Oleh: Dzuhailmi Dahalan
Pegawai Penyelidik Kanan
Laboratori Kesejahteraan Belia dan Komuniti
Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kerjaya sebagai penghantar makanan atau barangan atau lebih dikenali sebagai pekerja p-hailing semakin mendapat tempat dalam kalangan belia. Lonjakan penyertaan ini amat ketara khususnya di Lembah Klang, berikutan ledakan permintaan dalam sektor ekonomi gig selepas pandemik COVID-19.
Fleksibiliti masa bekerja, peluang menjana pendapatan segera selain kebebasan menentukan kawasan operasi menjadi antara tarikan utama. Namun, di sebalik semua kelebihan ini, satu persoalan besar yang wajar diteliti ialah: apakah kesejahteraan psikologi golongan belia p-hailing turut terjamin?
Hasil Kajian Awal
Satu kajian pre-liminari telah dijalankan oleh sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia melibatkan belia berumur antara 16 hingga 30 tahun yang bekerja sebagai p-hailing di Lembah Klang baru-baru ini. Kajian ini menilai enam dimensi kesejahteraan psikologi berpandukan model Ryff iaitu Penerimaan Diri, Hubungan Sosial, Autonomi, Penguasaan Persekitaran, Tujuan Hidup dan Pemajuan Diri.
Hasil kajian mendapati tiga dimensi utama, iaitu Penguasaan Persekitaran, Pemajuan Diri dan Autonomi berada pada tahap tinggi. Ini menggambarkan bahawa kebanyakan responden berasa mampu mengawal kehidupan mereka, memiliki kebebasan membuat keputusan dan sentiasa berusaha memperbaiki diri.
Namun begitu, tiga dimensi lain Penerimaan Diri, Hubungan Positif dengan Orang Lain dan Tujuan Hidup hanya berada pada tahap sederhana. Ini memberi gambaran wujudnya jurang antara kebebasan bekerja dengan kesejahteraan jiwa yang lebih mendalam.
Sepenuh Masa vs Sambilan
Dapatan turut menunjukkan bahawa pekerja p-hailing sepenuh masa mencatat tahap Pemajuan Diri yang lebih tinggi berbanding mereka yang bekerja secara sambilan. Ini berkemungkinan disebabkan oleh keterlibatan yang lebih intensif dalam kerjaya, sekali gus membuka ruang untuk pengalaman dan pembangunan kendiri yang lebih besar.
Namun, dari aspek lain seperti hubungan sosial dan makna hidup, tiada perbezaan ketara antara dua kumpulan ini. Ini mungkin kerana sifat pekerjaan p-hailing yang lebih bersifat individualistik, berorientasikan hasil serta dikawal oleh platform digital.
Perlu Sokongan Lebih Tersusun
Ketiadaan struktur sokongan sosial yang kukuh, ketidaktentuan pendapatan serta tekanan harian berkemungkinan memberi kesan jangka panjang terhadap kesejahteraan psikologi golongan belia dalam kerjaya ini. Fenomena 'kesunyian kerja' dan 'kekaburan hala tuju hidup' bukan lagi mitos, sebaliknya realiti yang semakin ketara dalam dunia ekonomi gig hari ini.
Oleh itu, pelbagai pihak berkepentingan seperti penyedia platform digital, kementerian dan agensi pembangunan belia perlu berganding bahu mewujudkan ekosistem kerja yang lebih seimbang. Inisiatif seperti program pembangunan diri, bimbingan psikologi, jaringan komuniti dan perlindungan sosial wajar diperkukuh.
Kesimpulan
Kerjaya p-hailing bukan sekadar soal mencari rezeki harian. Ia turut mencorakkan identiti dan kesejahteraan mental para belia yang menceburinya. Sekiranya dibiarkan tanpa intervensi yang wajar, terdapat kebimbangan untuk generasi muda yang terlibat terperangkap dalam kitaran pekerjaan fleksibel namun memiliki kekosongan jiwa seperti kehilangan arah dari segi emosi dan makna kehidupan. Sudah tiba masanya sektor ekonomi gig dilihat secara holistik, bukan sekadar sebagai ruang menjana pendapatan, tetapi juga menjadi medan pembangunan insan yang lebih seimbang dan lestari.
Tarikh Input: 15/08/2025 | Kemaskini: 20/01/2026 | nm_aini
