Karya Yang Bagaimana? | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
» ARTIKEL » Karya Yang Bagaimana?

Karya Yang Bagaimana?

Kebanjiran novel popular di pasaran melanda dunia sastera. Pembaca dimomokkan dengan kisah cinta teruna dara yang berleluasa. Kisah berantakan dalam rumah tangga yang merimaskan, dan sangat tidak sesuai untuk bacaan anak muda. Deretan tajuk novel popular yang bermula dengan pangkal “cinta”, “kasih”, “sayang” dan “rindu” berlambak di pasaran, dan segelintirnya pula diadaptasi menjadi drama televisyen dengan plot yang mengasyikkan penonton khasnya remaja. Sebenarnya, fenomena ini amat merisaukan kerana seolah-olah karya sastera ketandusan kisah yang berguna untuk manfaat generasi muda. Antara novel terbabit adalah “7 Hari Mencintaimu”, “Jangan Benci Cintaku”, “Curi-curi Cinta”, “Rindu Awak 200%” dan sebagainya.

Selain itu, terdapat juga selonggok novel yang menggunakan bahasa slanga, dan bahasa rojak yang menyerlahkan kejelekan yang nyata, dan ketara. Malahan sejak akhir-akhir ini pula muncul novel picisan yang diramu dengan plot ranjang yang menjengkelkan sekiranya dibaca. Judul seperti “Cinta Berbunga Dusta”, “Asalkan Dia Bahagia”, “My Boss Tengku Zaffryel” jelas memperaga watak-watak yang kehausan cinta, dan paling jelek apabila terdapat adegan berbaur seks tanpa rasa bersalah kala menulisnya.  Apa yang berlaku dalam dunia penerbitan tanah air, dan mengapa barisan novel sebegini rupa “laris”, dan “bebas” dijual di merata-rata?

Musabab itu tidak pelik dalam kalangan anak muda hari ini yang punah akhlaknya. Musabab itu tidak janggal dalam kalangan remaja kini yang terang-terangan melakukan kemungkaran kerana terpengaruh dengan novel yang dibacanya. Musabab itu agak aneh dalam kalangan masyarakat hari ini yang tanpa segan dan silu memiliki novel popular dan picisan lantaran mudah memperolehnya. Amat mendukacitakan lantaran penulis yang memperihalkan kisah dalam novel popular dan novel picisan tanpa rasa bersalah, sekali gus merasa bangga. Mengapa hal demikian terjadi, dan bagaimana kesudahan anak bangsa kita?

Apakah karya yang selayaknya buat para pembaca? Sementelahan untuk diajukan kepada generasi muda? Setelah sekian lama tanah air bebas daripada cengkaman penjarah, adakah masih lagi mahu berkiblatkan Barat yang bebas memperaga kisah bobrok dan jelek dengan sesukanya? Kisah berantakan rumah tangga, konflik cinta teruna dara dan plot adegan ranjang telah dibentangkan dalam novel pada dekad 1940-an, 1950-an dan 1960-an, justeru perlukah hal ini diulanginya? Walhal dalam perkembangan sastera Melayu tanah air, gagasan sastera Islam telah muncul pada dekad 1970-an, 1980-an dan 1990-an. Malahan pada dekad 2000-an, terbentang pelbagai teori dan pendekatan Islam yang dimanfaatkan pengkaji sastera.

Justeru, apakah yang wajar dibangunkan para pengarang untuk tatapan khalayaknya? Kesedaran tentang kepentingan agama Islam sebagai tunjang dalam pengkaryaan sewajarnya dilipat ganda. Lantaran nilai-nilai luhur yang terakam dalam agama boleh dijadikan iktibar untuk masyarakat sejagat kerana Islam merupakan agama yang syumul, dan sesuai dipraktiskan sepanjang zaman, dan masa. Salah satu daripadanya adalah pendekatan asmaul husna, iaitu mewujudkan kepatuhan pengarang terhadap keagungan Allah Ya Musawwir Yang Maha Pencipta. Berdasarkan al-Quran, jelas memperlihatkan asmaul husna diungkap dalam banyak surah, iaitu surah al-A’raf ayat 180, al-Ikhlas ayat 1, ar-Ra’d ayat 9, Hud ayat 41, al-Maidah ayat 4, al-Ahzab ayat 41, al-Isra’ ayat 44, an-Nur ayat 41, asy-Syura ayat 11, Thaha ayat 8, al-Isra’ ayat 110, al-Anfal ayat 49, dan al-Jumuah ayat 1. Surah-surah tersebut memperihalkan tentang nama-nama Allah SWT yang memiliki kemuliaan, dan keistimewaan tersendiri yang perlu diketahui manusia sebagai hamba di muka bumi sekali gus merasa gerun untuk berbuat noda.  Berdasarkan terjemahan surah-surah tersebut menunjukkan bahawa Allah SWT memiliki 99 nama yang mengajak manusia bermuhasabah dan bersemangat untuk menghasilkan karya yang dapat menumbuhkan mukhlis dalam jiwa. Berdasarkan misalnya terjemahan surah al-A’raf ayat 180: “Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling daripada kebenaran dalam masa menggunakan nama-nama-Nya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan” mengajak manusia ke arah kebaikan, kebenaran dan kemuliaan sepanjang masa. Berdasarkan 99 nama-nama Tuhan terserlah pemahaman tentang penciptaan Allah SWT sebagai pasak dalam penulisan yang dapat memberikan kesedaran kepada para pengarang tatkala berkarya.  Salah satu daripada asmaul husna, iaitu Al-Bari’ (Allah Yang Maha Mengatur), nama Tuhan ini dapat mengatur ilham penulis untuk membangunkan sebuah karya kreatif yang dapat mendidik jiwa pembaca kepada kehidupan yang mengandungi nilai-nilai murni. Ilham yang terpancar dalam diri penulis dapat menyuntik semangat dalam menghasilkan karya kreatif yang menghubung jalinkan dengan kebesaran, dan keagungan Allah SWT sebagai Yang Maha Pencipta. Justeru, setiap elemen yang ditulis akan mengarah kepada usaha memperlihat aturan terhadap kekuasaan-Nya. Setiap anyaman bahasa dan gaya bahasa akan mengarah kepada kekaguman manusia kepada Yang Maha Pencipta, yang mengatur segala gerak langkah kehidupan manusia di muka bumi ini. Oleh itu, dalam sebuah karya kreatif, usaha untuk membimbing pembaca kepada kebaikan, keindahan dan kebenaran perlu berpaksikan kepada garapan bahasa dan gayabahasa yang mengajak khalayak kepada al-Bari’, Allah Yang Maha Mengatur dalam segala aspek lingkaran hidup manusia.

Pendekatan asmaul husna dalam pengkaryaan dapat membentuk keperibadian mulia anak muda yang terumbang ambing mencari arah yang memerlukan satu contoh tauladan, dan panduan. Maka, bimbingan bersandarkan nilai-nilai luhur sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara amat diperlukan dalam mengasah bakat yang ada dalam kalangan pengarang tanah air. Karya sastera yang tumbuh bagai cendawan di pasaran hari ini patut dikawal selia penghasilannya dengan memperkenalkan ilham asmaul husna sebagai tunjang dalam pengkaryaan. Dengan menampilkan ilham asmaul husna dalam karya sastera sekurang-kurangnya dapat memandu pengarang agar tidak tergelincir daripada landasan tatkala menulis. Unsur-unsur erotis, pergaulan bebas antara teruna-dara dan masalah sosial yang sangat ketara dalam masyarakat hari ini setidak-tidaknya dapat dibanteras dengan menyuguh hasil karya sastera yang mengarah kepada pembangunan akhlak mulia. Bak ungkap Abdul Qadir al-Jailani: “Biasakan untuk mendengar nasihat-nasihat, sebab hati ketika kosong dari nasihat maka akan buta”, ayuh tulis dan bacalah karya yang bermutu, dan bermakna!

Oleh : 

KAMARIAH KAMARUDIN

Tarikh Input: 25/08/2022 | Kemaskini: 25/08/2022 | nooryati

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
SXEaIAF~