ANCAMAN TERHADAP SEKURITI MAKANAN GLOBAL | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
» ARTIKEL » ANCAMAN TERHADAP SEKURITI MAKANAN GLOBAL

ANCAMAN TERHADAP SEKURITI MAKANAN GLOBAL

Pada tahun 2021, penduduk dunia yang berdepan isu kelaparan meningkat kepada 193 juta akibat konflik, perubahan iklim dan krisis ekonomi. Konflik dan isu keselamatan menjadi punca utama kebuluran melampau di 24 negara, membabitkan 139 juta penduduk. ‘Kejutan' ekonomi diburukkan lagi oleh pandemik COVID-19 yang menjejaskan bekalan makanan kepada 30.2 juta penduduk di 21 negara. Cuaca melampau pula menyebabkan kekurangan makanan serius bagi 23.5 juta penduduk di negara Afrika.

Selain itu, hampir 40 juta lagi individu terjerumus dalam krisis 'keselamatan makanan yang teruk' di 53 buah negara dengan Republik Demokratik Congo, Ethiopia, Yaman dan Afghanistan paling teruk terkesan, terutama Afghanistan yang menyaksikan jutaan penduduknya kelaparan selepas negara itu terjerumus dalam krisis kewangan selepas Taliban mengambil alih pemerintahan. Justeru menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) memerlukan AS$1.5 bilion (RM6.5 bilion) untuk menstabilkan dan menambah pengeluaran makanan di kawasan berisiko tinggi di mana musim penanaman bermula. Justeru, menurut Ketua Persatuan Antarabangsa Pengilang Dalam Operasi Eurasia, Eren Gunhan Ulusoy, semua institusi antarabangsa bersetuju dunia akan menghadapi krisis kelaparan yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Antara agensi berkaitan adalah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Pada tahun 2021, sebahagian besar daripada 140 juta penduduk bergelut dengan isu kelaparan teruk di seluruh dunia.

Pergolakan pasaran dunia semakin meruncing apabila sesetengah negara mempertimbangkan untuk mengurangkan eksport dalam memastikan bekalan domestik mencukupi. Indonesia misalnya menggantung eksport minyak sawit bagi menghadapi kekurangan bekalan dalam negara mendorong harga minyak sayuran melonjak ke paras tertinggi baharu. India pula melarang eksport gandum ketika gelombang haba akibat cuaca panas terik menjejaskan hasil tanaman dan harga tempatan mencecah rekod paras tertinggi. Larangan eksport ini boleh mengakibatkan harga global gandum melonjak ke paras baharu, sekali gus menjejaskan pengguna miskin di Asia dan Afrika.

Hal ini kerana, pembeli global mengharapkan negara pengeluar gandum kedua besar di dunia ini untuk bekalan gandum, selepas eksport dari wilayah Laut Hitam merudum susulan krisis pencerobohan Russia terhadap Ukraine. Tindakan Russia menyekat semua pelabuhan di Laut Hitam, sekali gus menghalang eksport bijirin dan produk makanan lain dari Ukraine bakal mencetuskan krisis makanan yang bakal menjejaskan Eropah, Asia dan Afrika. Hal ini kerana kelazimannya, Ukraine mengeksport 75 peratus bijirin yang dihasilkannya dan menjana sekitar 20 peratus daripada hasil eksport tahunan negara itu.

Ukraine sebelum ini dikenali sebagai 'bakul makanan dunia'. Namun, peperangan tersebut menjejaskan pengeluaran dan penghasilan sumber makanan Ukraine diancam oleh faktor seperti gangguan logistik, kehilangan akses kepada tanah pertanian, kekurangan buruh, kerosakan tanaman dan kemusnahan aset dan infrastruktur sistem makanan. Sekatan Barat ke atas Russia pula menyebabkan Moscow bertindak balas dengan membekukan eksport baja.

Russia dan Ukraine, dengan kawasan penanaman bijirin yang luas adalah antara pengeluar utama makanan dunia dengan menyumbang sebahagian besar eksport dunia dalam beberapa komoditi utama seperti gandum, minyak sayuran dan jagung. Kedua-dua negara menyediakan 19 peratus daripada bekalan barli dunia, 14 peratus gandum dan 4 peratus jagung, sekali gus membentuk lebih satu pertiga daripada eksport bijirin global. Kedua-duanya juga menyumbang 52 peratus daripada pasaran eksport minyak bunga matahari dunia.

Bertambah malang, beberapa negara yang dibelenggu krisis makanan mengimport hampir semua gandum dari Russia dan Ukraine, termasuk Somalia, Republik Demokratik Congo dan Madagascar. Justeru, menurut Setiausaha Agung PBB, António Guterres, isu keselamatan makanan global tidak dapat diselesaikan tanpa Ukraine, Russia dan Belarus kembali ke pasaran dunia. Masalah ini tidak akan selesai tanpa membawa kembali Ukraine sebagai pengeluar hasil pertanian dan makanan manakala Russia dan Belarus selaku pembuat baja utama. Hakikatnya, hasil tanaman akan berkurang sehingga 50 peratus tanpa adanya baja.

Menurut FAO, impak yang paling ketara dari peperangan tersebut adalah, harga komoditi makanan dunia khususnya bijirin ruji dan minyak sayuran membuat lonjakan ketara di pasaran pada Mac untuk mencapai paras tertinggi akibat kesan perang di rantau Laut Hitam. Pada bulan Februari sahaja, indeks harga makanan melonjak sebanyak 12.6 peratus, iaitu lonjakan ke tahap tertinggi sejak tahun 1990. Rusia dan Ukraine menyediakan kira-kira 29 peratus daripada perdagangan gandum global, gangguan serius dalam pengeluaran dan eksport boleh menyebabkan harga makanan yang sudah berada pada paras tertinggi dalam tempoh 10 tahun akan lebih tinggi lagi. Impak paling ketara adalah harga gandum meningkat sehingga 40 peratus sejak Russia menceroboh Ukraine pada 24 Februari lalu. Ini seterusnya akan menghakis jaminan keselamatan makanan untuk jutaan orang, terutama yang sudah mengalami tekanan kerana tahap inflasi makanan yang tinggi di negara masing-masing.

Lebih buruk lagi, krisis peperangan tersebut mengancam Program Makanan Sedunia (WFP) yang bertanggungjawab membantu kira-kira 125 juta individu di seluruh dunia. Pengarah Eksekutif WFP, David Beasley, memberi amaran bahawa perang terbabit bukan saja berisiko memusnahkan program tersebut, malah akan menukar peranan Ukraine yang sebelum ini bertindak sebagai pembekal makanan dunia. Sebanyak 50 peratus daripada bijirin yang dibeli oleh WFP, iaitu cawangan bantuan makanan PBB adalah dihasilkan oleh Ukraine. Perkembangan terkini yang berlaku di Ukraine akan menjejaskan program bantuan makanan WFP, apatah lagi peningkatan harga boleh menyebabkan agensi itu menanggung kos antara AS$60 juta (RM250 juta) hingga AS$75 juta (RM313 juta) sebulan dalam kos operasi. Menurut WFP tahap kelaparan boleh menjadi bencana sekiranya krisis Ukraine bakal menaikkan harga makanan. Harga makanan antarabangsa dijangka meningkat hingga 20 peratus akibat konflik di Ukraine.

Pakar turut memberi amaran bahawa perang Russia di Ukraine berisiko menyebabkan kebuluran yang berisiko bertukar menjadi kebuluran dan kematian besar-besaran. Menurut PBB, isu keselamatan makanan yang teruk berlaku apabila seseorang tidak mampu mendapatkan jumlah makanan mencukupi dan keadaan itu mengancam nyawa atau kelangsungan hidup secara serta merta. Semua perkembangan itu memaksa WFP mengurangkan catuan untuk jutaan orang seperti Yaman. Malah, WFP mungkin mencapai tahap terdesak sehingga terpaksa mengambil makanan daripada kanak-kanak yang lapar untuk diberi kepada golongan yang kebuluran. WFP dan agensi kanak-kanak UNICEF melalui satu kenyataan bersama menyatakan keadaan kemanusiaan dijangka bertambah buruk antara Jun dan Disember depan. Manakala Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) berpendapat, ia sekali gus boleh turut mencetuskan lonjakan masalah kekurangan zat makanan global.

Pencerobohan besar-besaran Russia ke atas Ukraine memberi impak sekunder yang meluas.Natijahnya, sekiranya konflik di Ukraine tidak ditamatkan dunia akan menerima kesannya, khususnya memburukkan lagi krisis makanan global berkaitan aspek sekuriti makanan. Ternyata, peluru dan bom di Ukraine boleh membawa krisis kebuluran global ke tahap melebihi apa yang kita lihat sebelum ini.

Oleh : Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman, Ketua Laboratori,  Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik & Kewarganegaraan, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), UPM

Tarikh Input: 19/07/2022 | Kemaskini: 19/07/2022 | nooryati

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
SXEZUAS~