah birokrasi dalam peraturan juga seharusnya dinilai semula supaya ia tidak dilihat sebagai menghalang penyertaan agroprenuer baru.

Tarikh Input: 23/03/2023 | Kemaskini: 04/04/2023 | nm_aini

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
SXETWAc~