PELIHARA BUMI TANGGUNG JAWAB SEMUA | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
» ARTIKEL » PELIHARA BUMI TANGGUNG JAWAB SEMUA

PELIHARA BUMI TANGGUNG JAWAB SEMUA

PELIHARA BUMI TANGGUNG JAWAB SEMUA

Sambutan Hari Bumi diraikan pada 22 April setiap tahun sebagai usaha menghargai bumi dan menyemai rasa tanggungjawab serta meningkatkan kesedaran kalangan masyarakat untuk melindungi bumi dan alam sekitar. Sambutan yang disambut setiap tahun sejak 1970 ini bertujuan mempelbagaikan, mendidik dan memacu gerakan kelestarian alam sekitar di seluruh dunia. Tahun ini Sambutan Hari Bumi bertemakan "Invest in Our Planet". Tema ini dipilih dalam usaha mempercepat solusi untuk memerangi ancaman terbesar dunia iaitu perubahan iklim selain menyeru segenap warga global untuk turut serta mengambil bahagian dalam usaha menjaga bumi.

Namun, sambutan demi sambutan tersebut tidak membawa erti jika alam sekitar dan komponennya berterusan diteroka dengan rakus, dicemari dan dimusnahkan sewenangnya. Natijahnya alam sering dilihat sebagai sumber kekayaan, misalnya aktiviti pembalakan untuk mendapatkan kayu balak semata-mata, menunjukkan hutan bukan dilihat secara menyeluruh iaitu memainkan fungsi-fungsi ekologi yang penting dan pelbagai untuk kesejahteraan kehidupan sejagat. Sungai dan laut juga menerima nasib yang sama, yang mana sisa-sisa buangan dicampak dengan sewenangnya demi untuk mencari keuntungan yang cepat, daripada mengambil kira kepentingan sungai tersebut sebagai sumber air untuk minuman dan kehidupan harian. Justeru, Mahatma Gandhi pernah berpesan, dunia ini penuh dengan sumber alam untuk menampung keperluan orang ramai tetapi ia tidak mencukupi untuk memenuhi ketamakan segelintir manusia dan kita seharusnya hidup secara sederhana supaya orang lain juga boleh hidup.

Walaupun kesedaran dan keprihatinan terhadap alam sekitar makin meluas sejak lima dekad lalu, namun kegiatan manusia yang merosakkan alam sekitar masih berlaku. Ternyata mesej penting yang cuba disampaikan oleh alam semula jadi seolah-olah ‘gagal’ difahami sepenuhnya apatah lagi menginsafkan umat manusia akan segala kerosakan yang telah dan sedang dilakukan. Rentetan itu, pemulihan ekosistem yang meliputi daratan, pantai dan lautan menjadi fokus kerana dunia menghadapi masalah ekosistem yang kian merosot dan tidak mampu memberikan perkhidmatan kepada manusia serta alam sekitar. Habitat yang semakin merosot ini telah memberi kesan kepada perubahan iklim, kepupusan biodiversiti serta pemanasan global yang akhirnya akan memberikan kesan kepada kesihatan dan ekonomi manusia.

Perlu disedari bahawa sehingga akhir tahun ini, warga dunia hanya mempunyai 10 tahun sahaja lagi untuk merealisasikan hasrat pembangunan lestari yang akan tamat pada tahun 2030 nanti. Natijahnya, kita masih berpeluang untuk memastikan bahawa rancangan pemulihan ekonomi adalah mesra alam termasuklah pelaburan jangka panjang dan rancangan pertumbuhan ekonomi untuk projek iklim. Hakikatnya, cabaran biodiversiti dan krisis iklim akan tetap ada walaupun penularan COVID-19 mulai reda.

Di Malaysia, sejajar dengan Fokus Kelapan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) iaitu Mempercepatkan Pertumbuhan Hijau, pembangunan dan aktiviti ekonomi tidak harus melebihi ambang keseimbangan atau kestabilan sehingga menjejaskan alam sekitar selain mempertahankan liputan kawasan hijau, khususnya hutan tropika yang merupakan khazanah yang amat berharga. Rentetan itu, usaha untuk mempercepatkan pertumbuhan hijau, mempertingkatkan kemampanan tenaga dan mentransformasikan sektor air, harus kekal menjadi teras pembangunan sosioekonomi negara. Dalam mencapai matlamat tersebut, seharusnya segenap ahli masyarakat bersama-sama menggembleng tenaga dan menyumbang masa membudayakan amalan kelestarian demi kelangsungan generasi akan datang. Masyarakat perlu menyumbang dan tidak alpa dalam usaha memulihkan ekosistem di negara ini bagi memastikan ia sentiasa stabil dan kondusif untuk kehidupan manusia.

Justeru, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bertitah tindakan memulihkan kerosakan alam semula jadi dan perubahan iklim memerlukan tindakan segera dan penglibatan setiap individu selain daripada pihak seperti kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Baginda turut menyeru lebih ramai anak muda menggalas tanggungjawab dalam aktiviti pemulihan alam sekitar demi kelestarian alam.

Tuntasnya, masyarakat harus berubah fungsinya daripada sekadar menjadi pemerhati sahaja, kerana setiap daripada kita perlu memikul tanggungjawab ini bersama-sama kerana bumi milik bersama. Malah, kita seharusnya tidak lagi melihat persekitaran dan ekologi sebagai isu sampingan tetapi harus menjadikannya aspek utama dalam membuat keputusan jika kita ingin menghindar lebih banyak malapetaka pada masa depan.

Oleh : Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman, Ketua Laboratori, Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik & Kewarganegaraan, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), UPM

 

Tarikh Input: 09/06/2022 | Kemaskini: 09/06/2022 | nooryati

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
SXEZLAY~