Merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Malaysia Mendidik di Facebook berkenaan 6 Domain Kesejahteraan Guru, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), UPM menyambut baik kenyataan tersebut yang menekankan kepentingan konsep kesejahteraan guru yang menyeluruh dengan menekankan keseimbangan kerja-hidup. Dengan memberi perhatian kepada aspek kesejahteraan kesihatan fizikal, profesional, mental, sosioemosi, rohani, kewangan, sosial, dan keseimbangan kerja-kehidupan, ia adalah penting bagi memastikan guru berada dalam keadaan terbaik untuk menyumbang kepada pembangunan generasi masa depan. Sehubungan dengan itu, untuk makluman, pihak IPSAS telah melaksanakan kajian rintis Indeks Kesejahteraan Guru Malaysia (IKGM) di peringkat negeri Pulau Pinang. Kajian ini telah mengenal pasti beberapa domain utama yang penting dalam mengukur kesejahteraan guru secara menyeluruh. Berikut adalah senarai domain yang telah dikaji: 1. Kepimpinan 2. Kewangan 3. Kemudahan Infrastruktur 4. Kompetensi 5. Ekosistem Kerjaya 6. Kerohanian 7. Beban Kerja 8. Pembangunan Kerjaya 9. Kesihatan Mental dan Fizikal Hasil daripada kajian ini telah memberikan gambaran empirikal yang penting mengenai kesejahteraan guru di Pulau Pinang. Indeks keseluruhan kesejahteraan guru menunjukkan tahap yang memerlukan intervensi holistik dan komprehensif untuk memastikan kesejahteraan mereka dapat ditingkatkan. Kajian ini juga menyarankan agar program-program intervensi yang lebih menyeluruh dilaksanakan dengan melibatkan badan kerajaan, institusi pendidikan, dan komuniti. Oleh itu, sejajar dengan pengumuman YB Menteri Pendidikan semasa sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan 2024 mengenai keperluan menerbitkan Indeks Kesejahteraan Guru yang holistik, IPSAS komited untuk melaksanakan kajian ini pada skala yang lebih besar, melibatkan seluruh guru di Malaysia. Langkah ini adalah penting bagi mendapatkan dapatan yang lebih holistik, seterusnya membolehkan intervensi yang komprehensif dilaksanakan bagi meningkatkan kesejahteraan guru di seluruh negara. IPSAS juga bersedia untuk membantu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menjayakan Indeks Kesejahteraan Guru sebagai badan bebas (independent body). IPSAS komited untuk terus menjalankan kajian yang memberi impak positif kepada kesejahteraan guru dan keseluruhan ekosistem pendidikan di Malaysia
Tarikh Input: 07/06/2024 | Kemaskini: 20/01/2026 | nm_aini
