Wanita Sebagai Ejen Kelestarian Alam Sekitar | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
» ARTIKEL » Wanita sebagai ejen kelestarian alam sekitar

Wanita sebagai ejen kelestarian alam sekitar

PEMBANGUNAN mempunyai kesan yang mendalam terhadap kehidupan manusia dan persekitaran. Malaysia sedang menghadapi cabaran besar dalam memastikan pembangunan yang lestari.

Mengambil contoh, pada tahun 2019, pelepasan gas rumah hijau iaitu karbon dioksida (CO2) per kapita Malaysia mencatatkan 7.67 tan dan merupakan antara yang tertinggi di rantau ini, manakala pada tahun 2018, tahap purata tahunan zarah partikulat PM2.5 halus di bandar-bandar (berdasarkan populasi penduduk) adalah 19µg/ m3 iaitu di atas tahap garis panduan WHO iaitu 10µg/m3.

Lantaran itu, semakin ramai melihat masalah alam sekitar sebagai masalah serius, semakin teruk dan mengancam kesejahteraan manusia.

Walaupun ekonomi masih merupakan pilihan utama orang ramai, semakin banyak individu enggan mengorbankan kualiti alam sekitar untuk keadaan ekonomi lebih baik.

Maka, dalam usaha untuk mencapai kepada pembangunan lestari, komuniti lestari perlu dibentuk berdasarkan prinsip kelestarian melalui keseimbangan antara ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Dalam hal ini, usaha melestarikan alam sekitar dapat dimainkan dengan jayanya melalui peranan signifikan golongan wanita.

Sejak sekian lama, golongan wanita bangkit sebagai ejen perubahan, sekali gus mentransformasikan tingkah laku masyarakat dalam penjagaan alam sekitar. Maka lahirlah gerakan ekofeminisme yang menjaga dan bersuara lantang tentang alam sekitar.

Objektif gerakan ini adalah membangkitkan kesedaran alam sekitar yang mengkehendaki masyarakat supaya sedar tentang cara kehidupan yang akan memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan cuba mengubah sikap mereka kepada sikap positif ke arah persekitaran yang berkualiti.

Wanita lebih dekat dengan alam kerana hubungan langsung golongan itu dengan alam telah sedia ada dalam diri mereka seperti peka dan sensitif.

Justeru, beberapa gerakan telah ditubuhkan dan dipelopori oleh golongan wanita seperti gerakan Chipko di India dalam usaha menghentikan aktiviti pembalakan.

Pejuang alam sekitar kalangan wanita turut membuka mata masyarakat; antaranya Wangari Mathaai dari Kenya yang melancarkan 'The Green Belt Movement' iaitu pertubuhan bukan kerajan yang menitikberatkan peranan wanita dalam menjaga alam sekitar.

Pertubuhan ini memfokuskan kepada penanaman pokok, pemuliharaan alam sekitar dan hak wanita.

Di Malaysia, wanita merupakan sebahagian daripada aset penting negara. Hakikatnya, pelbagai peranan dapat dimainkan oleh golongan wanita dalam memastikan alam sekitar kekal terjaga dan tidak dicemari serta dimusnahkan sewenang-wenangnya.

Dengan jumlah peratusan yang tinggi, wanita berperanan penting dalam aspek pengurusan alam sekitar terutama dalam menguruskan sisa plastik dan makanan di rumah.

Menjelang Hari Wanita pada hari ini, pembabitan wanita dalam isu alam sekitar khususnya masyarakat akar umbi di luar bandar, komuniti Orang Asli, wanita di bawah jalur kemiskinan, ibu tunggal dan kebanyakan wanita kelas pertengahan secara fundamentalnya amat signifikan.

Ini kerana sifat wanita itu sendiri lebih menjurus kepada usaha melindungi alam sekitar. Hubungan rapat antara wanita dengan alam yang peningkatan pengetahuan berkaitan kelestarian alam diterjemahkan melalui sikap dan amalan seharian.

Sifat teliti dan peka menjadikan wanita lebih menghargai anugerah Tuhan dalam menjaga alam sekitar daripada kemusnahan. Semua ini memberikan kesan positif kepada pembentukan komuniti lestari dan wanita antara ejen mampu membawa kesedaran ini.

Peranan kaum wanita penting dalam menggalas tanggungjawab untuk meningkatkan kesedaran terhadap pemuliharaan alam sekitar ini kerana lazimnya amalan kelestarian tersebut bermula dari rumah.

Melalui fungsinya sebagai ibu, wanita mampu mendedahkan generasi muda iaitu anak-anak dengan amalan kelestarian dari kecil lagi, seterusnya membentuk komuniti lestari yang memacu pembangunan negara.

Sebagai pengurus rumah tangga juga, para ibu berperanan untuk mengamalkan sikap lestari dalam kehidupan seharian dan memberi contoh serta tauladan yang baik kepada anak-anak dalam mengamalkan amalan kelestarian.

Di negara ini, masih ramai wanita belum terlibat sama secara aktif dalam memulihara dan menjaga alam sekitar berbanding di negara luar.

Menyedari hakikat itu, pelbagai usaha dan strategi harus digerakkan secara formal dan informal bagi membabitkan wanita secara berkesan dalam mengoptimumkan peranan mereka sebagai ejen utama kelestarian alam sekitar.

 

Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia

Artikel ini juga boleh didapati di

https://premium.sinarharian.com.my/article/189731/mediasi-kritis/cetusan/wanita-sebagai-ejen-kelestarian-alam-sekitar

Tarikh Input: 08/03/2022 | Kemaskini: 08/03/2022 | nooryati

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
SXEaPAA~