Profesionalisme Kerja Belia Sebagai Medium Terbaik Pemimpin Belia Menyambung Khidmat | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
» ARTIKEL » Profesionalisme Kerja Belia sebagai medium terbaik pemimpin belia menyambung khidmat

Profesionalisme Kerja Belia sebagai medium terbaik pemimpin belia menyambung khidmat

Mesyuarat Agung Majlis Belia Malaysia (MBM) kali ke 71 akan di adakan pada 7 Mac 2022. Mesyuarat kali ini bakal menyaksikan pertandingan untuk jawatan utama. Terdapat kerisauan dalam kalangan kepimpinan sedia ada akan platform yang sesuai untuk mereka meneruskan khidmat bakti. Pada mereka jiwa belia dan rasa sayang mereka demi untuk membantu belia sedia ada terlalu mendalam. Manakan tidak, hampir separuh usia mereka dihabiskan untuk menerajui organisasi utama belia Malaysia. Bagi yang datang dari badan gabungan belia, samada mereka sedar ataupun tidak, mereka telah disediakan untuk menjadi pemimpin belia di peringkat kebangsaan sejak mereka mula menceburkan diri dalam persatuan. Proses pengkaderan kemimpinan belia ini sebenarnya berlaku secara organik. Bezanya adalah adakah mereka mendapat pendedahan, latihan yang bersesuaian serta ruang yang sewajarnya sepanjang proses tersebut berlaku?

Pendedahan serta peluang yang pelbagai akan menjadikan pemimpin belia ini lebih resilient dan matang dalam apa jua cabaran yang mendatang. Ini termasuk cabaran dalam memilih tempat yang sesuai dengan potensi serta kemahiran yang ada untuk meneruskan sumbangan dalam membantu belia yang ada dalam menyerlahkan potensi yang mereka ada sebagaimana pengalaman yang pernah mereka perolehi sebelum ini. Dalam konteks ini pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telahpun menyediakan ruang dan peluang untuk mantan kepimpinan belia terus memberikan sumbangan mereka. Platform Profesionalisme Kerja Belia merupakan wadah terbaik untuk semua pihak memberikan sumbangan mereka dalam konteks pembangunan potensi belia. Ianya merentas umur, bidang kepakaran, agensi, agama dan bangsa. Ia selaras dengan Dasar Belia Malaysia (DBM) 2015 yang merentas umur dan kementerian bagi menjamin satu ekosistem belia yang harmoni. Usaha pihak KBS dalam memantapkan wadah ini jelas ditunjukkan apabila satu Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) dibangunkan selaras dengan kewujudan Profesionalisme Kerja Belia.

Dengan adanya NOSS, setiap dari mereka yang terlibat dalam membangunkan belia serta ekosistem belia yang kondusif akan diberi latihan yang berkaitan hingga ke peringkat yang lebih tinggi dan diberikan anugerah atas pencapaian yang diperolehi. Latihan serta pengiktirafan sebegini merupakan sesuatu yang penting dan perlu dilakukan bagi menjamin integriti serta kualiti pekerja belia yang dihasilkan dan tidak dipetikaikan dikemudian hari. Hakikatnya, terdapat beberapa platform pekerja belia yang berpotensi serta berpengalaman di luar sana, sebagai contoh; Federasi Kerja Belia, Belia Mahir, Adab Youth Garage (IYG) sekadar menyebut beberapa nama namun, mereka tiada kelayakan akademik yang berkaitan serta pentauliahan daripada pihak yang berkenaan. Justeru, dengan adanya NOSS berkaitan Profesionalisme Kerja Belia, satu modul serta gerak kerja yang tersusun dalam menjaga kualiti, integriti serta pengiktirafan kepada mereka yang terlibat dapat diwujudkan dan menjamin satu ekosistem kerja belia secara professional. Ia juga dapat melahirkan pekerja belia yang lebih peka dan bertanggungjawab dengan persekitaran di mana mereka berada.

Initiatif penubuhan NOSS berkaitan pekerja belia ini dilakukan dengan penglibatan dari pelbagai pemegang taruh dan mengambil masa yang bukan sedikit. Ia juga melibatkan kerjasama dewasa-belia secara berterusan. Usaha ini dilakukan bagi mewujudkan laluan kerjaya yang menepati citarasa belia serta mendapat pengiktirafan kerajaan dan diharapkan dapat menarik ramai anak muda serta mereka yang berminat untuk membantu dalam program pembangunan belia melibatkan diri dengan kerjaya ini secara lebih serius. Walau, bagaimanapun, pada pandangan penulis, terdapat banyak program serta initiatif seperti ini yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan termasuk KBS, tetapi tidak mendapat sambutan akibat dari maklumat yang tidak sampai kepada golongan sasaran. Ini seterusnya mengaggalkan usaha baik yang telah dilakukan dan mewujudkan persepsi negatif terhadap usaha tersebut. Justeru, maklumat serta initiatif yang berkaitan perlu dan wajib disebar luaskan ke seluruh pelusuk negara agar mereka yang terlibat dapat mengambil peluang keemasan ini untuk meningkatkan kemahiran serta kualiti mereka disamping pengalaman dalam pembangunan belia yang sedia ada. Medium ini juga dilihat mampu menangani isu kelesuan bagi mereka yang masih tercari-cari arah tuju selepas bergelumang selama bertahun-tahun serta menyumbang bakti dalam membangunkan potensi belia dalam organisasi belia seperti MBM. Initiatif ini juga diharapkan dapat membuka mata mereka untuk peluang dan ruang yang diberikan serta membuka mata pihak yang berkaitan untuk mendokong cita-cita murni ini agar terus berjaya.

Perlu juga diingatkan bahawa Profesionalisme Kerja Belia ini bukanlah sesuatu yang statik, ianya bersifat dinamik dan perlu ditambah baik dari masa ke semasa. Dengan itu, bukan sahaja modul latihan tetapi keahlian, panel yang terlibat serta konsep anugerah yang diketengahkan akan sentiasa ditambah baik. Ini secara tidak langsung akan meningkatkan kualiti, kredibiliti dan visibiliti pekerja belia di mata masyarakat. Hanya pekerja yang berintegriti dan berkemahiran akan dapat meningkatkan pengaruh pekerja belia dalam pembangunan belia positif. Diharapkan lebih ramai pemimpin belia khususnya dari MBM yang menyahut initiatif ini untuk dibawa ke peringkat yang lebih tinggi seterusnya meningkatkan profesion kerja belia dimata dunia.

Tarikh Input: 10/08/2022 | Kemaskini: 10/08/2022 | nooryati

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
SXEbGAW~