Ada Apa Dengan Hutan | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
» ARTIKEL » Ada Apa Dengan Hutan

Ada Apa Dengan Hutan

Tanggal 21 Mac diraikan sebagai acara sambutan Hari Hutan Sedunia. Hutan ditakrifkan sebagai kawasan yang ditumbuhi oleh pokok-pokok liar yang terbiar, rimba yang menjadi habitat semula jadi flora dan fauna. Malaysia kaya dengan kepelbagaian jenis hutan yang menyimpan pelbagai macam flora dan fauna. Setiap spesies yang wujud memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan ekosistem dan dengan berkurangnya kepelbagaian hidupan ini, maka berkurangnya kestabilan dalam ekosistem. Paling utama, kewujudan hutan juga diakui sebagai kunci mencegah perubahan iklim.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekitar 1.6 milion orang bergantung kepada hutan untuk mencari nafkah, ubat-ubatan, bahan bakar, makanan sehinggalah kepada tempat tinggal. Malangnya, kita gagal melihat dan menilai kepentingan fungsi dan peranan kepelbagaian biologi dalam hutan demi menjaga kemakmuran serta kesejahteraan manusia sejagat.

Bagi memahami kepentingan hutan, Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong milik Universiti Putra Malaysia (UPM) boleh dijadikan contoh. Hutan ini berfungsi untuk aktiviti pengajaran, penyelidikan dan latihan kepada mahasiswa, staf dan penyelidik UPM. Hutan berkeluasan 1,176.1 hektar ini didiami 430 spesies tumbuhan bunga, 33 spesies paku pakis, 127 spesies balak dan 99 spesies herba. Di sini turut terdapat fauna, antaranya lima daripada 10 spesies mamalia besar di Semenanjung Malaysia, 208 spesies burung termasuk 35 spesies yang terancam dan 30 spesies berhijrah, 14 spesies mamalia kecil termasuk kongkang, 13 spesies kelawar,18 spesies katak, dua spesies reptilia dan 10 spesies ikan. Kepelbagaian spesies ini menjadi daya penarik dalam kalangan penyelidik melakukan kajian saintifik terhadap hutan simpan itu menerusi kepakaran dalam pelbagai disiplin ilmu. Malahan hutan ini bertindak sebagai ‘carbon sequestration’ iaitu penyerap karbon dan gas beracun sambil membekalkan oksigen kepada penduduk, selain sebagai punca air dengan kualiti air Sungai Rasau sejauh 2 kilometer bermula daripada puncanya adalah air Kelas 1 dan sangat jernih. Semua perkhidmatan ini disediakan secara percuma oleh Sang Pencipta secara semula jadi.

Namun, seiring dengan masa, ekosistem hutan berdepan ancaman kemerosotan fungsi dan integritinya akibat tuntutan pembangunan dan ekonomi. Merujuk ekosistem hutan paya bakau yang mengalami kemerosotan drastik, kesan-kesan negatifnya telah kelihatan, antaranya kemerosotan hasil tangkapan nelayan merangkumi ikan, ketam dan kerang yang sebahagiannya berpunca daripada kehilangan kawasan hutan paya bakau yang menjadi tempat pembiakan hidupan laut. Pada masa yang sama, ia turut mengakibatkan masalah hakisan pantai yang disebabkan oleh kehilangan penahan ombak semula jadi ini. Pemendapan sedimen di muara sungai kesan daripada kemusnahan kawasan hutan paya bakau pula menjejaskan kawasan muara sungai dan mengakibatkan banjir terutamanya selepas hujan lebat dan semasa air pasang besar.

Kegiatan meneroka Hutan Simpan Kekal dengan ghairah turut mengakibatkan konflik antara manusia dan haiwan liar. Pada Oktober 2019 dilaporkan, terdapat lebih 180 kes gajah keluar dari habitat asal bagi mencari makanan. Kebanyakan gajah tersebut dilaporkan keluar dari hutan simpan sekitar negeri Pahang, seperti Hutan Simpan Kemasul (Temerloh), Hutan Simpan Kota Gelanggi (Jerantut) dan juga Hutan Simpan Lesong di Rompin disebabkan habitat asalnya sudah diteroka kepada ladang dan kebun.

Justeru, pihak berkuasa di peringkat negeri dan daerah perlu memastikan setiap perancangan pembangunan membabitkan penukaran guna tanah hutan tidak bercanggah dengan pelan perancangan fizikal terutama Rancangan Fizikal Negara (RFN). RFN mengenalpasti fragmentasi (pemecahan) hutan sebagai ancaman kepada pemeliharaan hutan dan kepelbagaian hayat. Tidak dinafikan sektor pembalakan adalah penting sebagai sumber pendapatan kerajaan negeri. Namun, sudah tiba masanya pelaksanaan bayaran perkhidmatan ekosistem (PES) bagi melestarikan sumber hutan dilaksanakan demi kelestarian hutan, masyarakat dan negara. Konsep 'forest beyond timber' ini memberi penekanan aktiviti pembalakan bukan sebagai salah satu punca utama hasil kepada kerajaan negeri, sebaliknya melihat perkhidmatan hutan dalam memainkan peranan daripada segi eko-pelancongan, biodiversiti dan perubatan dalam menjana pendapatan bagi pihak negeri pada masa hadapan. Hakikatnya, hanya dengan perancangan dan pengurusan yang lestari dapat meminimumkan kadar kehilangan kawasan berhutan dan mengelak berlakunya fragmentasi hutan.

Oleh : Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman, Ketua Laboratori,  Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik & Kewarganegaraan, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), UPM

Tarikh Input: 12/07/2022 | Kemaskini: 19/07/2022 | nooryati

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
SXETUAp~