Mengurus AI Anxiety Dalam Kalangan Generasi Muda | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS) 127
» ARTIKEL » Mengurus AI Anxiety Dalam Kalangan Generasi Muda

Mengurus AI Anxiety Dalam Kalangan Generasi Muda

Ts. Dr. Raihani Mohamed

Pensyarah Kanan, Penyelidik Teras

Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) & Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia (UPM)

 

Kecerdasan Buatan (AI) sering dijulang sebagai mercu tanda kemajuan teknologi yang mempermudah kehidupan manusia. Namun, di sebalik keghairahan mendakap revolusi digital ini, wujud satu fenomena psikologi baharu yang mula meresap dalam kalangan generasi muda, khususnya pelajar sekolah menengah dan mahasiswa universiti: ‘AI Anxiety’ atau Kebimbangan AI.

Fenomena ini merujuk kepada rasa cemas, takut, dan gelisah yang keterlaluan mengenai masa depan ekibat perkembangan pesat teknologi ini. Jika generasi terdahulu melihat teknologi sebagai alat pembantu, generasi muda hari ini yang membesar sebagai digital natives mula memandang AI sebagai penceroboh yang mengancam mata pencarian dan nilai diri mereka.

Punca utama kebimbangan ini berakar daripada krisis kerjaya. Pelajar sering disajikan dengan naratif bahawa jawatan peringkat permulaan (entry-level) seperti penulisan kandungan, reka bentuk grafik asas, pengaturcaraan komputer, dan analisis data kini mula digantikan oleh AI. Keadaan ini melahirkan rasa putus asa: “Untuk apa saya berhempas-pulas menuntut ilmu selama beberapa tahun jika perisian AI mampu melakukan tugasan saya dalam tempoh lima saat?”

Beban psikologi ini menjadi semakin parah apabila generasi muda berdepan dengan sikap dan ekspektasi majikan zaman baharu. Dalam usaha memotong kos dan meningkatkan kecekapan, kebanyakan majikan hari ini lebih cenderung menagih kemahiran setaraf pekerja berpengalaman bagi jawatan peringkat permulaan, dengan tanggapan bahawa calon baharu sepatutnya sudah mahir memproses tugasan kompleks menggunakan alatan AI. Dilema ini meletakkan graduan baharu dalam situasi tersepit, jawatan entry-level berasaskan tugas rutin sudah dihapuskan oleh AI, manakala jawatan yang tinggal pula menuntut pengalaman serta penguasaan AI yang tinggi sejak hari pertama bekerja.

Akibatnya, timbul kecelaruan identiti dan 'paralisis keputusan' (decision paralysis). Generasi muda berasa ragu-ragu untuk memilih jurusan pengajian kerana bimbang bidang yang dipelajari akan menjadi lapuk (obsolete) sebaik sahaja mereka tamat pengajian. Lebih memburukkan keadaan, sensasi media sosial yang kerap memaparkan amaran keterlaluan mengenai keupayaan AI memburukkan lagi sindrom imposter dan kelesuan emosi dalam kalangan belia.

Di sinilah warga pendidik dan institusi pendidikan perlu memainkan peranan sebagai pengemudi utama. Sekolah dan universiti tidak boleh sekadar mengajar cara menggunakan alatan AI, tetapi wajib mendidik aspek kesihatan emosi dan mental digital.

Pertama, minda generasi muda perlu dianjakkan daripada melihat AI sebagai 'pesaing' kepada 'rakan kolaborasi'. Pelajar perlu difahamkan bahawa AI dibina berasaskan statistik dan data lampau, bukannya emosi. Teknologi tidak mempunyai intelek emosi (EQ), empati, penaakulan moral, serta keupayaan membina hubungan kemanusiaan iaitu kemahiran lembut (soft skills) yang hanya dimiliki oleh manusia.

Kedua, institusi pendidikan perlu mengubah orientasi penilaian. Pendidikan tidak boleh lagi berfokus kepada hafalan fakta atau penghasilan tugasan rutin yang mudah ditiru AI, sebaliknya perlu menekankan pemikiran kritis, pemikiran kreatif, serta latihan praktikal yang menyediakan pelajar mengendalikan alatan AI untuk memenuhi tuntutan pasaran kerja sebenar.

Kesimpulannya, AI Anxiety bukanlah tanda kelemahan generasi muda, melainkan respons semula jadi terhadap perubahan zaman yang terlalu cepat. Pendidik bertanggungjawab untuk menukarkan ketakutan tersebut kepada kesedaran dan kebolehan beradaptasi. Kita tidak mahu melahirkan generasi yang tewas sebelum bertanding, sebaliknya generasi yang yakin bahawa teknologi berada di bawah kawalan minda manusia, bukan sebaliknya.

Tarikh Input: 07/08/2026 | Kemaskini: 07/08/2026 | alyarahim

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
X, (07:34:12pm-07:39:12pm, 07 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]