PENGAJARAN DARIPADA KRISIS AIR! | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
» ARTIKEL » PENGAJARAN DARIPADA KRISIS AIR!

PENGAJARAN DARIPADA KRISIS AIR!

Artikel asal sebelum diterbitkan dalam Berita Harian dengan suntingan pada 9 September 2020

Oleh Haliza Abdul Rahman

Water Is The Driving Force of All Nature” – Leornardo da Vinci

Tanpa makanan manusia masih dapat meneruskan kehidupan, sebaliknya tanpa kehadiran air untuk selama tiga hari sahaja, manusia akan mati! Sejarah juga telah membuktikan bahawa tamadun manusia banyak bergantung pada pembekalan air untuk terus hidup dan berkembang maju. Ini membuktikan air memainkan peranan penting dalam kehidupan harian manusia kerana air adalah komponen utama dalam kehidupan manusia dan menyokong kepada sistem kehidupan global. Hal ini kerana air ialah sumber penting untuk minuman, sistem kebersihan, pertanian, industri, pembangunan bandar, kuasa hidro, perikanan, pengangkutan dan pelbagai kegiatan lain. Lazimnya, seluruh masyarakat mahukan air yang bersih dan terjaga kualitinya daripada pelbagai aspek khususnya untuk minuman, penjagaan kebersihan diri dan rekreasi, hatta industri mahupun perniagaan khususnya yang melibatkan makanan dan minuman juga perlukan air yang bersih untuk terus beroperasi.

 Namun, pengurusan sungai yang ‘tidak cekap’ dan lestari boleh mengundang kepada wujudnya krisis air. Pencemaran sungai di negara ini berlaku diakibatkan oleh sisa  buangan daripada isi rumah, aktiviti pertanian dan ladang ternakan, efluen dari sektor pembuatan dan industri, hakisan tanah dan sisa logam dari kilang. Beberapa episod catuan air akibat pencemaran sungai menjadi pengajaran kepada masyarakat di negara ini supaya tidak terus menerus mencemari sumber alam sekitar yang amat berharga ini!

Terbaru kita dihangatkan dengan isu terputusnya bekalan air kepada 5 juta penduduk di Lembah Klang akibat penutupan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1,2,3,4 dan Rantau Panjang yang dicemari oleh bahan kimia. Pencemaran menyebabkan syarikat pengurusan bekalan air berdepan masalah kerana perlu memberhentikan operasi loji apabila bekalan air mentah dicemari bahan tidak dapat dibersihkan menerusi pemprosesan sebelum air bersih dapat diagihkan kembali kepada pengguna. Situasi itulah yang sering dialami syarikat utiliti air di Lembah Klang, setiap kali sumber air mentah yang mahu diproses secara tiba-tiba dikesan tercemar sehingga memerlukan langkah pembersihan dan penyelenggaraan loji. Setiap kali berlaku masalah membabitkan penutupan loji, ia mengambil masa sekurang-kurangnya empat hari untuk beroperasi semula memandangkan paip kosong dan memerlukan masa untuk memulihkan bekalan.

 Untuk catatan, pada tahun 2020 sahaja, telah tiga kali berlaku gangguan bekalan air tidak berjadual iaitu pada 17 April, 17 Mac dan terkini 3 September susulan pencemaran bau di Sungai Selangor, satu episod yang tiada kesudahannya dan sewajarnya tidak berulang dalam waktu negara menerima jumlah hujan yang tinggi! Krisis air yang berlaku merupakan bukti jelas betapa pengurusan sungai dan seterusnya bekalan air amat penting dan kritikal diuruskan dengan lestari.

 

STATUS SUNGAI NEGARA, KITA PERLU BIMBANG!

Akibat pembangunan yang begitu pesat di Malaysia selaras dengan perkembangan ekonomi yang mantap, sungai dikhuatiri menjadi mangsa pembangunan. Natijahnya, manusia sering mengabaikan masalah pencemaran sungai yang timbul akibat perlaksanaan aktiviti ekonomi dan projek pembangunan yang tidak lestari. Tidak dapat dinafikan aktiviti pembangunan bertambah pesat dengan peredaran masa, selaras dengan itu penjanaan air sisa turut bertambah. Inilah antara sebab tahun demi tahun, kualiti air sungai negara terus merosot. Malah, pencemaran sumber air masih terus dilaporkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung yang mana berdasarkan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, 160 tindakan penguatkuasaan diambil akibat pencemaran sungai antara 18 Mac hingga 4 Mei lalu.

Ini menunjukkan bahawa kesan negatif akibat akibat ekonomi yang terburu-buru, tidak terancang dan kadang kala beroperasi menyalahi undang-undang semakin mendesak dan hal ini mengakibatkan kesan pencemaran yang serius terhadap sumber bekalan air mentah utama negara iaitu sungai sehingga menjejaskan bekalan air mentah kepada masyarakat. Akibatnya kesihatan masyarakat, sumber ekonomi dan kemandirian alam sekitar kian tergugat.

Menurut pakar hidrologi dan permodelan sungai dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman, akibat pembangunan pesat kebanyakan sungai di bandar kehilangan keupayaan ekosistem untuk membekalkan air bersih, memproses kumbah dan mengekalkan produktivitinya. Malahan lebih 80 peratus sungai di bandar-bandar utama di negara ini boleh dianggap sungai 'mati' akibat pencemaran terutamanya sisa industri yang semakin meningkat setiap tahun. Pada tahun 2010, kajian JAS menunjukkan sekurang-kurangnya 45 batang sungai termasuk pecahan daripada tujuh (7) lembangan sungai di seluruh negara dikategorikan sebagai tercemar teruk, iaitu tahap 3, 4 dan 5. Yang lebih membimbangkan adalah, sungai yang mengalami masalah ini terletak dalam lingkungan negeri yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti Selangor, Johor dan Pulau Pinang.Pada tahun 2019 pula, terdapat 63 sungai dikategorikan tercemar berbanding tahun sebelumnya iaitu sekitar 52 sungai pada tahun 2017 dan sekitar 38 sungai pada tahun 2016. Pada tahun 2015 sahaja, pencerobohan di kawasan punca sumber air khususnya sungai menyebabkan 54 daripada 577 sungai yang diawasi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diklasifikasikan sebagai tercemar dan tidak boleh digunakan sebagai sumber air minuman. Sungai ini tercemar dengan kandungan kimia dan biologi yang disebabkan pembuangan sisa pertanian, industri dan kediaman.

Lebih merisaukan, trend kualiti air sungai di negara ini mengikut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenai status pencemaran 120 lembangan sungai utama di Malaysia daripada tahun 2005 hingga 2018 agak membimbangkan kerana sungai yang dikategorikan sebagai tercemar tidak banyak berubah semenjak tahun 2005. Tambahan pula, pencemaran sumber air negara semakin serius dengan tahap kekeruhan melebihi 1,000 Nephelometric Turbidity Unit (NTU), disebabkan pelbagai faktor sejak 10 tahun lalu. Seharusnya semua perkembangan ini ‘membimbangkan’ kita sebagai manusia yang waras!

 SUNGAI SEBAGAI PUNCA BEKALAN AIR PERLU DIURUS DENGAN LESTARI

Berdasarkan laporan Forum Ekonomi Dunia 2020, krisis air, termasuk pencemaran sumber pengairan disenaraikan sebagai permasalahan utama global, diikuti jangkitan wabak penyakit dan krisis makanan. Justeru, memandangkan sumber air bersih bergantung kepada air permukaan, maka pemantauan kualiti air sungai dan sebab yang berpotensi menyebabkan pencemaran air sangat penting.

Penguatkuasaan undang-undang yang lemah membabitkan pelbagai agensi kerajaan yang bertanggungjawab terhadap kebersihan sungai, alam sekitar dan pembersihan serta pelupusan sampah, menyebabkan perbuatan tidak bertanggungjawab mencemari sungai terus berlaku. Maka, peraturan ketat seperti pemantauan buangan sisa industri dan sampah haram atau tidak mengikut peraturan mesti dilaksanakan, selain itu peraturan zon penampan juga harus diperkenalkan bagi semua sungai dari hulu ke hilir. Ramai bersetuju akta sedia ada seperti kurang ‘taring’ untuk mengekang pencemaran sumber air negara, justeru, hukuman lebih tegas dan berat perlu diambil ke atas pelaku. Ini bermakna, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) harus ditambah baik dan sebarang lompang dan kelemahan yang ada wajib ditampal, agar ruang penjenayah alam sekitar ini beroperasi dapat ditutup terus.

Paling penting, cadangan Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) agar diwujudkan subseksyen baharu di bawah akta itu untuk mewajibkan pembayaran ganti rugi setimpal kepada pengguna terjejas oleh pelaku, harus dipertimbang. Selain itu, JAS harus mewujudkan satu sistem komprehensif yang antaranya menyenaraikan pembeli bahan kimia bagi memudahkan rujukan apabila berlaku pencemaran sungai juga perlu disegerakan.Selain itu, PBT perlu melihat pelan pembangunan di kawasan masing-masing,sebelum meluluskan sebarang projek atau kegiatan bagi mengelakkan sumber air tercemar hingga menjejaskan pengguna. Pada masa sama, pihak berkuasa juga perlu memeriksa status kilang di seluruh negara dengan menutup premis haram dan mengenal pasti sungai yang kritikal daripada segi pencemaran.

Masyarakat Malaysia juga jangan terlalu yakin bahawa bekalan air bersih yang dinikmati sekarang tidak akan terjejas dan masih mencukupi untuk kegunaan kini dan masa hadapan. Beberapa episod krisis air yang melanda juga seharusnya berupaya memberi kesedaran dan pengajaran berguna kepada masyarakat agar lebih menghargai air. Masyarakat Malaysia sememangnya terkenal ‘suka’ membazirkan air yang mana setiap individu di negara ini menggunakan 220 liter air setahun berbanding 160 liter seperti saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) disebab air begitu mudah didapati. Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Alam Sekitar (UNEP), jika manusia menggunakan air dengan kadar yang diamalkan sekarang, dua daripada tiga orang penduduk dunia akan hidup dalam keadaan sukar menikmati bekalan air menjelang tahun 2025. Laporan UNEP turut menyatakan bahawa pembekalan air merupakan satu masalah serius di negara-negara Asia termasuk Malaysia. Sejajar dengan itu masyarakat harus lebih menghargai air, lantaran sikap suka membazirkan air perlu dibendung dengan segera jika masyarakat di negara ini tidak mahu menghadapi krisis air yang lebih teruk. Jika isu pencemaran sungai terus berlaku, ia dikhuatiri akan meningkatkan kos rawatan air sungai, sekali gus akan mendorong kenaikan tarif air dan kos sara hidup rakyat yang sedia tertekan akibat penangan wabak COVIC-19.

Menurut Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo, sungai sebagai satu sistem tabii yang penting untuk kehidupan perlu difahami oleh semua pihak. Ini kerana, pencemaran sungai dan kerosakan fungsi sungai di negara ini sudah sampai tahap kritikal. Jika tidak dibendung dan diurus secara bersepadu, negara bakal berhadapan dengan darurat kemusnahan sungai.Akibatnya kita akan kehilangan sumber bekalan air bersih, bencana banjir dan kemarau bertambah kerap serta kehilangan sumber kehidupan penting seperti tanah yang subur dan sumber keselamatan makanan.Pengajaran demi pengajaran, sama ada isu pencemaran, bencana banjir dan gangguan bekalan air sepatutnya sudah mengajar kita bagaimana cara terbaik mengurus sistem sungai. Sememangnya Malaysia memerlukan perubahan set minda untuk mengurus sungai!

Rumusannya, Malaysia sangat bergantung kepada sungai untuk sumber air mentah dengan lebih 90 peratus bekalan air di Malaysia berpunca dari sungai. Oleh itu, masalah pencemaran air perlu sentiasa dititikberatkan dan undang-undang lebih ketat perlu dilaksanakan dengan menumpukan kepada industri yang memberi impak besar ke atas sumber air negara. Pendekatan pengurusan sungai semasa nampaknya kurang berkesan, justeru sebuah badan khas perlu diwujudkan bagi memantau dan mengawal selia secara bersepadu semua agensi serta jabatan kerajaan terbabit dalam penguatkuasaan dan kawalan sumber bekalan air negara bagi menyelaras dan memantau tugas setiap agensi serta jabatan terbabit jika berlaku pencemaran sumber air negara seperti dalam kes Sungai Kim Kim di Pasir Gudang sebelum ini. Sudah tiba masanya untuk pembuat dasar hinggalah kepada pelaksana dasar untuk  mencari jalan terbaik untuk hala tuju pembangunan lestari sungai  di negara ini! Malah, masyarakat sebagai salah satu komponen penting dalam mencapai pembangunan lestari bersama dengan kerajaan dan badan bukan kerajaan harus bersama-sama berkongsi tanggungjawab, merancang, mengurus, melaksanakan dan memantau kualiti sungai selaras dengan Prinsip 22 dalam Local Agenda 21 (LA21) agar kualiti sungai negara seterusnya bekalan air minuman dapat dilestarikan.

 

Prof. Madya Dr Haliza Abdul Rahman
Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia
Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia/
Pensyarah Kanan
Jabatan Kesihatan Persekitaran & Pekerjaan
Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan
Universiti Putra Malaysia
dr.haliza@upm.edu.my

 

 

Tarikh Input: 11/09/2020 | Kemaskini: 11/09/2020 | nm_aini

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
SXETHAb~