PERLUNYA INSURAN BENCANA ALAM | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
» ARTIKEL » PERLUNYA INSURAN BENCANA ALAM

PERLUNYA INSURAN BENCANA ALAM

Keadaan cuaca di Malaysia semakin tidak menentu dan di luar jangkaan. Natijahnya, perubahan iklim menyebabkan negara berisiko dilanda pelbagai bentuk bencana yang semakin kerap, khususnya banjir, tanah runtuh dan  ribut kencang. Bencana alam adalah kejadian yang berlaku tanpa campur tangan manusia, yang memberi kesan negatif terhadap kehidupan dan manusia. Dalam banyak kes, manusia bertanggungjawab terhadap keseriusan sesuatu bencana alam kesan penyelewengan teknikal, kelalaian, atau akibat dari perancangan pembangunan yang tidak lestari.

Malaysia dijangka terus berdepan situasi bencana alam luar biasa yang lebih kerap pada masa akan datang selain berlaku di kawasan yang langsung tidak dijangka. Tiada siapa menyangka daerah Jelebu, Negeri Sembilan yang direkodkan sebagai kawasan paling kering pun boleh dilanda banjir luar biasa. Justeru, insuran perlindungaan akibat bencana alam kini menjadi suatu keperluan yang tidak boleh di kesamping sepertimana insurans perlindungan pinjaman dan kenderaan demi meringankan bebanan mereka yang mangsa dan juga kerajaan. Bencana memperlihatkan kita tentang kerugian yang terpaksa ditanggung oleh mangsa akibat kemusnahan harta benda termasuk tempat tinggal dan juga kenderaan yang ditenggelami banjir. Misalannya, banjir besar melanda negara pada penghujung tahun 2021 menyaksikan 48 nyawa terkorban manakala nilai kerugian keseluruhan dianggarkan mencecah RM6.1 bilion.

Rakyat Malaysia harus faham bahawa mereka mempunyai tanggungjawab dalam mendapatkan perlindungan yang mencukupi, dan perlindungan yang tepat untuk aset mereka berdasar kemampuan masing-masing. Namun, masih ramai isi rumah di Malaysia tidak mengambil insurans caruman perlindungan bencana alam. Hakikatnya, perlindungan insuran bencana alam sememangnya sudah lama ditawarkan tetapi ramai yang tidak melanggan perlindungan itu disebabkan premium tambahan yang perlu dijelaskan. Selain itu, kadar pengambilan perlindungan bencana yang rendah disebabkan ramai berpendapat faktor geografi Malaysia yang bukan dalam jajaran bencana alam seperti kebanyakan negara lain. Allianz General melaporkan hanya 11 peratus atau dalam 123,000 dari 1.11 juta pelanggan memilih perlindungan peril khas dalam perlindungan komprehensif kereta persendirian pada 2021. Walau bagaimanapun, berikutan banjir besar tahun lalu, Syarikat telah menyaksikan kadar pengambilan sebanyak 22 peratus dari 68,000 pelanggan (baharu dan pembaharuan) antara 1 hingga 17 Januari 2022.

Terdapat beberapa syarikat insuran di Malaysia yang menawarkan insuran bencana alam merangkumi banjir, tanah runtuh dan lain-lain seperti Alliance, Zurich, Etiqa Takaful, Axa Affin, AM by Ambank, RHB Insurance. Special Perils Coverage adalah satu bentuk perlindungan insuran untuk kenderaan akibat daripada bencana alam. Ini termasuk banjir, ribut taufan, tanah runtuh atau pokok tumbang. Sekiranya kenderaan kita terlibat dalam mana-mana musibah berkaitan bencana alam, maka kita tidak perlu lagi pening kepala untuk membelanjakan wang daripada poket sendiri untuk membaiki kenderaan tersebut kerana semuanya ditanggung oleh pihak insuran.

Secara keseluruhannya, kadar perlindungan untuk special perils ini tidak melebihi 1%, malah ada yang menawarkan serendah 0.2% dan ada yang setinggi 0.5%. Oleh kerana kiraannya adalah berdasarkan jumlah keseluruhan perlindungan kenderaan, secara asasnya semakin mahal kenderaan itu, semakin tinggi juga jumlah yang perlu dibayar untuk insuran tersebut. Jika nilai semasa perlindungan kereta adalah sejumlah RM50,000 dan anda mengambil insurans untuk mendapatkan Special Perils Coverage, jumlah yang perlu ditambah hanyalah sekitar 0.2 % sahaja iaitu sebanyak RM100 bersama dengan insuran kereta tahunan yang dilanggan. Insurans bencana alam untuk rumah pula melindungi dua perkara penting iaitu, bangunan rumah dan harta benda yang ada di dalam rumah.

Ringkasnya, insuran bencana bermatlamat untuk mengurangkan kerugian dan memulihkan kehidupan dan perniagaan mangsa bencana. Dianggarkan antara RM2 hingga RM3 bilion tuntutan berkaitan banjir diterima industri insurans am susulan bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada penghujung disember 2021. Maka, adalah berbaloi mengambil Special Perils Coverage yang ditawarkan oleh syarikat insuran, kerana ia bukan sahaja dapat melindungi kos kerosakan akibat banjir sahaja, tetapi juga bencana alam seperti tanah runtuh, malah pokok tumbang yang menimpa kereta kita walaupun di mana kita berada selagi mana kita mengambil insurans tambahan bencana alam ini.

Tarikh Input: 07/10/2022 | Kemaskini: 07/10/2022 | nooryati

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
SXEUOA5~