Peranan Sokongan Ekosistem Dalam Kepulihan Pesakit Covid Dan ‘Long Covid’ | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
» ARTIKEL » Peranan sokongan ekosistem dalam kepulihan pesakit Covid dan ‘Long Covid’

Peranan sokongan ekosistem dalam kepulihan pesakit Covid dan ‘Long Covid’

Hingga 19 Aprill 2022 data terkini dari web Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukan jumlah rakyat Malaysia yang dijangkiti Covid 19 ialah sekitar 4,402, 234. Jumlah ini bukanlah satu jumlah yang sedikit dan impaknya merangkumi pelbagai sektor termasuklah sektor kesihatan, pendidikan, sosial, ekonomi, pekerjaan dan juga kemahiran. Bagi sektor pendidikan, laporan KPM menunjukkan seramai 21,316 pelajar berhenti sekolah bagi tempoh 31 Mac 2020 hingga Julai 2021 satu jumlah yang besar untuk generasi yang bakal menjadi sebahagaian dari masa depan negara. Jumlah ini seterusnya akan mewujudkan kesan berganda kepada pelbagai isu sosial dan juga ekonomi negara. Dalam konteks ini, menurut ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzaniam Abdul Rashid, kejatuhan ekonomi Malaysia sebanyak 5.6 peratus pada tahun 2020 cukup mengesankan semua pihak dan kesan tersebut berlarutan hingga kini. Bagi mereka yang secara peribadi dijangkiti Covid 19 ianya merupakan satu pengalaman yang tidak mahu diulang. Walau bagaimanapun apa yang penting dan perlu diketengahkan adalah bagaimana membantu kepulihan pesakit Covid 19. Ini kerana proses pemulihan kepada sesetengah yang terkesan dengan jangkitan ini memakan masa yang agak lama.

Selaku sebahagian dari statistik pesakit covid di Malaysia dan juga mengalami ’long covid’ yang agak lama iaitu hampir 50 hari, serta masih ada saki baki kesan daripada Covid variasi Omnicom , penulis merasakan perlunya kefahaman yang menyeluruh bagi membantu pesakit agar benar-benar pulih. Ini kerana kesan daripada Covid 19 berbeza dari seorang individu kepada individu yang lain dan ia juga boleh berubah-ubah dalam masa yang singkat di mana hari ini mungkin pesakit akan rasa segar dan secara tiba-tiba malam atau esoknya kesan seperti batuk atau sesak nafas akan melanda dengan agak teruk. Keadaan yang tidak menentu seperti ini amat menuntut kefahaman dari mereka di sekitar sebagai contoh, sekiranya di tempat kerja peranana majikan dan rakan sekerja sangat membantu. Manakala di rumah,  kefahaman dari pasangan hidup dan juga ahli keluarga terdekat sangat-sangat penting dalam membantu kepulihan pesakit. Bantuan yang bagaimana yang diperlukan oleh pesakit ‘long covid’ ini? Kenapa penting perkara ini diketengahkan sedangkan ianya berlaku kepada hampir  penduduk di Malaysia? Pada pandangan penulis, oleh kerana ramai yang mengalaminya berkemungkinan ianya dianggap tidak penting oleh kebanyakan individu dan mengambil ringan akan kesan jangka panjang kepada pesakit samada dari segi fizikal mahupun psikologikal.

Dalam konteks kerja, waktu kerja yang fleksibal sangat penting untuk diberikan kepada pesakit yang mengalami kesan jangka panjang Covid 19. Ini kerana batuk yang berpanjangan biasanya akan bertambah kerap di waktu malam dan suasanan yang sejuk, maka mereka yang mengalami kesan begini akan sukar tidur dan akan keletihan keesokkan harinya terutama sekali waktu pagi. Justeru waktu kerja  yang fleksibal sangat penting untuk pekerja yang mengalami ‘long covid’. Ekosistem fizikal di tempat kerja juga perlu di tambah baik di mana pengudaraan di kawasan tempat kerja, susun atur yang lebih selesa perlu diberi perhatian oleh pihak majikan dalam memberikan suasana positif kepada bukan sahaja pesakit ‘long covid’ tetapi juga kepada keseluruhan pekerja di dalam organisasi kerja tersebut. Mereka dalam bidang kesihatan pekerjaan perlu melihat kembali sokongan kerja  bagaimana yang diperlukan oleh bekas pesakit covid atau mereka yang megalami ‘long covid’.

Bagi ekosistem keluarga, kefahaman dari ahli keluarga terutamanaya pasangan pesakit merupakan perkara penting yang sangat membantu kepulihan pesakit. Tugasan harian di rumah yang dahulunya boleh dilakukan dalam tempoh yang singkat mungkin mengambil masa yang lama bagi pesakit ini. Ini kerana mereka akan cepat penat dan memerlukan ruang masa yang lama untuk pulih kembali. Mereka juga kadangkala hilang tumpuan dan sukar mengingat kembali apa yang sebenarnya sedang dilakukan. Sekiranya ahli keluarga tidak memahami keadaan yang sedang dialami, sudah pasti akan menimbulkan salah faham dan berkecil hati. Suasana ini mungkin akan berpanjangan dan mewujudkan keadaan yang kurang harmoni di dalam ekosistem keluarga, sedangkan pada Ketika ini sokongan dari mereka yang terdekat amat penting untuk kepulihan pesakit.

Bagi pelajar sekolah ataupun mereka di institusi pendidikan, mereka memerlukan masa untuk pulih dan juga untuk memahami pembelajaran yang tertinggal sebelum ini. Keadaan ini menyebabkan  mereka bukan sahaja tertinggal dari segi pembelajaran tetapi berkemungkinan mengalami keletihan yang berpanjangan dan menyebabkan proses memahami pembelajaran yang tertinggal memakan masa. Bagi guru dan ibubapa, sekiranya anak-anak mereka mempunyai simptom yang disebutkan, mereka perlu memberi ruang dan peluang untuk anak-anak ini memahami situasi mereka serta pulih seperti sediakala. Ini penting agar guru serta ibubapa tidak terlalu mendesak untuk anak-anak ini menyerlah dari segi ilmu yang dipelajari tetapi perlu lebih menekankan kepada  kepentingan suasana dan proses pembelajaran yang mengembirakan untuk mereka belajar dan menghargai ilmu yang diperolehi berbanding berebut-rebut mendapat jumlah A yang tertinggi. Ketidakfahaman masalah ini oleh orang dewasa  yang berada di persekitaran akan menyebabkan mereka kecewa, rendah diri dan mungkin akan berputus asa dari terus berada di dalam sistem pendidikan negara. Ini sudah pasti akan memberi kesan yang serius kepada generasi yang akan datang.

Secara kesimpulannya Covid 19 memberi pengajaran kepada setiap individu di muka bumi ini, agar lebih menghargai serta menambahbaik ekosistem di mana mereka berada. Ini termasuklah dari segi emosi, psikologi, fizikal, hubungan sosial, hubungan dengan alam dan juga hubungan dengan yang Esa. Ini kerana kesejahteraan yang kekal adalah kesejahteraan yang meliputi semua aspek ekosistem kehidupan. Justeru, gabung jalin antara ekosistem yang kondusif serta keadaan yang memastikan ekosistem yang ada meyokong antara satu sama lain penting untuk kesejahteraan pesakit ‘long covid’ yang menjadi antara pesakit teramai di muka bumi ini.

Tarikh Input: 25/08/2022 | Kemaskini: 25/08/2022 | nooryati

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
SXEUIAy~