Oleh
Sharon Joanes Anak James

KUALA LUMPUR, 19 Disember 2025 – Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) persendirian, Ahsana Kuala Lumpur (Ahsana KL), telah menganjurkan Program Khidmat Masyarakat Kasih Putra bersama Rumah Kebajikan Ahsana Kuala Lumpur. Program ini dianjurkan bertujuan menyantuni dan memberi sokongan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), khususnya penghuni wanita di Rumah Kebajikan Ahsana yang merupakan rumah kebajikan pertama yang mengkhususkan penjagaan Insan Istimewa wanita sejak penubuhannya pada tahun 2021.
Rumah Kebajikan Ahsana Puchong dikendalikan sepenuhnya oleh Ahsana KL, sebuah NGO persendirian yang menyediakan perlindungan, penjagaan rapi dan keselamatan kepada Insan Istimewa. Operasi rumah kebajikan ini bergantung sepenuhnya kepada sokongan serta sumbangan komuniti. Pada masa ini, rumah kebajikan tersebut menempatkan seramai 23 orang penghuni berusia antara 4 hingga 70 tahun yang terdiri daripada individu berkeperluan khas seperti masalah penglihatan dan pendengaran, sindrom Down, autisme serta pelbagai ketidakupayaan lain. Penubuhan pusat ini bertujuan melatih penghuni agar lebih berdikari, membekalkan ilmu kemahiran pekerjaan serta meningkatkan keyakinan diri supaya mereka mampu berinteraksi dan berhadapan dengan masyarakat secara lebih berani dan positif.
Program ini turut menjadi platform untuk menyemarakkan budaya kesukarelawan yang lebih tersusun dan berkesan dalam kalangan warga IPSAS khususnya serta warga UPM amnya. Selain itu, ia berperanan dalam proses pemerkasaan komuniti menerusi penglibatan aktif pakar-pakar dari UPM bersama masyarakat secara sukarela bagi menjamin pembangunan dan kesejahteraan bersama. Program ini juga memberi khidmat sokongan kepada golongan OKU di rumah kebajikan yang kurang mendapat penjagaan serta berdepan kekangan kemampuan.
Program ini dijalankan dengan kerjasama Jawatankuasa Jaringan Industri dan Masyarakat IPSAS bersama Kelab Kebajikan IPSAS. Sumbangan daripada pihak IPSAS merangkumi barangan keperluan kering dan basah serta keperluan harian, yang diharap dapat meringankan beban pengurusan rumah kebajikan serta memenuhi keperluan asas para penghuni.
Sumbangan kepada Rumah Kebajikan Ahsana diterima daripada beberapa saluran, antaranya:
Kesemua sumbangan ini diharap dapat memberi manfaat kepada penghuni rumah kebajikan serta mengukuhkan kerjasama dan hubungan komuniti antara IPSAS, UPM dan pihak rumah kebajikan.

Seterusnya, pengisian utama program ialah simbolik penyerahan sumbangan yang telah disempurnakan oleh YBhg. Profesor Dr. Haslinda Abdullah, Pengarah IPSAS, diiringi oleh Puan Nurul Akhtar Kamarudin selaku Pengerusi Kelab Kebajikan, Encik Din bin Ayup dan beberapa orang staf IPSAS serta dua (2) orang pelajar latihan industri IPSAS. Sumbangan tersebut telah diterima oleh Puan Ana Atikah, Pentadbir Persatuan Rumah Kebajikan Ahsana, yang turut meluahkan rasa syukur dan gembira atas sumbangan serta kerjasama erat yang diberikan oleh pihak IPSAS dalam menjayakan program berkenaan.
Program kemudiannya disusuli dengan sesi beramah mesra dan menyantuni penghuni, di mana sukarelawan menikmati minum petang bersama penghuni dengan menu istimewa spagheti karbonara serta jus Tropicana Twister yang dibawa khas untuk menceriakan suasana. Selepas itu, penyampaian cenderamata kepada warga OKU turut dijalankan sebagai tanda penghargaan dan untuk menambahkan kegembiraan mereka. Aktiviti ini bertujuan sebagai medium untuk mengukuhkan ukhuwah, semangat kebersamaan, dan perpaduan antara sukarelawan dan penghuni. Sebagai penutup, sesi fotografi turut diadakan bagi merakam kenangan indah serta menjadi simbol keakraban dan kebersamaan yang terjalin sepanjang program berlangsung. Semoga hubungan yang terjalin terus erat dan membuktikan komitmen IPSAS bersama komuniti rentan, selain memberi ruang untuk semua pihak berkongsi rezeki.
Program Khidmat Masyarakat Kasih Putra ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha berterusan dalam memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dan komuniti, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan golongan rentan dalam masyarakat.
Tarikh Input: 19/01/2026 | Kemaskini: 13/03/2026 | alyarahim
