Oleh : Haliza Abdul Rahman
Monsun Timur Laut (MTL) merupakan fenomena cuaca tahunan yang membawa hujan lebat berterusan ke Malaysia terutamanya antara bulan November hingga Mac. Setiap tahun, fenomena ini mendatangkan kesan besar kepada rakyat dan negara termasuk bencana banjir besar, tanah runtuh, kerosakan infrastruktur dan gangguan kepada ekonomi. Tahun 2025 dijangka lebih mencabar berikutan corak cuaca yang semakin tidak menentu akibat perubahan iklim global. Oleh itu, strategi yang mantap, tersusun dan bersifat menyeluruh amat diperlukan bagi memastikan Malaysia lebih bersedia menghadapi impak buruk musim monsun ini.
Dari sudut ramalan cuaca, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan musim Monsun Timur Laut 2025 akan melibatkan antara lima hingga tujuh luruan monsun, dengan beberapa daripadanya membawa hujan berterusan yang berpotensi menyebabkan banjir besar. Taburan hujan dijangka meningkat antara 20 hingga 40 peratus di beberapa kawasan, terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Malah, interaksi luruan monsun dengan sistem cuaca lain seperti tekanan rendah , fenomena air pasang besar dan ramalan berlakunya La Nina boleh menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk. Kesemua ramalan ini memberi gambaran awal bahawa langkah-langkah persediaan tidak boleh ditangguh atau diambil ringan.
Ramalan, Realiti Dan Respon
Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah proaktif dengan mengenal pasti sebanyak 4,619 kawasan hotspot banjir di seluruh negara. Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) turut mengeluarkan Arahan No.1 sebagai panduan tindakan rasmi bagi menghadapi musim monsun. Arahan ini menekankan pendekatan menyeluruh yang melibatkan penyelarasan antara agensi kerajaan, pasukan keselamatan, pihak berkuasa tempatan serta komuniti setempat. Selain itu, pelbagai latihan simulasi banjir dan penyelarasan sumber telah dilaksanakan. Misalnya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan bahawa lebih 24,000 anggotanya bersama 5 helikopter, 3 dron, 293 kenderaan pacuan empat roda dan puluhan aset lain telah bersiap sedia sejak awal musim. Di Sarawak, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBNS) menggerakkan hampir 10,000 sumber manusia dan lebih 700 aset darat, laut dan udara sebagai persediaan.
Namun begitu, cabaran sebenar bukan sekadar logistik atau kehadiran aset, tetapi juga keberkesanan sistem komunikasi dan amaran awal kepada penduduk. Dalam banyak kes, kegagalan menyampaikan maklumat dengan cepat atau tindakan lambat berpindah menyebabkan mangsa terperangkap atau enggan meninggalkan kediaman mereka. Oleh itu, penggunaan teknologi seperti sistem amaran banjir automatik, aplikasi mudah alih seperti MyCuaca, serta kempen kesedaran berterusan sangat penting. Dalam hal ini, kerajaan digesa untuk meluaskan penggunaan siren amaran, papan digital cuaca serta sistem SMS (Sistem Pesanan Ringkas) kecemasan di kawasan berisiko tinggi.
Selain itu aspek geologi juga tidak boleh diabaikan. Justeru, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah mengenal pasti 254 cerun kritikal di seluruh negara, termasuk 119 cerun yang diklasifikasikan pada tahap kritikal tinggi. Risiko tanah runtuh meningkat mendadak apabila hujan berlarutan berlaku di kawasan cerun tidak stabil. Oleh itu, pemantauan cerun, pemasangan sistem amaran tanah runtuh serta kerja-kerja mitigasi awal seperti pembinaan dinding penahan dan saliran air perlu diberi keutamaan. Program komuniti “local champion” yang diperkenalkan oleh JMG juga harus diperluas untuk membolehkan penduduk tempatan bertindak sebagai pemantau awal gejala bencana di kawasan masing-masing.
Di peringkat negeri dan daerah, peranan pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Pejabat Daerah amat penting dalam pelaksanaan strategi lapangan. Pemetaan semula kawasan risiko banjir berdasarkan data terbaru, pemantauan paras sungai, pembaikan dan pembersihan sistem saliran serta pemulihan infrastruktur perlu dilaksanakan secara berkala. Hal ini kerana, MTL yang membawa hujan lebat dan angin kencang berpotensi menyebabkan kerosakan kepada jalan raya, jambatan, struktur pinggir pantai dan sistem pengairan. Pembinaan Rumah Tahan Bencana di kawasan terdedah kepada risiko banjir seperti di Kampung Bukit Goh, Pahang perlu diperluas. Rumah yang dibina dengan bahan yang lebih kuat, dengan ketinggian tertentu dan mempunyai sistem saliran yang baik untuk menampung hujan lebat ini terbukti berjaya mengurangkan kerosakan akibat banjir, dengan hanya 5% rumah yang terjejas berbanding dengan 30% pada tahun 2020.
Di samping itu, pemilihan dan penyediaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang selamat, selesa dan lengkap juga menjadi tanggungjawab penting kerajaan negeri. Kementerian Pendidikan misalnya melaporkan bahawa sebanyak 258 institusi pendidikan telah digunakan sebagai (PPS) pada musim lalu, maka setiap sekolah perlu dilengkapi kemudahan asas seperti tandas, dapur, sistem elektrik serta ruang khas untuk wanita, kanak-kanak dan golongan kurang upaya.
Komuniti dan individu juga memainkan peranan penting dalam strategi menghadapi monsun. Latihan simulasi bencana, pelan evakuasi keluarga, persiapan dokumen penting, simpanan bekalan makanan dan air bersih serta ketersediaan kit kecemasan adalah antara langkah asas yang mesti diambil oleh setiap isi rumah di kawasan berisiko. Kesedaran ini harus disemai melalui kempen pendidikan awam, program sekolah, media sosial dan kerjasama NGO. Dalam banyak insiden banjir, penduduk yang membuat persediaan awal bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawa sendiri, malah membantu jiran dan masyarakat setempat. Misalnya, kempen "Bersedia Menghadapi Banjir" yang dilancar oleh kerajaan negeri Johor bertujuan mendidik penduduk tentang langkah-langkah keselamatan semasa banjir dan cara menggunakan sistem amaran banjir menunjukkan 80% daripada penduduk Johor yang terlibat dalam kempen tersebut lebih bersedia menghadapi bencana dengan lebih daripada 70% yang menerima amaran awal memindahkan diri ke pusat pemindahan sebelum banjir berlaku. Ini menunjukkan bahawa pendidikan dan kesedaran awam dapat membantu mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan harta benda.
Dari segi ekonomi, kerugian akibat bencana tidak hanya melibatkan harta benda tetapi juga pendapatan dan kestabilan hidup. Ramai penduduk luar bandar yang bergantung kepada hasil tani, nelayan dan kerja harian akan kehilangan mata pencarian semasa banjir. Hujan lebat boleh merosakkan tanaman, manakala angin kencang mengganggu operasi bot dan kapal nelayan menyebabkan kerugian ekonomi yang besar. Justeru, kerajaan disaran menyediakan skim bantuan pemulihan ekonomi seperti geran mikro, bantuan tanam semula serta program padanan pekerjaan sementara. Syarikat insurans juga digalakkan memperkenalkan pelan perlindungan khas untuk rumah dan perniagaan kecil di kawasan banjir.
Satu lagi aspek penting ialah kawalan empangan dan pelepasan air terancang. Pengurusan empangan perlu lebih responsif kepada ramalan cuaca dan sistem amaran awal supaya pelepasan air tidak dilakukan secara mengejut. Jika pelepasan berlaku semasa hujan lebat atau ketika air pasang besar, impaknya boleh menjadi sangat dahsyat. Oleh itu, kerjasama antara pengendali empangan, MetMalaysia dan JPS perlu lebih erat.
Bagi memastikan keberkesanan semua strategi ini, pemantauan, audit dan penilaian tahunan amat penting. Projek tebatan banjir yang telah siap mesti dinilai dari segi impaknya, manakala projek yang terbengkalai perlu diberi perhatian khas. Pihak berkuasa juga harus memantau tahap keberkesanan komunikasi dan bantuan kepada mangsa, serta melakukan post-mortem terhadap setiap kejadian besar. Komuniti yang berjaya mengurus bencana dengan baik wajar diberikan pengiktirafan dan dijadikan contoh amalan terbaik.
Hakikatnya, MTL bukanlah fenomena baru tetapi kesan dan skalanya semakin kompleks dalam konteks perubahan iklim global hari ini. Banjir bukan lagi hanya masalah fizikal tetapi turut melibatkan aspek sosial, ekonomi, kesihatan dan kesejahteraan rakyat. Oleh itu, strategi yang mantap menghadapi MTL 2025 memerlukan pendekatan menyeluruh yang melibatkan semua pihak merangkumi kerajaan, agensi pelaksana, swasta, NGO dan rakyat. Setiap tindakan pencegahan hari ini mampu menyelamatkan banyak nyawa dan mengurangkan kerugian di masa depan. Malaysia mesti melangkah ke hadapan dengan ilmu, teknologi dan semangat kerjasama tinggi demi memastikan musim monsun bukan lagi mimpi ngeri kepada rakyat, tetapi satu ujian yang mampu dihadapi dengan tenang dan bersedia.
Tarikh Input: 25/11/2025 | Kemaskini: 20/01/2026 | nm_aini
