Perniagaan Makanan Atas Talian Perlu Dipantau Mengikut Akta Makanan Sedia Ada | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
» ARTIKEL » Perniagaan makanan atas talian perlu dipantau mengikut Akta Makanan sedia ada

Perniagaan makanan atas talian perlu dipantau mengikut Akta Makanan sedia ada

Media masa kelmarin melaporkan seorang dari mangsa kes keracunan puding buih di Trengganu meninggal dunia. Insiden keracunan makanan itu telah mula dilaporkan pada musim Aidilfitri. Ia merupakan satu peristiwa yang menyedihkan kita semua masyarakat di Malaysia.

Dalam konteks latarbelakang kemudahan asas  iaitu bekalan air bersih, kebersihan sekitaran dan kualiti makanan di Malaysia dibandingkan dengan  taburan penyakit bawaan makanan, kejadian kematian akibat penyakit bawaan makanan untuk negara seperti negara kita sebenarnya adalah satu tragedi. Ia merupakan impak serius yang perlu diberi perhatian serta memerlukan langkah penyelesaian segera yang relevan.

Umum mengetahui, dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, perniagaan atas talian merupakan platform utama dalam kebanyakan trasaksi barangan keperluan. Ini juga melibatkan penjualan bahan makanan kering dan juga makanan yang siap dimasak. Kementerian Kesihatan Malaysia telahpun mengeluarkan Garis Panduan Penyediaan Makanan yang dijual atas talian untuk diiikuti oleh pengendali yang terlibat. Garis panduan lengkap  (http://fsq.moh.gov.my/v6/xs/page.php?id=441000617) bertarikh 20 April itu adalah antara garis panduan terbaharu yang disediakan untuk memenuhi keperluan semasa dalam temph PKP ini.

Namun begitu, garis panduan bertarikh 20 April itu mungkin tidak begitu disedari oleh sebahagian mereka yang terlibat. Ini mungkin sisebabkan ianya hanya wujud sebagai garis panduan yang memberi syor dan saranan sahaja tanpa sebarang penguatkuasaan peraturan. Sehingga kini tiada perubahan dalam Akta Makanan sedia ada untuk menguatkuasakannya untuk mereka yang terlibat dalam perniagaan makanan atas talian.

Dalam peraturan sedia ada di bawah Akta Makanan 1983, semua pengendali makanan perlu menghadiri Kursus Penyediaan Makanan, wajib menerima suntikan untuk mencegah demam kepialu serta premis makanan dan cara pengendalian mereka diperiksa serta dipantau dari masa ke semasa. Untuk memastikan lesen yang diperolehi tidak digantung atau ditarik balik serta mengelakkan premis makanan mereka dari disita, pengendali makanan perlu mematuhi semua peraturan di bawah Akta Makanan tersebut.

Bagaimanapun, apabila seseorang terlibat dalam Perniagaan Atas Talian (Online business),  terdapat keperluan tertentu untuk dipatuhi sebelum liputan penguatkuasaan di bawah Akta makanan berkenaan dapat dilakukan. Berbanding dengan premis makanan yang sedia wujud di alam nyata di mana pemeriksaan dan pemantauan boleh dilakukan bila-bila masa, untuk perniagaan atas talian ini mereka biasanya mempunyai beberapa tempat penyediaan makanan serta kadang-kadang menyediakan makanan di tempat yang berbeza dari alamat yang dinyatakan. Terdapat juga mereka yang menjual makanan berkenaan tetapi tidak berdaftar secara sah menurut keperluan undang-undang. Keadaan ini menyukarkan proses penguatkuasaan dilakukan.

Disebabkan kewujudan perniagaan atas talian ini tidak begitu nyata pada pandangan masyarakat umum, sekaligus menyukarkan kerja-kerja pemantauan oleh Bahagian Kesihatan, dicadangkan untuk diwajibkan semua perniagaan atas talian untuk berdaftar dengan sistem di Kementerian Kesihatan sebelum dibenarkan berniaga. Kementerian kesihatan perlu bekerjasama dengan Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi untuk tujuan pemantauan peniagaan makanan atas talian berkenaan.

Satu sistem verifikasi untuk semua aktiviti pengendalian makanan  perlu diwujudkan di mana antaranya, aktiviti pengendalian makanan oleh peniaga perlu dirakamkan melalui kamera litar tertutup secara ‘live’ untuk dipantau bila-bila oleh pihak Kementerian. Secara alternatif, terdapat keperluan juga mewajibkan pengusaha makanan untuk menyiarkan secara ‘live’ penyediaan makanan mereka di laman media sosial masing-masing. Satu sistem penarafan mengikut bintang juga perlu diwujudkan di mana hanya pengendali yang mencapai kualiti tertentu melalui penilaian Kementerian dan orang awam sahaja yang dibenarkan untuk menghebahkan pemasaran mereka secara digital.

Dicadangkan juga untuk aplikasi atau Apps yang khusus untuk memasukkan semua data mereka yang telah berdaftar serta tahap kepatuhan pengendali makanan mematuhi garispanduan terbaharu Kementerian untuk digunapakai sebagai rujukan oleh orang awam. Meskipun cadangan ini dilihat agak sukar untuk dillaksanakan namun, keutamaan untuk memelihara nyawa masyarakat umum untuk mengelakkan kematian atau keracunan makanan yang serius perlu dijadikan asas motivasi untuk kita bersungguh-sungguh melakukan perubahan.

Gaya hidup kita sudah jauh berubah berbanding 20-30 tahun lalu. Melalui kewujudan alat perantis mudah alih, komunikasi kita yang semakin meluas melalui sistem digital dan juga platform media sosial, maka peraturan dan juga undang-undang juga perlu berubah secara beriringan. Tidak begitu sesuai untuk menguatkuasakan akta yang sudah berusia puluhan yang mana situasinya sudah jauh berbeza berbanding dengan apa yang kita alami pada masa sekarang.

Pendekatan drastik perlu segera dilakukan untuk mengelakkan berulangnya kes-kes keracunan serta komplikasi yang serius seperti kematian. Semua agensi terlibat perlu berganding bahu tanpa mendahulukan agenda-agenda lain selain dari kepentingan maysrakat awam. Tidak dinafikan perubahan itu adalah sesuatu yang agak sukar, namun melalui kesungguhan kita sepertimana yang telah kita tunjukkan dalam mendepani wabak covid19 perlu diteruskan untuk penyakit-penyakit berjangkit yang lain seperti kes keracunan makanan ini.

Prof Madya Dr Malina Osman

Pakar Perubatan Kesihatan Awam

Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM

malinaosman@upm.edu.my

0136298572

Tarikh Input: 27/09/2022 | Kemaskini: 27/09/2022 | nooryati

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
SXEUKAj~