ELAKKAN KLUSTER RAYA | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL
» ARTIKEL » ELAKKAN KLUSTER RAYA

ELAKKAN KLUSTER RAYA

Artikel asal telah diterbitkan dalam Sinar Harian pada 22 Mei 2020

Oleh Haliza Abdul Rahman 

TIDAK sampai seminggu lagi, umat Islam akan menyambut aidilfitri yang dijangka jatuh pada 24 Mei setelah selesai menunaikan ibadah puasa Ramadan. Sambutan aidilfitri tahun ini merupakan satu sejarah buat umat Islam di negara ini lantaran ia akan disambut semasa berlangsungnya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat pandemik koronavirus atau Covic-19. Kita berada pada fasa kelima PKP yang bermula pada 13 Mei dan dijangka tamat pada 9 Jun nanti.

Melaksanakan raya normal baharu 2020, masyarakat perlu menerima hakikat Aidilfitri bakal disambut ketika negara berdepan wabak Covid-19 serta sangat berbeza berbanding tahun sebelumnya.

Raya kali ini mungkin agak hiba kerana tidak dapat mencium tangan ayah bonda di pagi raya, apatah lagi merasa juadah istimewa yang disediakan di pagi raya memandangkan perjalanan rentas negeri tidak dibenarkan dalam tempoh tersebut.Keputusan kerajaan tidak membenarkan orang ramai pulang beraya itu wajar diambil dari sudut positif kerana Malaysia kini berada di landasan terbaik bagi memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

Percubaan merentas negeri untuk tujuan menyambut Aidilfitri bukan sahaja boleh menyebabkan individu dikenakan tindakan malahan mungkin mengundang padah dan menyumbang risiko kepada keluarga masing-masing dengan menyebarkan semula wabak Covid-19.

Justeru, jangan sekali-kali terlintas di fikiran untuk cuba merentas negeri tanpa kebenaran kerana tindakan tersebut boleh berakhir dengan dihukum mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342. Perjalanan rentas negeri hanya dibenarkan merangkumi jika berlaku kematian ahli keluarga terdekat, ahli keluarga sakit tenat, rawatan perubatan diri sendiri dan ahli keluarga dan lain-lain perkara atas pertimbangan ketua polis balai.

Larangan rentas negeri bukan saja-saja hendak dilaksanakan, tetapi tujuannya adalah untuk mengelakkan penularan wabak Covid-19. Hal ini kerana timbul kesukaran untuk memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan berkaitan pencegahan Covid-19, menjadi punca mengapa pulang ke kampung yang merentasi negeri untuk sambutan Aidilfitri dan juga ziarah tidak dibenarkan.

Tindakan kerajaan ini berasas kerana berlandaskan kes sebelum ini, yang mana sebanyak 971 kes positif Covid-19 atau 14.1 peratus daripada jumlah keseluruhan 6,894 kes mempunyai sejarah merentas negeri. Perjalanan rentas negeri juga telah mewujudkan sebanyak 18 kluster daripada jumlah keseluruhan 49 kluster yang pernah dicatatkan di Malaysia.

Normal baharu

Bagi yang bakal beraya di daerah sama, nasib mereka mungkin agak beruntung kerana dapat berjumpa sesama ahli keluarga bagi mengeratkan silaturahim. Namun mereka juga perlu mengikut norma baru perayaan seperti diputuskan oleh pihak berwajib.

Antaranya, perjumpaan besar-besaran tidak dibenarkan. Jumlah maksimum yang dibenarkan ketika perjumpaan sewaktu ziarah hanya terhad kepada 20 orang pada satu masa bergantung kepada keluasan rumah yang dikunjungi serta wajar mematuhi segala SOP ditetapkan. Selain itu, mereka perlu memastikan normal baharu diamalkan seperti tidak bersalaman, mengamalkan penjarakan sosial, menggunakan penutup muka selain menentukan tempoh masa perjumpaan ini tidak terlalu lama iaitu melebihi 60 minit.

Bersalaman misalnya dicegah kerana virus berpotensi berjangkit dari seseorang kepada seseorang yang lain menerusi sentuhan. Semua SOP ini sememangnya berasas walaupun nampak remeh, maka patuhilah! kerana sebenarnya inilah perkara penting yang mesti lakukan untuk bersama-sama membendung penularan wabak Covic-19 di negara kita.Jangan hanya disebabkan kecuaian dan kealpaan setiap daripada kita ianya boleh menyebabkan jangkitan merebak kepada semua ahli keluarga serta saudara mara sehingga berpotensi mewujudkan ‘kluster raya’.

Apa yang paling membimbangkan ialah golongan kanak-kanak akan turut terdedah dan berisiko tinggi untuk terdedah kepada jangkitan jika langkah pencegahan yang disarankan gagal dipatuhi. Sehingga 16 Mei, sejumlah 317 kanak-kanak termasuk 22 bayi telah dijangkiti Covic-19, satu angka yang seharusnya dipandang serius! Justeru ibu-bapa perlu sentiasa bersiapsiaga memainkan peranan mereka bagi memastikan keselamatan anak masing-masih terpelihara di musim perayaan nanti.

Hakikatnya, tanpa pulang beraya ke kampung, sambutan hari raya tetap meriah dengan kaedah yang berbeza daripada segi penganjuran, pelaksanaan atau pun penghayatan. Antaranya menggunakan persidangan video seperti ‘zoom’ untuk beraya bersama keluarga tercinta dengan bertanya khabar dan berkongsi kegembiraan menyambut Syawal.

Elakkan daripada hari raya ini menjadi satu kluster baharu yang mana akibat seronok beraya di kampung, berlaku pula penularan baharu sama ada di kampung kalangan ahli keluarga mahupun di tempat kerja masing-masing kalangan rakan sekerja. Hargailah juga pengorbanan barisan hadapan negara yang bersengkang mata dan tenaga bagi mengekang pandemik Covic-19 ini, jangan sia-siakan segala usaha murni mereka. Marilah kita bersama-sama mengelakkan daripada wujudnya satu lagi kluster iaitu ‘kluster raya’!.

Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman
Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia
Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia
haliza@upm.edu.my

Tarikh Input: 27/05/2020 | Kemaskini: 27/05/2020 | nm_aini

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
0389471876
C1596910280