Ruang Bangsa Dalam Borang Rasmi Kerajaan/Swasta | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
» ARTIKEL » Ruang Bangsa dalam Borang Rasmi Kerajaan/Swasta

Ruang Bangsa dalam Borang Rasmi Kerajaan/Swasta

Ketika merasmikan Majlis Pelancaran Dialog Perpaduan pada 22 Februari 2014, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup dalam teks ucapannya menyatakan:

“Bilakah setiap warga kita akan melihat diri mereka sebagai anak Malaysia dan bukan berasaskan bangsa, hanya melihat saya sebagai Joseph Kurup dan bukan sebagai seorang Kadazan Dusun tetapi sebagai anak Malaysia. Selepas 50 tahun penubuhan Malaysia, sedihnya kita masih dipisahkan dengan identiti kaum dan agama. Mungkin sudah tiba masa untuk menghapuskan keperluan menamakan bangsa kita dalam sebarang borang dalam negara ini. Ini mungkin suatu permulaan.” (Jabatan Perpaduan Negara & Intergrasi Nasional, 2014)

Dalam petikan teks ucapannya, beliau tidak dilihat menggesa agar Ahli Majlis Konsultansi Perpaduan Negara menerima cadangan agar ruang bangsa dimansuhkan dari sebarang bentuk borang, sebaliknya menyerahkan kepada kebijaksanaan mereka untuk memikirkan cadangan ini. Ucapan beliau kemudiannya telah menimbulkan pelbagai reaksi dari pelbagai pihak. Walaupun terdapat segelintir pihak cenderung untuk bersetuju dengan saranan ini (Tan Sri Lee Lam Thye, 2014), namun hal ini telah mendapat bantahan dalam kalangan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang berpaksikan Melayu-Bumiputera serta segelintir pemimpin politik.

Untuk itu, satu action research telah dijalankan oleh IPSAS dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara & Intergrasi Nasional (JPNIN). Data kajian hanya mewakili pandangan masyarakat di Semenanjung Malaysia sahaja merentas bangsa dan generasi. Kajian menunjukkan majoriti masyarakat di Semenanjung Malaysia tidak bersetuju dengan cadangan untuk memansuhkan ruang bangsa dalam borang rasmi kerajaan dan swasta. Masyakarat Cina dan India cenderung untuk bersetuju supaya ruang bangsa ditiadakan dari borang rasmi kerajaan dan swasta, berbeza dengan masyarakat Melayu dan Bumiputera Sabah/Sarawak yang menetap di Semenanjung.

Pandangan masyarakat merentas generasi pula menunjukkan hanya Gen Z didapati cenderung untuk bersetuju. Hal ini begitu kontradik dari sudut pandang The Baby Boomers, Gen X dan Gen Y. Berasaskan penemuan kajian, pemansuhan ruang bangsa dari borang rasmi kerajaan dan swasta dilihat berpotensi mencetuskan polemik dan sensitiviti perkauman dalam masyarakat majmuk kerana wujud perbezaan signifikan dari sudut pandang masyarakat berbilang kaum merentas bangsa dan generasi. Kajian ini mencadangkan supaya ruang bangsa dalam borang rasmi kerajaan dan swasta dikekalkan tetapi dalam bentuk terbuka (open ended) tanpa ruang kotak yang menetapkan pilihan etnik/bangsa kepada pengisi borang, dan pada masa yang sama memasukkan perkataan ‘untuk peluang kesamarataan’ bersebelahan dengan ruang ini.

Disediakan oleh : Ismi Arif Ismail, Dzuhailmi Dahalan, Haslinda Abdullah, Turiman Suandi, Steven Eric Krauss dan Nurul Akhtar Kamarudin

Tarikh Input: 30/05/2017 | Kemaskini: 31/05/2017 | nm_aini

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
SXEZQAQ~