Penangan Gelombang Haba | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
» ARTIKEL » Penangan Gelombang Haba

Penangan Gelombang Haba

Suhu bumi direkodkan bertambah panas pada kadar 1.1 darjah Celsius (°C) sejak zaman pra-industri, dengan tahun 2011-2020 adalah dekad paling panas dicatatkan. Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pada abad ini, bumi berkemungkinan besar akan mengalami peningkatan suhu sekitar 2.7°C. Terkini, gelombang haba telah memecahkan rekod yang dikaitkan dengan perubahan iklim hingga menjadikan cuaca ekstrem melebihi kebiasaan.

Gelombang haba adalah satu tempoh suhu tinggi luar biasa yang melebihi suhu maksimum purata harian dengan keadaan cuaca yang panas. Di Malaysia, gelombang haba ditakrifkan apabila suhu maksimum harian melebihi 37°C  untuk 3 hari berturut-turut. Gelombang haba menjadi lebih kerap disebabkan perubahan iklim, yang mana apabila suhu global meningkat dari semasa ke semasa, fenomenon ini dijangka menjadi lebih teruk.

Saintis iklim melihat semakin banyak gelombang haba memecahkan rekod, menyebabkan suhu melampau menjadi lebih cepat daripada kebanyakan ramalan model iklim, sepertimana yang berlaku di Eropah kini. Model janaan komputer menganggarkan bahawa, pelepasan gas rumah hijau meningkatkan suhu dalam gelombang haba pada bulan Julai sebanyak 2°C, tetapi pada keadaan semasa, gelombang haba adalah 4°C lebih panas. Di Britain, gelombang haba yang berpunca daripada perubahan iklim dijangka meningkat sekurang-kurangnya 10 kali lebih tinggi yang mana 34 lokasi di Britain mencatat rekod tertinggi pada 20 Julai, dengan timur England merekodkan suhu tinggi sepanjang masa iaitu 40.3°C.

Sejumlah 68 bandar di China turut mengeluarkan amaran merah dengan ramalan suhu melebihi 40°C menyebabkan bumbung bangunan mencair dan jalan raya menggelembung memaksa penduduknya berteduh di tempat perlindungan bawah tanah dilengkapi WiFi, buku, mesin air dan juga ketuhar gelombang mikro. Shanghai merekodkan suhu 40.9°C, tertinggi sejak tahun 1873 sehingga memaksa kakitangan taman hidupan liar Shanghai menggunakan lapan tan ais sehari hanya untuk memastikan haiwan di situ kekal sejuk.

Fenomena ini sangat membimbangkan, kerana, jika pelepasan karbon tidak dikurangkan dengan cepat, fenomena ini boleh menjadi lebih buruk daripada yang dijangkakan. Antaranya, serangan haba berpanjangan boleh mengakibatkan lebih banyak kes hospital, kehilangan produktiviti mendadak dalam pembinaan dan mengurangkan hasil pertanian serta kerosakan langsung kepada infrastrukturnya. Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menyatakan, suhu berterusan sekitar 33-34°C boleh mengakibatkan purata pekerja kehilangan 50 peratus daripada kapasiti kerja. Dianggarkan menjelang 2030, gelombang haba boleh mengurangkan jumlah jam bekerja di seluruh dunia sebanyak lebih dua peratus, bersamaan 80 juta pekerjaan sepenuh masa, dengan kos 2.4 trilion dolar (RM10.56 trilion).

Malah, jika gelombang haba muncul sewaktu musim kemarau, episod kebakaran hutan boleh berlaku pada skala besar berpunca daripada tumbuhan dan tanah yang mengering. Kebakaran hutan telah dilaporkan di beberapa negara Eropah termasuk Sepanyol dan Croatia hingga membakar rumah dan mengancam mata pencarian kerana sebahagian besar Eropah berdepan cuaca panas melampau hingga mencecah 400C. Kebakaran di beberapa bahagian Perancis, Sepanyol dan Portugal telah memusnahkan lebih banyak hutan tahun ini berbanding 2021, iaitu 517,881 hektar atau setara dengan keluasan Negara Trinidad dan Tobago.

Haba panas yang ekstrem turut menjejaskan kesihatan manusia dengan cepat terutama kepada golongan berisiko tinggi iaitu kanak-kanak, warga emas dan mereka yang menghidapi penyakit. Gelombang panas yang melampau boleh menyebabkan tekanan darah lebih rendah dan apabila digabungkan dengan keadaan berpeluh, boleh menyebabkan keletihan haba dehidrasi, kekejangan panas dan strok haba yang memburuknya keadaan perubatan yang sedia ada. Pertubuhan Meteorologi Dunia memaklumkan suhu sangat tinggi menyebabkan hampir 10 peratus daripada dua juta kematian berpunca daripada cuaca ekstrem sejak 1970 hingga 2019 dengan sejumlah 185,000 kematian dicatat terutama antara 2010 hingga 2019.

Camilo Mora, profesor di Universiti Hawaii menyatakan, hampir separuh penduduk global akan terdedah kepada "panas maut" 20 hari atau lebih setiap tahun menjelang 2100, walaupun pemanasan global dihadkan di bawah 2°C, sasaran asas Perjanjian Paris. Planet kita berdepan darurat iklim. Natijahnya fenomena gelombang haba yang berlaku menuntut semua pihak bertindak dan menunjukkan iltizam dalam melaksanakan Perjanjian Paris untuk menangani perubahan iklim.

Tarikh Input: 02/09/2022 | Kemaskini: 02/09/2022 | nooryati

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
SXEXTAW~