Program G.R.E.A.T. (Generasi Hebat) 14, 28 & 29 Januari 2023 | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
» BERITA » Program G.R.E.A.T. (Generasi Hebat) 14, 28 & 29 Januari 2023

Program G.R.E.A.T. (Generasi Hebat) 14, 28 & 29 Januari 2023

Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia telah menjalin kerjasama pintar (smart partnership) bersama dengan Persatuan Belia Seri Cempaka (PBSC), Kuala Lumpur bagi melaksanakan projek rintis Program G.R.E.A.T. Program ini telah ditaja oleh World Leisure Organization (WLO) yang beribupejabat di Spanyol. Tujuan program ini diadakan adalah bagi membangunkan program sukan untuk pembangunan atau Sport for Development (SFD) berasaskan kemahiran hidup yang memberi fokus kepada belia-belia di kawasan berpendapatan rendah bandar.

Melalui pendekatan Pembangunan Belia Positif berasaskan sukan atau sport-based Positive Youth Development (PYD), aktiviti sukan dan rekreasi telah dipilih sebagai medium untuk menarik penyertaan golongan belia. Di samping menyertai aktiviti sukan dan rekreasi, para peserta juga turut diterapkan dengan tiga jenis kemahiran hidup yang disasarkan iaitu komunikasi (confidence), keberanian (courage) dan keyakinan (confidence). Selain itu, program ini turut melatih Sport for Development Leaders (SFD Leader) dalam kalangan belia yang berperanan sebagai perancang dan pelaksana program. Sebanyak tiga aktiviti sukan pilihan telah berjaya dilaksanakan iaitu bola sepak dan bola baling pada 14 Januari 2023 bertempat di Padang Kampung Pasir, Kuala Lumpur, serta aktiviti  abseiling, flying fox dan white water rafting pada 28-29 Januari 2023 bertempat di LaCottage Kampar, Perak.

Menurut Ketua Fasilitator Program, Puan Siti Mariam Ahmad Tobias yang juga merupakan pelajar di IPSAS dalam bidang Pengajian Belia, program ini mempunyai keunikan yang tersendiri di mana ia menawarkan belia dengan pembelajaran kemahiran hidup secara non-formal melalui program sukan yang berstruktur. Sasaran program ini adalah supaya peserta berjaya meningkatkan kemahiran sukan di samping mempelajari kemahiran hidup yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Pihak IPSAS berharap agar program G.R.E.A.T. dapat dijadikan contoh dalam merangka program sukan untuk pembangunan serta disebarluaskan agar penerapan nilai-nilai PYD dapat dilaksanakan demi pembangunan belia yang mampan.

 

Tarikh Input: 03/02/2023 | Kemaskini: 03/02/2023 | nooryati

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
SXEaLAE~