PERANAN KOMUNITI DALAM MELESTARIKAN ALAM SEKITAR | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
» BERITA » PERANAN KOMUNITI DALAM MELESTARIKAN ALAM SEKITAR

PERANAN KOMUNITI DALAM MELESTARIKAN ALAM SEKITAR

SERI KEMBANGAN, 25 Mei – KRT Zon 1, Taman Lestari Permai, Seri Kembangan dan Institut Pengajian Sains Sosial, UPM serta beberapa rakan strategik lain telah menganjurkan Karnival Taman Lestari Permai 2024, bertempat di Padang TLP, Taman Lestari Permai, Seri Kembangan, Selangor. Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah pertandingan congkak, pertandingan sepakan penalti, pertandingan mewarna, gerai jualan, ceramah perdana, ceramah kesedaran kitar semula, pameran penjagaan haiwan kesayangan, demonstrasi pembuatan sabun dan pameran kitar semula minyak masak.

Dalam karnival ini, Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman, Ketua Laboratori Belia dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan, IPSAS telah menyampaikan ceramah bertajuk ‘Amalan Kitar Semula dalam Melestarikan Alam Sekitar’.  Objektif utama penyertaan IPSAS dalam karnival ini adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan mengurus sisa domestik isi rumah dengan baik melalui amalan kitar semula. Selain itu,  keterlihatan Universiti Putra Malaysia dalam aktiviti bersama komuniti juga dapat ditingkatkan.

Pameran UPM juga disertai oleh Fakulti Perubatan Veterinar (Jabatan Perubatan dan Pembedahan Haiwan Kesayangan), Pusat Pertanian Putra, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), dan Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul. Antara aktiviti yang mendapat sambutan pengunjung ialah pameran penjagaan haiwan kesayangan oleh FPV, demonstrasi pembuatan sabun dari minyak masak terpakai oleh UCTC, serta jualan hasil pertanian oleh PPP.

Karnival yang bermula seawal 7.30 pagi telah menarik penyertaan lebih 1000 orang pengunjung, yang terdiri daripada penduduk Taman Lestari Permai serta taman perumahan berhampiran.  Maklumbalas yang diterima dari pengunjung karnival adalah sangat baik dan program karnival ini patut dijadikan acara tahunan.

Tarikh Input: 28/05/2024 | Kemaskini: 28/05/2024 | nm_aini

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
W, (12:36:44am-12:41:44am, 15 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]