BAHASA MENJULANG KUKUH, SASTERA MENJUNJUNG AMPUH | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
» ARTIKEL » BAHASA MENJULANG KUKUH, SASTERA MENJUNJUNG AMPUH

BAHASA MENJULANG KUKUH, SASTERA MENJUNJUNG AMPUH

Kalian mahu menjadi penulis, tetapi malas membaca. Kalian mahu menjadi penulis, tetapi teruk bahasanya. Kalian mahu menjadi penulis, tetapi malas membaca, teruk bahasanya dan banyak alasan pula. Begitulah nasib seorang penulis yang hanya berangan-angan sahaja tetapi tidak tercapai hajatnya. Justeru, untuk menjadi seorang penulis, apakah perkara asas yang perlu kalian ada? Khususnya untuk menjadi seorang penulis kreatif, apakah yang wajar dilaksana?

Pertama, bahasa. Ya, perkara utama yang wajar dikuasai penulis adalah bahasa. Kuasailah bahasa Melayu, bahasa kebangsaan kita. Kuasainya dengan sepenuh jiwa raga. Lantaran untuk menulis sebuah cerpen, bahasa mencerminkan keperibadian penulisnya. Pembaca akan mengenali cerpen yang diminatinya menerusi gubahan tatabahasa yang dipotretkan oleh penulisnya. Sebagai contoh, cerpen yang ditulis oleh Mawar Safei menyerlahkan jati dirinya. Perhatikan “Kumpulan Cerpen Narasi Tanah Selandia Baru dan Kisah Lainnya” (DBP, 2021) hasil garapan Mawar Safei yang kerap menggunakan perkataan “narasi” dalam beberapa buah cerpennya. Antara tajuk cerpennya adalah “Narasi Tongariro dari Penjuru Disember Lalu”, dan “Narasi Cinta Saat Gempa”. Selain itu, beberapa pemilihan kosa kata yang disaring untuk memperihalkan kisahnya dimuatkan dalam cerpennya, iaitu seperti “Infitar di Taman Salju”, “Antara Dua Rumah di Lereng Bukit”, “Perempuan Si Pemetik Harpa”, “Suara dan Cintanya”, “Surat daripada Umar”, “Bulan di Gifford Avenue”, “Bertemu Lagi Perempuan Si Pemetik Harpa”, “Labuhan Sukma di Kapiti”, “Bahasa Rindu Mel”, Bintang yang Satu di Langit Dini”, “Dia yang Berlari Kencang dalam Debu Perang”, “Gempa Pulau Perca”, “Pada Hari Saya Bertemu Miqdad”, “Amanat Perempuan Pengasih”, “Saat Guruh di Rumah Coklat”, “Rinai di Perkebunan”, “Kupu-kupu Biru di Penjuru Qolbu” dan “Tangan Umi dan Takwil Mimpi”.

Penguasaan Mawar Safei terhadap bahasa Melayu dengan pemilihan kosa kata yang tertentu, yang bersesuaian dengan latar pengkisahan yang diajukan kepada pembaca, memperlihatkan kesungguhan penulisnya mencintai bahasa. Malahan secara jelasnya menunjukkan bahawa pengarang memiliki roh kepengarangannya yang tersendiri dalam membentuk wilayah lingkungan bahasa yang dipasak dalam jiwa. Maka, keragaman kosa kata dan anyaman bahasa yang sebegini menyerlahkan “bahasa menjulang kukuh” untuk dimanfaatkan para pembaca. Malahan ini sekali gus menjentik tanggapan rasa dalam nurani khalayak untuk merenung dengan mata hati, bukan sekadar dengan mata lahiri dalam memahami setiap patah perkataan yang disuakan pengarang dalam karya-karyanya.

Kedua, sastera. Sejauh mana seseorang pengarang yang menguasai bahasa yang menjadi pakaian peribadinya menerjemahkan dalam bentuk karya kreatif yang berseni dan sarat estetika. Bagaimana seseorang pengarang itu memperelokkan bahasanya dengan anyaman perkakasan sastera seperti tema, persoalan, watak dan perwatakan, plot, konflik, dan unsur pengajaran disatukan dalam tatarias ilham yang mempesona. Sebagai misalnya novel yang dihasilkan oleh Husna Nazri@Nazri Hussein yang kerap memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) saban tahun suatu ketika. Perhatikan tajuk novelnya, iaitu “Si Penenun Cinta” (2019), yang mengungkapkan tentang perihal warisan budaya bangsa, iaitu kain songket untuk diajukan kepada khalayak pembaca khususnya remaja. Malahan deretan novelnya yang lain turut membangunkan keperibadian anak muda, antaranya adalah “Pewaris Samudera” (2013), “Rona-rona Pasrah” (2013), “Nyanyian Musim Rusuh” (2015), “Kudup Hijau Tropika” (2015), “Rindu Syonan-to” (2016), dan “S.P.I.D.E.R” (2017) memperlihatkan anyaman sastera disatukan dengan ilham yang sepadan dalam novel memiliki sentuhan estetikanya yang tersendiri untuk hidangan pembaca. Garapan pengkisahan dalam setiap novelnya dapat membugar semangat khalayak untuk mengharungi pancaroba. Pemilihan tajuk “cinta” misalnya diterjemahkan bukan terhadap teruna-dara bahkan kepada tenunan songket, salah satu warisan budaya bangsa. Pengarang berusaha mengemukakan nilai-nilai murni yang dapat dijadikan iktibar dalam pergelutan kehidupan, dan selirat duga. Maka, di sinilah peranan sastera yang dapat membangunkan kecintaan anak bangsa terhadap seni budaya bangsa, warisan dan peradaban yang wajar dipertahan saban masa.

Sementelahan pengarang merupakan seorang pendidik yang berstatus “ustaz”, pasti memiliki kesedaran yang tinggi dalam mengemukakan perutusan yang bermanfaat kepada pembaca. Malahan rata-rata hasil karyanya ditujukan kepada anak muda yang bergelut dengan pelbagai rantaian permasalahan hidup, dan berusaha memperkasa jiwa. Pemeragaan watak utama sebagai teraju anak muda yang tekal dengan nilai-nilai luhur dijadikan pasak utama dalam novel-novelnya.  Hidangan kepelbagaian isu sejagat dapat membuka horizon pemikiran pembaca sekali gus membangunkan keperibadian mulia. Maka, hasil karya sastera sebegini menyerlahkan makna “sastera menjunjung ampuh” untuk dijadikan panduan dan pedoman para pembaca.   

“Bahasa Menjulang Kukuh, Sastera Menjunjung Ampuh” ini sekali gus memperlihatkan daya usaha para pengarang menyemarakkan penyatuan antara “bahasa” dan “sastera” dijalin rapi untuk tatapan khalayak pembaca. Hal ini selaras dengan surah Ibrahim ayat 24-25 sebagaimana terjemahan: “Tidakkah kamu memperhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya (menjulang) ke langit, (pohon) itu menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan izin Tuhannya. Dan Allah membuat perumpamaan itu untuk manusia agar mereka selalu ingat”, jelas memperkukuhkan “bahasa” dan “sastera” sebagai tempat yang selayaknya untuk seseorang pengarang dalam menghasilkan karya sekali gus membugar peradaban bangsa dan negara.

Malahan sejajar dengan saranan Perdana Menteri Malaysia tentang keupayaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu lantaran merupakan salah satu daripada 20 bahasa popular di dunia. Bahasa Melayu dikatakan menduduki tangga kesepuluh penggunaannya dan wajar dijulang dengan segenap kudrat yang ada. Memetik ungkapannya: "Sebagai Keluarga Malaysia dan empunya bahasa ibunda ini, kita harus berasa bangga kerana di celah ruang penguasaan teguh Bahasa Inggeris, bahasa Melayu tetap ampuh mencorak ritma yang tersendiri dan sentiasa mekar di persada tamadun dunia”, wajar disemat dalam kabad anak bangsa khususnya generasi muda.

Ayuh penulis, pahatkan dalam diri bahawa besar amanah yang tergalas di pundak dalam menyuguhkan karya yang terbaik untuk pembaca. Pilih, dan saring bahasa yang “jernih” untuk diajukan dalam pengkaryaan bagi membentuk kekayaan jiwa. Pilih, dan saring sastera yang “indah” untuk dibentangkan dalam pengkaryaan bagi pengukuhan peribadi mulia. “Bahasa Menjulang Kukuh, Sastera Menjunjung Ampuh” mengkehendaki para pengarang yang memiliki keupayaan yang luar biasa dengan gemerlap usaha demi khazanah bangsa. Kata-kata Tenas Effendy dalam buku “Ethos Kerja” wajar dijadikan sandaran perenungan: “Apabila kerja hendak sempurna, sifat terpuji hendaklah jaga”, “Apabila terpuji dalam bekerja, dunia akhirat mendapat pahala”, “Apabila bekerja memegang amanah, diri selamat dipelihara Allah”, “Apabila bekerja berhati-hati, manfaat dapat nama terpuji”, dan “Apabila bekerja dengan ilmunya, kerja menjadi besar manfaatnya.”

Tarikh Input: 05/09/2022 | Kemaskini: 05/09/2022 | nooryati

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
SXEUAAM~