Faktor Pendorong dan Penghalang
Secara umumnya, penglibatan belia ,khususnya belia di bandar, dibentuk oleh gabungan beberapa faktor seperti tahap keselamatan kejiranan, sokongan orang dewasa, dan ruang untuk membuat keputusan yang bermakna. Menariknya, isu keselamatan kejiranan memberikan kesan positif dan negatif. Di satu sisi, kebimbangan terhadap keselamatan sering menjadi pendorong untuk menyertai KRT. Kadar jenayah yang tinggi di sesetengah kawasan bandar kadangkala menyuntik kesedaran belia untuk bangkit menyertai tindakan kemasyarakatan demi melindungi kejiranan mereka.
Namun, jika rasa tidak selamat itu terlalu ekstrem, ia memberi kesan sebaliknya. Ketakutan melampau menyebabkan belia berasa tidak berdaya, lalu memilih untuk menarik diri dan terpisah terus daripada kehidupan bermasyarakat. Selain itu, belia perlukan sokongan orang dewasa yang tidak menghakimi, bersikap terbuka, dan sedia berkongsi kuasa kepimpinan.
Strategi Praktikal Menarik Penyertaan Belia
Bagi mengatasi cabaran ini dan mencapai sasaran 30 % penglibatan belia, beberapa strategi teras perlu dilaksanakan secara proaktif. Pertama, ruang fizikal yang mesra belia perlu diwujudkan untuk membolehkan mereka berkumpul dengan selesa, di samping memanfaatkan media sosial dan aplikasi mesej bagi memudahkan perancangan aktiviti secara lebih fleksibel. Selain itu, belia tidak seharusnya hanya dijadikan "tenaga buruh" untuk membantu persiapan majlis semata-mata; sebaliknya, mereka perlu diberi peranan sebenar dalam jawatankuasa untuk merancang dan membuat keputusan berkaitan program mereka sendiri.
Seterusnya, fokus program juga wajar dialihkan daripada mesyuarat formal kepada aktiviti yang lebih menarik minat belia, seperti kesukanan, e-sukan, bengkel kemahiran digital, atau projek keusahawanan sosial yang mampu menangani isu tempatan secara terus. Di samping itu, sistem mentoring antara orang dewasa dan belia perlu diwujudkan, di mana kepimpinan veteran KRT membimbing golongan muda tanpa mengawal sepenuhnya, sekaligus memudahkan proses peralihan kuasa secara berperingkat.
Akhir sekali, pengiktirafan dan insentif yang bermakna turut penting bagi mengekalkan penglibatan belia. Antaranya melalui sijil penghargaan, mata kredit komuniti, atau peluang latihan kepimpinan yang boleh memberi nilai tambah kepada resume dan pembangunan kerjaya mereka.
Kesimpulan
Golongan belia, terutama belia bandar sebenarnya bukan tidak peduli, tetapi mereka hanya akan menyertai usaha kejiranan jika mereka berasa selamat, mendapat sokongan orang dewasa, dan diberi peranan yang bermakna. Justeru, bagi pihak berkuasa yang ingin meremajakan KRT, langkah penting bukanlah sekadar mengadakan lebih banyak mesyuarat formal. Sebaliknya, pelaburan dalam ruang yang mesra belia, aktiviti berasaskan minat mereka, serta kepercayaan penuh dan memberi peluang kepada golongan belia memimpin adalah antara langkah paling strategik yang boleh diambil.

Tarikh Input: 18/08/2026 | Kemaskini: 18/08/2026 | alyarahim
