Impak Media Sosial Dalam Membentuk Identiti Budaya Belia Bandar | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS) ipsas
» ARTIKEL » Impak Media Sosial dalam Membentuk Identiti Budaya Belia Bandar

Impak Media Sosial dalam Membentuk Identiti Budaya Belia Bandar

Oleh : Nor Aini Mohamed

Dalam landskap metropolitan yang sentiasa berubah, belia bandar (golongan muda yang tinggal di kawasan bandar) berada di persimpangan antara tradisi dan kemodenan. Kehidupan mereka secara unik dibentuk oleh denyutan nadi bandar yang pantas dan ketersambungan digital yang tidak berpenghujung. Media sosial, meliputi platform seperti TikTok, Instagram, X (dahulunya Twitter), Threads dan Facebook telah beralih daripada sekadar alat komunikasi menjadi sebuah ekosistem utama di mana identiti dibina, dirundingkan, dan dipamerkan. Artikel ini mengupas impak pelbagai rupa media sosial dalam membentuk identiti budaya belia bandar, meneliti bagaimana ia bertindak sebagai pemangkin kepada asimilasi global dan pada masa yang sama, menjadi arena untuk penegasan semula nilai tempatan.

 

Bagi belia bandar, media sosial ialah tingkap utama mereka kepada dunia. Pendedahan yang berterusan kepada aliran (trends), ideologi, dan keindahan global sama ada muzik K -Pop, fesyen jalanan dari New York, atau aktivisme sosial dari Eropah secara tidak langsung menggalakkan satu bentuk asimilasi budaya.   Tambahan pula, terdapat kecenderungan dalam belia bandar untuk  penyeragaman cita rasa. Mereka mungkin mengamalkan bahasa slanga global sebagai contoh ‘slay’, vibes’, ‘ootd’, ‘grwm’ dan gaya hidup yang dipopularkan oleh pempengaruh tempatan dan antarabangsa. Ini boleh membawa kepada pencairan ciri-ciri budaya tempatan yang unik, dan digantikan dengan "budaya internet" yang lebih generik.

 

Walau bagaimanapun, belia bandar bukanlah penerima pasif. Mereka mahir dalam hibridisasi, iaitu mengadun unsur global dengan konteks tempatan. Contohnya, penggunaan TikTok untuk mencipta kandungan tarian dengan lagu antarabangsa tetapi diselitkan dengan elemen jenaka atau bahasa tempatan (bahasa rojak). Hasilnya bukanlah kehilangan identiti, tetapi penciptaan identiti budaya baharu yang dinamik dan berlapis, yang mencerminkan realiti dwi-budaya mereka.

 

Walaubagaimanapun,  kebimbangan utama kita ialah potensi media sosial untuk menghakis nilai-nilai budaya tempatan, seperti budi bahasa, semangat kemasyarakatan, atau adab sopan yang mungkin dilihat sebagai "ketinggalan zaman" berbanding budaya individualisme dan ekspresi diri tanpa had yang dipromosikan dalam talian.

 

Namun demikian, naratif sebaliknya juga berlaku dengan jelas dalam aspek pengukuhan identiti etnik dan budaya tempatan.  Media sosial menjadi platform kepada belia bandar untuk "menjenamakan semula" warisan mereka. Mereka menggunakan Instagram untuk mempamerkan keindahan batik atau baju kurung yang digayakan moden, mempromosikan makanan warisan di kawasan bandar, atau menggunakan X untuk mempertahankan penggunaan bahasa ibunda.

 Di samping itu, belia bandar juga menggunakan media sosial untuk membangkitkan isu-isu penting dalam komuniti mereka, daripada kesedaran alam sekitar di bandar hinggalah kepada pemeliharaan bangunan warisan. Ini menunjukkan pembentukan identiti sivik yang kuat, yang berakar umbi dalam konteks tempatan mereka.

 

Dalam erti kata lain, media sosial bertindak sebagai pedang dua mata. Ia boleh menjarakkan belia daripada akar umbi mereka, tetapi ia juga boleh menjadi alat paling berkuasa untuk mereka menemui semula dan meraikan akar umbi tersebut dengan cara yang relevan pada masa kini.

Tarikh Input: 11/11/2025 | Kemaskini: 20/01/2026 | nm_aini

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
X, (04:38:35am-04:43:35am, 08 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]