BENDUNG KLUSTER WARGA ASING | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
» ARTIKEL » BENDUNG KLUSTER WARGA ASING

BENDUNG KLUSTER WARGA ASING

Artikel asal sebelum diterbitkan dalam Sinar  pada 11 Mei 2020

Oleh Haliza Abdul Rahman

Sumber : Sinar Harian 11 Mei 2020

 

 

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga dan empat jelas memperlihatkan trend peningkatan jangkitan kes koronavirus (Covid-19) yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan warga asing di Malaysia.

Perkara itu perlu ditangani segera kerana pada tahun 2019 sahaja, Bank Dunia menganggarkan jumlah pekerja asing di Malaysia adalah antara 1.23 juta dan 1.46 juta, termasuklah ribuan pelarian warga Rohingya. Malahan, Malaysia juga menghadapi masalah pekerja asing tanpa izin yang mengikut anggaran, mungkin menyamai jumlah mereka yang bekerja secara sah.

Berdasarkan cerapan kes fasa ketiga PKP, jangkitan kes dalam kalangan warga asing menyumbang 11.5 peratus daripada jumlah jangkitan di Malaysia. Sehingga 16 April 2020, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengesan sebanyak 601 kes positif Covid-19 dalam kalangan mereka. Risiko penularan jangkitan dalam kalangan warga asing adalah tinggi berikutan kebanyakan mereka tinggal di dalam penempatan yang padat dan kotor.

Paling membimbangkan ialah ada antara mereka sedar bahawa mereka mempunyai simptom wabak tetapi tidak mahu menjalani ujian saringan, mungkin disebabkan takut atau ambil ringan terhadap perkara itu.

Maka tidak hairanlah apabila jangkitan penularan dapat merebak secara pantas dan meluas dalam kalangan warga asing jika terdapat satu kes jangkitan dalam kalangan mereka, seperti yang berlaku di Singapura.

Singapura merekodkan jangkitan Covid-19 yang tinggi iaitu melebihi 50 peratus kalangan pekerja asing yang bekerja di republik tersebut.

Terbaharu, satu lagi kluster dikesan membabitkan pekerja warga asing di Setia Alam, Selangor yang membabitkan pekerja tapak pembinaan yang sudah menjangkiti 12 warga Bangladesh. Jangkitan menular dengan cepat dalam kalangan pekerja asing terbabit akibat berkongsi tempat kediaman yang sama.

‘Kluster Pedas’ pula membabitkan pekerja kilang warga asing yang turut menyaksikan peningkatan kes apabila seramai 28 pekerja didapati positif menjadikan jumlah keseluruhan 81 kes.

Wujud juga kluster baharu membabitkan pengawal keselamatan seperti di pusat beli-belah di Cheras yang sudah menjangkiti 10 individu dengan sembilan yang dijangkiti adalah warga Nepal, manakala seorang lagi warganegara Malaysia.

Koloni buruh warga asing yang berselerakan di sekitar Lembah Klang berisiko tinggi mencetuskan kluster baharu jangkitan wabak Covid-19 di negara ini, sekali gus berpotensi merencatkan usaha KKM mengawal penularan pandemik itu ketika ini.

Penempatan buruh warga asing dikesan berada di sejumlah lokasi sekitar Lembah Klang antaranya di Kota Raya, Jalan Silang, Jalan Klang Lama, Chow Kit, Kampung Bharu, Selayang, Cheras, Cyberjaya, Gombak dan Bandar Bukit Sentosa membabitkan warga asing dari Bangladesh, Myanmar, Vietnam, Indonesia, Afrika, China, Pakistan dan etnik Rohingya yang masuk ke negara ini sama ada secara sah, haram atau pelarian.

Langkah berterusan pihak berwajib mengesan lokasi warga asing perlu diteruskan dengan giat terutama lokasi tersorok lubuk kes seperti Malayan Mansion, Selangor Mansion dan beberapa tempat lagi yang menjadi penempatan majoriti warga asing.

Isu ini tidak semudah yang disangka kerana sekiranya KKM ingin melakukan ujian saringan di semua lokasi penempatan warga asing secara besar-besaran, sudah tentu memerlukan kos yang tinggi. Persoalannya, siapa yang perlu menanggung kos berkenaan, kerajaan, majikan atau warga asing itu sendiri?

Usaha menangani krisis perlu dipertingkatkan segera dengan penelitian lebih rapi dilakukan dengan pemantauan mengesan kewujudan kluster baharu kalangan pekerja asing, terutama di kawasan berhampiran kes Covid-19 yang disahkan. Kita perlu sama-sama bertindak segera membendung penularan virus ini sebelum sebahagian besar penduduk dijangkiti! Ada antara mereka sedar bahawa mereka mempunyai simptom wabak tetapi masih tidak menjalani ujian saringan.”

 

Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman
Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia
Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia
haliza@upm.edu.my

Tarikh Input: 15/05/2020 | Kemaskini: 15/05/2020 | nm_aini

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
SXDdEAs~