MENILAI DAN MENAFSIR SEMULA INTERAKSI KITA DENGAN ALAM | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
» ARTIKEL » MENILAI DAN MENAFSIR SEMULA INTERAKSI KITA DENGAN ALAM

MENILAI DAN MENAFSIR SEMULA INTERAKSI KITA DENGAN ALAM

Oleh: Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman 

 

Tanggal 21 Oktober 2024 merupakan sambutan Hari Alam Sekitar Negara dengan tema “Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama”. Hari Alam Sekitar Negara merupakan satu penjenamaan semula yang telah dibuat oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pada tahun 2015 daripada penganjuran Hari Alam Sekitar Malaysia atau Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM) pada tahun-tahun sebelumnya. Sambutan MASM merupakan satu acara tahunan yang telah dianjurkan susulan termaktubnya Deklarasi Langkawi Mengenai Alam Sekitar pada Oktober 1989. Semenjak tahun 1991, Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar ketika itu menerusi Jabatan Alam Sekitar telah merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti sebagai usaha berterusan Kerajaan untuk menerap dan meningkatkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan masyarakat Malaysia. MASM disambut pada setiap tahun dari 21 hingga 27 Oktober bersempena Hari Alam Sekitar Malaysia yang jatuh pada 21 Oktober.

 

Alam sekitar fizikal dan pelbagai bentuk hidupan termasuk manusia secara fitrahnya wujud dalam keadaan yang harmoni dan seimbang, saling berinteraksi dan saling tidak memusnahkan. Sebagai sebuah ekosistem, alam sekitar sejak mula diciptakan adalah suatu bentuk kejadian yang cukup kompleks tetapi tersusun rapi dengan pelbagai subsistem yang setiap satunya berfungsi mengekalkan fungsi yang lainnya. Hakikatnya, manusia dan alam sekitar saling memerlukan antara satu sama lain untuk kehidupan seharian. Kewujudan alam sekitar dalam bentuk ekosistem yang seimbang adalah teras kepada kemakmuran sejagat. Lantaran itu, ekosistem yang terpelihara daripada kerakusan manusia akan membantu menjamin kelestarian sumber alam sekitar seperti udara dan air bersih yang merupakan keperluan utama manusia.

 

Bagi menjamin kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat, pengurusan alam sekitar secara lestari sangat penting dipraktikkan dalam memastikan pelbagai kegunaan alam yang memberi manfaat kepada ekologi, ekonomi, alam sekitar, sosial dan nilai budaya untuk generasi kini dan akan datang dipertahankan. Cara yang paling mudah untuk melindungi alam sekitar adalah dengan mengubah gaya hidup kita ke arah yang positif dalam interaksi dengan alam, antaranya semudah mengurangkan kadar kebergantungan kita terhadap plastik dan polistrena.

 

Paling utama kita perlu menilai, mendefinisi dan menterjemah semula bentuk interaksi dan hubungan antara kita sebagai manusia dengan alam sekitar. Hal ini kerana, kebanyakan aktiviti pembangunan yang dilakukan hanya bertumpu kepada kemajuan ekonomi sehingga mengabaikan kepentingan alam sekitar yang akhirnya menyebabkan berlaku impak negatif terhadap ekosistem. Pemodenan menyebabkan manusia bersikap kurang prihatin dan bertanggungjawab dalam memelihara alam sekitar dan ia dapat dikaitkan dengan kualiti hidup manusia. Para sarjana seperti Grossman dan Krueger (1995), Smulders (2000) serta Bartolini dan Banotti (2002) berhujah bahawa, pertumbuhan ekonomi berkait rapat dengan kemusnahan alam sekitar. Ini kerana, pertumbuhan ekonomi sesebuah negara perlu mengeksploitasi sumber alam atau menggunakan tenaga fosil untuk menggerakkan ekonomi moden sama ada industri pembuatan atau perkhidmatan bandar sehingga menjejaskan kualiti alam sekitar, terutama kualiti udara dan air.

 

Ternyata, motif keuntungan maksima menjadi asas dalam membuat keputusan. Apatah lagi, ilmu pengetahuan sains dan teknologi yang menghasilkan inovasi disanjung, dipacu dan dikembangkan dengan pesat. Daya saing dan persaingan pula menjadi strategi bagi mencapai matlamat keuntungan maksimum. Sumber alam dimajukan sepenuhnya, yang mana output dan hasilnya adalah nilai eksport yang tinggi dan kadar pertumbuhan ekonomi yang pesat diikuti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pendapatan isi rumah yang tinggi yang dalam usaha mempercepatkan pencapaian matlamat menjadi negara maju. Outcomenya adalah kehidupan yang selesa yang bebas daripada pelbagai belenggu peraturan. Natijahnya, budaya yang meletakkan keuntungan dan keselesaan hidup sebagai motif utama ekonomi ini telah menjadikan sumber alam (asli) seperti tanah, hutan dan mineral sebagai teras untuk menjayakan misi dan matlamat para pelabur, menyebabkan alam sekitar negara masih terancam dan diancam.

 

Persekitaran fizikal yang terdiri daripada komponen litosfera, hidrosfera dan atmosfera sebenarnya sangat rapuh. Begitu juga komponen biosfera dalam mana organisma khususnya flora dan fauna adalah elemen utamanya. Maka, ancaman pencemaran terhadap alam sekitar yang menyumbang kepada  kemerosotan alam sekitar dapat dilihat secara fizikal dan sosial. Sumber yang boleh diperbaharui seperti udara dan air mengalami degradasi yang menuju kemusnahan. Sumber kepelbagaian biologi pula semakin lenyap akibat kemerosotan spesies yang semakin tidak dapat dibendung. Hakikatnya, pembangunan dalam konteks tamadun manusia berlaku dalam masa yang panjang menggunakan ‘ruang’ sumber asli yang didapati daripada persekitaran fizikal dan sumber manusia daripada persekitaran sosial telah menurunkan kualiti dan memudaratkan persekitaran.

 

Terbukti, penggunaan sumber alam dan sumber manusia yang berterusan tidak hanya menyebabkan kehabisan sumber asli, tetapi juga kemusnahan alam sekitar dan penyempitan potensi ruang untuk terus maju pada masa hadapan. Semua bentuk ketidakseimbangan yang menjurus kepada keterancaman alam sekitar dan spesies manusia adalah berpunca kepada perubahan budaya dan cara hidup manusia sendiri. Tuntasnya, pembangunan ekonomi negara telah banyak mengancam status alam sekitar dalam bentuk kehabisan sumber mineral, kepupusan spesies flora dan fauna, kemusnahan tanah pertanian, kemerosotan kualiti sumber udara dan air. Faktor yang menyumbang kepada perkara ini, antara lain adalah kekurangan data, pengetahuan dan kesedaran berkaitan persekitaran; kelemahan dan limitasi perundangan; kekurangan kehendak dan tadbir urus institusi; kelemahan kapasiti dalam rantaian penguatkuasaan; wujud kekangan dalam kerjasama nasional dan antarabangsa daripada segi pertukaran maklumat antara pihak berkuasa dan limitasi penglibatan antara pihak kerajaan, swasta dan komuniti tempatan.

 

Kini, setelah wujud kesedaran semakin meluas dalam isu berkaitan persekitaran, terutamanya akibat kebimbangan berlakunya fenomena perubahan suhu dan iklim dunia, pelbagai usaha dilakukan untuk memulihara persekitaran dan sumber alam yang masih ada. Konsep pembangunan lestari yang mengandungi banyak nilai universal umumnya telah diterima oleh semua pihak, walaupun penerapannya kurang disenangi oleh golongan yang mementingkan keuntungan semata-mata kerana konsep tersebut meningkatkan kos dan melambatkan proses pengeluaran. Ini kerana pengusaha terpaksa membayar pelbagai kos tambahan dan melepasi pelbagai tapisan pengeluaran. Justeru amatlah signifikan jika agenda pembangunan lestari disepadukan dengan amalan memakmurkan alam.

 

Dapat dirumuskan, alam sekitar yang tidak tercemar memberikan suasana yang selesa dan menyamankan. Maka, dalam melahirkan generasi yang mampu membudayakan alam sekitar dalam kehidupan seharian dan seterusnya menyokong program Matlamat Pembangunan Berterusan (SDG), elemen pendidikan telah dijadikan metod utama. Pendidikan berbentuk formal dan informal adalah sangat diperlukan dalam membekal pengetahuan asas berkaitan alam sekitar selain memberikan kesedaran dan meningkatkan keprihatinan masyarakat terhadap perubahan alam sekitar dan faktor yang mempengaruhinya. Pengetahuan asas yang ada tersebut dapat dijadikan panduan dalam bertindak khususnya melibatkan kesejahteraan alam sekitar. Oleh itu, pendedahan awal terhadap pendidikan alam sekitar sangat perlu untuk diterapkan. Hal ini kerana, peningkatan kefahaman dan kesedaran merupakan elemen yang penting dalam pembinaan karakter yang membudayakan alam sekitar menuju pembangunan lestari. Keadaan ini hanya akan dicapai apabila setiap individu masyarakat mempunyai kefahaman dan kesedaran alam sekitar yang baik. Selain itu, adalah menjadi harapan agar proses pengawalan dan pemantauan oleh agensi berkaitan terutama, Jabatan Alam Sekitar menggunakan pelbagai pendekatan perundangan dan bukan perundangan seperti Dasar Alam Sekitar Negara, Dasar Teknologi Hijau Negara dan Dasar Perubahan Iklim Negara mampu memberi kesan yang positif kepada kualiti alam sekitar, khususnya udara dan air sungai di negara ini.

Tarikh Input: 23/10/2024 | Kemaskini: 20/01/2026 | nm_aini

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
F, (07:37:07am-07:42:07am, 26 Mar 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]