Kitar Semula: Usaha PBT Selangor Wajar Dipuji | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
» BERITA » Kitar Semula: Usaha PBT Selangor Wajar Dipuji

Kitar Semula: Usaha PBT Selangor Wajar Dipuji

SERDANG: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor menyumbang dalam usaha memberi kesedaran berkaitan kitar semula kepada masyarakat.

Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman berkata, ia susulan Selangor mencapai 45 peratus usaha-usaha kitar semula di negeri itu.

“Pada tahun 2015 kerajaan Selangor telah melaksanakan projek perintis kitar semula di empat buah PBT iaitu di Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Kajang (MPK), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS). MBPJ dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah dipilih untuk menjadi perintis merangka pelan tindakan kitar semula berskala kecil.

“Kalau kita ambil contoh, MBSA telah ada sasaran atau pun objektif yang mana pada tahun 2015 semasa program ini dilancarkan, MBSA telah melibatkan lebih kurang 1,869 rumah teres untuk menjalankan kitar semula dan ia telah meningkat pada tahun 2016 kepada 3500 rumah teres,” katanya kepada Sumberkini pada Khamis.

Katanya lagi, MBSA juga pada tahun 2017 memperluaskan pelaksanaan kitar semula dari kawasan rumah teres kepada rumah bertingkat yang merangkumi pangsapuri, kondominium dan sebagainya.

“Lebih kurang 130 buah pangsapuri kos rendah di Shah Alam terlibat sama.

“Maksudnya, dalam masa setahun mereka berjaya meluaskan kaedah kitar semula dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan kerajaan negeri Selangor harus dipuji dari segi usaha-usaha yang dijalankan bagi meningkatkan tahap kesedaran rakyat untuk menjalankan kitar semula.

Dalam pada itu, Prof Haliza menyatakan bahawa Parlimen telah meluluskan Akta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) sebagai salah satu cara untuk meningkatkan peratusan ataupun tahap kitar semula dalam kalangan masyarakat Malaysia.

“Bagaimanapun, Selangor tidak mengguna pakai akta tersebut dan masih menggunakan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) iaitu kerajaan tempatan menguruskan perkara yang berkaitan dengan sisa pepejal termasuk kitar semula.

“Walaupun Selangor tidak mengguna pakai Akta 672, tetapi mempunyai perancangan yang strategik dalam menunjukkan usaha-usaha kitar semula yang sangat baik dengan peningkatan dari segi lokasi, peratusan dan sebagainya,” ujarnya.

Prof Haliza turut menyatakan harapan agar masyarakat Selangor terus mempraktikkan kitar semula bagi menjadi negeri contoh kepada negeri lain, dari segi kejayaan usaha kempen di negeri itu.

 

Berita ini juga boleh dibaca di :

https://sumberkini.my/usaha-pbt-selangor-sumbang-kejayaan-kesedaran-kitar-semula/

 

Tarikh Input: 08/04/2022 | Kemaskini: 08/04/2022 | nooryati

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
SXESKA6~